.
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts
Showing posts with label Peristiwa. Show all posts

Karnival Futsal KRIM Kelantan 2013


Sabtu, 7 Sept: Sebanyak 16 kumpulan remaja berumur 18 tahun ke bawah telah menyertai Karnival Futsal anjuran Kelab Remaja ISMA (KRIM) Kelantan bertempat di 7F Futsal, Peringat. 

Motif utama penganjuran karnival ini ialah untuk memperkenalkan KRIM di kalangan remaja tempatan dan mengetengahkan peribadi muslim berakhlak dalam permainan serta patuh pada undang-undang, jelas Abdul Rahim Osman selaku pengarah program tersebut.

Menurut Mad Binjai yang bertugas sebagai pengadil perlawanan, inilah pertandingan yang amat menyeronokkan diri saya kerana akhlak para pemain sepanjang  perlawanan berlangsung sangat tinggi nilainya. Ia tidak sama dengan sesi pertandingan yang saya adili di tempat lain sebelum ini.

Pertandingan selama tujuh minit sebelah itu telah dibahagikan kepada empat kumpulan dan dimenangi oleh kumpulan Qadisiyyah daripada KRIM Kelantan dengan membawa pulang wang tunai ringgit malaysia 250.00 berserta hamper dan sijil penyertaan.

Manakala tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Knight FC dan tempat ketiga pula diduduki oleh dua kumpulan iaitu Wanajitu F.C dan Brother F.C dengan kiraan mata yang sama.

Turut hadir ialah YDP ISMAKB, ustaz Nik Ab Rahim Bin Nik Abdul Aziz dan Pengarah KRIM Kelantan Saudara Dr. Anas Aminin Abd Wahab.

Disediakan Oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA

 Lagi Gambar di FB Berikut:

https://www.facebook.com/krim.kelantan/media_set?set=a.621502161222782.1073741826.100000890124721&type=1



Read More...

Musuh Kita Sebenarnya Ialah Barat

Kota Bharu, 31 Ogos: Nabi meneruskan perjuangan kemerdekaan manusia dengan cara mendidik, membimbing isterinya, keluarga terdekatnya dan manusia sekeliling kerana generasi inilah yang akan menyambung risalah Islam, jelas ketua Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) ustaz Abdul Halim Abdullah.


Sempena sambutan kemerdekaan Malaysia ke 56 ini, ustaz Halim mengingatkan semua ahli jemaah subuh yang hadir akan keadaan umat Islam pada hari ini yang leka dengan kehidupan, sedangkan musuh satu demi satu cuba meleraikan negara Islam, empayar Islam hilang satu persatu, empayar Uthmaniyyah, Bulgaria, Sepanyol, Pulau Batu Putih dan lainnya.

Bukan setakat itu, masyarakat Islam dirosakkan, gejala dadah, perhubungan sosial yang rosak, keluarga bercerai berai, ramai yang murtad, gejala syiah, gejala liberalisasi dan bermacam-macam gejala yang menghancurkan aqidah dan nilai-nilai Islam. Semua itu untuk memastikan umat Islam kembali semula kepada zaman jahiliyyah.

Kata ustaz Halim lagi, sebab itu pentingnya kita mendidik masyarakat dengan Islam, ianya satu perkara yang sangat penting, ini tugas semua, bukan terhad hanya kepada tugas ulama' sahaja. 

Kerana itu, kita hendaklah melaksanakan Islam di dalam diri, jiwa kita dan menyebarkan Islam ke negara luar. Sifat Islam sekiranya dilaksanakan dengan baik, ia akan tersebar ke seluruh dunia, bukan hanya di masjid atau surau sahaja. Inilah yang telah dilakukan oleh para sahabat r.a.h ujarnya lagi.

Beliau turut mengingatkan hadirin bahawa kita  sesama kita bukan musuh, musuh kita sebenarnya ialah barat, kuasa-kuasa besar dunia dan organisasi-organisasi yang cuba untuk menghancurkan Islam. sebab itulah Nabi S.A.W tahu dan amat-amat tahu bahawa umatnya bukan musuh, walaupun mereka melakukan pelbagai cara dan bentuk kesakitan terhadapnya. 

Disediakan Oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA

Lagi Gambar Sekitar Kuliah Subuh Di Masjid Telipot




Read More...

Mereka Menjajah Bukan Dengan Senjata


Kota Bharu, 30 Ogos: Nabi S.A.W mengajak kita mengambil berat keadaan umat Islam sebagaimana hadis yang bermaksud, sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang Islam, maka dia bukan dari kalangan mereka yang membawa maksud, seorang muslim yang sempurna imannya ialah seorang muslim yang mengambil berat hal ehwal umat Islam keseluruhannya ujar ustaz Abdul Halim Abdullah ketua Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Beliau turut memetik firman Allah yang bermaksud, sesungguhnya umat ini, adalah umat yang satu, dan Aku (kata Allah) adalah Robb kamu, maka hendaklah kalian menyembah Aku. Oleh itu, kita mesti ambil peduli terhadap apa yang berlaku di Mesir. Kerana Mesir kira-kira satu abad yang lalu sama macam negara kita, yang diperintah oleh British, mereka menjajah bukan dengan senjata, tetapi mereka menjajah dengan mesin cetak, mereka cuba untuk merosakkan pemikiran Islam melalui mesin cetak, ianya telah berlaku sejak zaman Napoleon lagi.

Tambah ustaz Halim lagi, pertarungan dunia hari ini, ialah pertarungan tamadun dunia barat dengan dunia Islam. 

Katanya lagi, Islam sampai ke tanah melayu disebabkan darah-darah syuhada' di Badar, Uhud, Khandaq dan sebagainya. Oleh kerana itulah kita hendak melahirkan generasi yang cintakan agama. Sepertimana Mesir, kebangkitan di Mesir merupakan abang kepada negara arab.

Menyentuh keadaan bumi Mesir sekarang, ustaz Halim menyatakan bahawa, tugas tentera menjaga sempadan keamanan negara. Kalau kita pergi ke Amerika, Britain dan sebagainya, kita akan rasa aman, tetapi dunia barat merancang agar tentera umat Islam yang dilatih untuk menjadi tentera akhirnya memerangi umatnya sendiri, lihatlah apa yang berlaku di Algeria, Pakistan, Mesir dan sebagainya.

Kuliah subuh yang dihadiri oleh kira-kira 70 orang ahli jemaah itu telah disampaikan selama 1 jam 20 minit di masjid Mukim Lundang.

Disediakan Oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA

Lagi Gambar Sekitar Kuliah Subuh





Read More...

Mesir Telah Melahirkan Ribuan Ulama'

Kota Bharu,29 Ogos: Sebahagian negara menjadi tonggak kepada negara-negara lain, termasuklah Mesir yang mempunyai lebih 80 juta rakyat dan mereka adalah masyarakat yang terpelajar. Malah bumi Mesir melahirkan ribuan ulama' jelas ustaz Abdul Halim Abdullah, Ketua Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Katanya lagi, di mana-mana negara adanya pensyarah dari universiti al-Azhar, tetapi di Mesir tidak ada pensyarah luar yang mengajar di universiti-universiti di Mesir. Bahkan ribuan masyarakatnya bertebaran di seluruh dunia dari kalangan ulama', pelajar dan pekerja.

Dalam konteks terkini Mesir ustaz Abdul Halim berkata, kalau lemah Mesir, lemahlah negara-negara Islam. Musuh juga tidak lepas pandang dari memerhatikan bumi Mesir. Kepada sesiapa yang pernah hidup di Mesir dia akan melihat keadaan orang Mesir, bagi apa sahaja mereka akan hidup, bagi Islam, hidup, bagi profesion pekerjaan hidup,  bagi artis, hidup, bagi apa sahaja semuanya akan hidup.

Sebab itu Mesir adalah merupakan kubu umat Islam di zaman serangan Tartar (Monggol), ketikamana tentera Monggol sampai ke Mesir, general tenteranya berkata; menyerah sahajalah kerana kami telah menang terhadap Iraq dan lainnya, tetapi Sultan Saifuddin Al-Qutuz yang memerintah Mesir pada masa itu membuat keputusan untuk melawan dan akhirnya menang, peperangan itu adalah yang bernama Ain Jalut ujar ustaz Halim dihadapan kira-kira 200 orang ahli jemaah yang hadir.

Di bawah pemerintahan tentera, rakyat Mesir sengsara kerana mereka diperintah oleh senapang dan senjata dan pemerintah mereka yang terdiri dari tentera bukan dari golongan orang yang cerdik.

Memang di dalam negara Islam, adanya masyarakat yang jahil, tetapi kita mesti didik masyarakat dengan Islam, mesti didik masyarakat mengenali musuh Islam, kerana bila masyarakat jahil ia akan diperalatkan, musuh akan merosakkan tentera, kerana pekerjaan tentera adalah semulia-mulia tugas, sepertimana di zaman sahabat r.a.h, semuanya berebut-rebut untuk menjadi tentera Islam. tuntas ustaz Halim ketika menyampaikan kuliah maghrib bertempat di masjid kampung Sireh.

Katanya lagi, pendirian pergerakan Islam di Mesir ialah bangkit dengan aman, ianya bermula sejak bulan sya'aban lagi. Dengan pendirian yang baik seperti ini, kita mestilah memberikan kesedaran kepada mereka yang terdekat, berdoa kepada Allah agar memberi kemenangan mengikut apa yang dikehendakiNya. Memberi tekanan kepada pihak-pihak yang berautoriti di Malaysia dan tidak memihak kepada rejim As-Sisi. Kerana rejim ini telah membentuk kerajaan yang tidak sah.

Disediakan Oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA

Lagi Gambar Sekitar Kuliah Maghrib:




Read More...

Syiah Wujud Pada Tahun 30 Hijrah

Besut, 27 Ogos: Orang-orang syi’ah mengatakan selepas Rasulullah S.A.W, penggantinya adalah sayyidina Ali, bukan sayyidina Abu Bakar atau sayyidina Umar R.A.H. Syiah wujud pada tahun 30 hijrah lagi yang diasaskan oleh Abdullah Bin Saba’, Jelas ustaz Muhammad Ismail dari Unit Kajian Syiah, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) di dalam ceramah bahaya syiah anjuran jabatan Agama Islam daerah Besut, masjid kampung Raja,  dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).


Kata ustaz Muhammad lagi, Abdullah bin Saba’ pernah mengatakan sayyidina Ali K.R.W adalah penutup pewaris kepada Nabi Muhammad S.A.W. Sedangkan Rasulullah tidak pernah berkata begitu, dia menyamakan sayyidina Ali K.R.W sepertimana Yusya’ bin Nun yang merupakan penutup pewaris kepada Musa A.S.  Abdullah bin Saba’ juga pernah mendakwa bahawa sayyidina Ali adalah tuhan pada zaman pemerintahan sayyidina Ali K.R.W.

Dalam soal aqidah pegangan umat, ustaz Muhammad menegaskan bahawa sandaran dan rujukan kita sebagai golongan ahlus sunnah wal jamaah adalah al-Quran tidak seperti syi’ah yang menjadikan sandaran serta rujukan mereka ialah kitab imam-imam mereka. Ini bertentangan dengan Islam, malah orang-orang syiah telah mengatakan sesungguhnya tokoh-tokoh syiah telah sepakat tentang sahihnya hadist-hadist yang sampai ke peringkat mutawatir yang menunjukkan dengan jelas tentang berlakunya penyelewengan dengan al-Quran.

Ustaz Muhammad menempelak golongan syiah yang yakin dan percaya kepada hadist rekaan mereka ini dengan katanya bagaimana hadist mereka itu mutawatir sedangkan ianya tidak sampai kepada Rasulullah S.A.W  dari sudut sanadnya. Malah golongan syiah mengatakan majoriti para sahabat telah murtad sepertimana ketua syiah Malaysia Abdullah Hassan berkata ketika di wawancara oleh  stesyen Tv1 bahawa kebanyakan sahabat telah (irtaad) murtad.

Ceramah bahaya syiah itu telah dihadiri oleh kira-kira 300 orang ahli jemaah lelaki dan wanita.

Disediakan oleh:
Abu Hafizoh

Wartawan Media ISMA

Lagi gambar sekitar ceramah bahaya syiah:





Read More...

Takziah Kepada Presiden ISMA Dan Keluarga

Pasir Puteh, 25 Ogos: Jam 11 pagi adalah detik terakhir kehidupan Tok Ayah Man 80, bapa kepada Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman. Beliau yang sihat seperti biasa tiba-tiba mengadu kepada isteri dan anaknya rasa sakit di atas tulang belakang antara dua bahunya. Sejurus selepas mengadu rasa sakit tersebut beliau pun pergi bertemu Allah s.w.t di rumahnya di kampung Golok (moga rohnya mendapat keampunan dan keredhaan Allah Azza Wajalla dan ditempatkan oleh Allah bersama-sama para Nabi, Siddiiqiin, syuhadaa’ dan soolihiin).

Kiri sekali, abang kepada ustaz Abdullah Zaik dan tiga dari kiri YDP ISMA Kota Bharu, ustaz Nik Ab Rahim Nik Abdul Aziz 


Solat jenazah telah disempurnakan selepas solat asar hari yang sama pada jam 5.10 petang. Jenazah telah dikebumikan di tanah perkuburan kampong Gong Manok, Pasir Puteh.

Turut hadir semasa pengebumian ialah Yang Dipertua ISMA Kota Bharu, Ustaz Nik Ab Rahim Nik Abdul Aziz, setiausaha ISMA Kota Bharu, Malek Raduan, ahli-ahli ISMA, ahli keluarga ustaz Abdullah, bekas Kadi Kota Bharu ustaz Mohd Daud Bin Yusoff dan masyarakat setempat.

Manakala ustaz Abdullah Zaik ketika dihubungi Media ISMA pada jam 3.29 petang tidak sempat menatap wajah terakhir bapanya kerana tiket kapal terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu sudah penuh, beliau dan keluarganya terpaksa menaiki kenderaan persendirian untuk pulang menziarahi pusara bapanya.

Semoga Allah memberi kesabaran kepada ustaz Abdullah dan keluarganya atas musibah ini, sesungguhnya saat kematian itu pasti tiba kepada setiap jiwa dan sesungguhnya kita adalah milik Allah dan kepada Allahlah kita kembali.

Disediakan oleh:
Abu Hafizoh

Wartawan Media ISMA 

Lagi gambar-gambar sekitar pengebumian:
















Bersama bekas kadi daerah Kota Bharu ustaz Mohd Daud Bin Yusoff yang terkenal dengan panggilan ayah Ngah 85, juga merupakan teman sepengajian di pondok dan di Mesir dengan Dato' Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat 
Read More...

Hadiah Dari Allah S.W.T


Kota Bharu, 27 Julai: Malam yang paling mulia dalam setahun, ialah 10 malam terakhir pada bulan ramadhan yang mempunyai  ganjaran yang besar dari Allah s.w.t, dan di dalamnya terdapat “lailatul qodr”, ia adalah merupakan malam hadiah dari Allah s.w.t, berupa pahala 1000 bulan dan amalan 1000 bulan adalah merupakan satu amalan yang tidak mampu dilakukan oleh umat Muhammad s.a.w secara berterusan, jelas naib presiden 1 ISMA, ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.

Katanya lagi, Imam Syafie menghabiskan bacaan al-Quran sebanyak 2 kali sehari semalam di sepuluh ramadhan terakhir, manakala imam Ahmad pula solat sunat pada setiap malam ramadhan sebanyak 300 rakaat. Begitu juga imam Malik yang ditohmah oleh orang kerana kurangnya ibadat, dia menjawab, manusia dalam melakukan ibadat seperti mendapat rezeki, dan ibadat aku adalah mengajar dan menulis, dan kitab al-muwatto’ karangan beliau adalah merupakan kitab pertama yang ditulis di dalam Islam, tetapi pada bulan ramadhan beliau berhenti mengajar kerana ingin menumpukan pembacaannya kepada al-Quran.

Ujarnya lagi, Tidak semua orang berpeluang menghabiskan ramadhan dan peluang hanya datang sekali, kita kena ubah jadual dan ubah kehidupan pada 10 terakhir ramadhan, kalau kita tidak mampu untuk mengubah jadual, maka kita tidak mampu menghadapi 10 ramadhan terakhir. Ini kerana ia adalah merupakan sunnah Rasulullah s.a.w yang mengikat kainnya dengan kemas  dengan maksud untuk melakukan amalan dengan bersungguh-sungguh atau mengikut setengah pendapat ulama’, ia juga bermaksud Rasulullah s.a.w tidak menggauli isterinya di sepuluh terakhir ramadhan.

Kuliah subuh yang disampaikan di masjid Mukim Lundang itu telah dihadiri oleh kira-kira 70 ahli jemaah dari kalangan penduduk setempat.

Disediakan Oleh:
Abu Hafizoh

Wartawan Media ISMA


Read More...

Ganjaran Dari Allah


Kota Bharu, 27 Feb: Tingkatkan amal ibadat kita dipenghujung usia. Dengan akal fikiran kita boleh menilai dan memerhatikan apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W melalui ayat-ayat al-Quran yang dibaca pada zamannya dan pada zaman ini. Ianya adalah al-Quran yang sama, ayat yang sama ujar ustaz Muhammad Ismail ketika menyampaikan kuliah maghrib di masjid Mukim Lundang.


Katanya lagi, tidak ada kuasa manusia yang boleh mengubah dan mengganggu ayat-ayat suci al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W.  pernah terjadi Baginda S.A.W ditanya oleh orang-orang kafir Quraisy, kenapa mukjizat tidak diturunkan kepada mereka, jawab Rasulullah S.A.W, sesungguhnya mukjizat itu milik Allah dan Dia akan turunkan kepada mereka yang dipilih olehNya.

Ambillah manfaat dengan berita-berita, kesan-kesan dan bukti-bukti sejarah yang terdapat di dalam al-Quran, sepertimana kisah fir’aun yang jasadnya masih ada di bumi Mesir. Kalau berita-berita dalam surat khabar, ianya akan diingat untuk dalam tempoh sebentar. Tetapi al-Quran tidak begitu, bagi orang-orang yang mentadabbur ayat-ayat al-Quran, mereka akan mendapati apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku serta menghidupkan jiwa-jiwa orang mukmin, nasihat ustaz Muhammad kepada 30 orang ahli jemaah yang hadir.

Dalam pada itu ustaz Muhammad turut menekankan akan kepentingan taubat, katanya, mintalah keampunan dari Allah daripada dosa-dosa yang dilakukan, Allah Maha Pengampun, sifat pengampunanNya mengatasi keampunan manusia. Allah sangat-sangat suka kepada orang yang beristighfar.

Kesedaran adalah satu taufik dari Allah, sepertimana yang berlaku kepada seorang penjenayah yang ingin bertaubat dan telah membunuh 99 orang dan menyempurnakannnya sehingga seratus orang dek kerana orang yang terakhir dijumpainya memberitahu padanya bahawa taubatnya tidak akan diterima oleh Allah.

Lalu dia berjumpa dengan seorang lagi dengan memberitahu kepadanya bahawa dia ingin bertaubat, adakah akan diterima oleh Allah?, maka jawab orang yang ditanya, ya, Allah akan terima taubat hambaNya, lalu dia telah dinasihatkan untuk berpindah dari kawasan, negeri atau negara yang dia duduk,  ketika dalam perjalanan, dia jatuh pengsan sehinggakan meninggal dunia. Lalu turunlah dua malaikat yang ingin mengambil amalnya, masing-masing berebut untuk mengambil amal baik buruk si penjenayah yang bertaubat itu. Kemudian datanglah seorang malaikat yang menjadi hakim kepada dua malaikat tersebut dan menyuruh mengukur jarak perjalanan lelaki tersebut. Akhirnya terserlah dan benarlah taubat lelaki tersebut kerana jaraknya yang hampir kepada tempat yang dia pergi kerana taubat. Ungkap ustaz Muhammad dengan panjang lebar.

Begitu juga firaun, saat nazaknya , ketika hampir tenggelam di dalam laut, dia bertaubat dengan beriman kepada Robb Musa dan Harun, tetapi Allah tidak terima taubatnya kerana pintu taubat sudah ditutup.

Ganjaran dari Allah, ada yang diberikan terus di dunia dan ada yang disimpan untuk dikutip hasilnya pada hari akhirat jelas ustaz Muhammad di akhir kuliahnya.

Disediakan oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA
Read More...

Kita mesti membaca sirah Nabi S.A.W


Kota Bharu, 28 Jan: Ahli Jawatankuasa Tarbiyah ISMA Kelantan, Ustaz Abdul Karim Mohamed berkata, hakikat sebenar cinta kepada Nabi S.A.W ialah kita kena sentiasa letakkan dalam hati kita rasa cinta kepada Nabi S.A.W dan menghayati sirah perjalanan Nabi S.A.W, bagi menghayati sejarah Nabi tidak hanya bergantung kepada ceramah penerangan , kita mesti membaca sirah Nabi S.A.W, sebabnya ialah kebanyakan kita mampu membaca, oleh itu cubalah sama-sama membaca kitab seperti Ar-Rahiiqul Makhtum yang ditulis oleh Safiyyurrahman Al-Mubarakfuri.


Apa yang diubah oleh Rasulullah, Baginda mengubah aqidah umat, dari penyembahan berhala kepada mengabdikan diri kepada Allah ujarnya lagi.

Orang yang mula-mula mengkhianati akidah arab bernama Amru bin Luhai, asalnya seorang yang beragama, apabila dia pergi ke Syam, dia tengok orang sembah berhala, dia nampak comel, maka dia bawa balik ke semenanjung tanah arab, pendek kata kebanyakan kabilah mempunyai berhala, malah disekitar mekah terdapat lebih kurang 360 berhala.

Ustaz Abdul Karim juga menegaskan bahawa Nabi S.A.W telah mengubah manusia dari pengabdian kepada makhluk kepada pengabdian kepada Orang Yang Maha Membuat makhluk iaitu Allah Azza Wajalla.

Jadikan Rasulullah S.A.W sebagai qudwah hasanah (pedoman kebaikan) kita semua, kita kata kita sayang pada Nabi, tetapi sejauh mana kita melaksanakan sunnah Nabi katanya lagi.

Ustaz Abdul Karim juga turut menjelaskan bahawa asal sambutan maulud Nabi S.A.W dilakukan oleh kerajaan syiah fatimiyyah yang mengagung-agungkan Nabi secara berlebihan seperti memuja Nabi dalam bentuk menari, bercampur gaul secara bebas antara lelaki perempuan dan mereka mempunyai motif-motif yang negative untuk disemai di dalam jiwa orang Islam, walhal pada masa yang sama  mereka (syiah) mengkafirkan para sahabat, sehinggakan lahirnya imam dua belas mereka yang diiktiraf maksum seperti Nabi. Sedangkan orang yang dicintai oleh sahabat-sahabat R.A.H ialah Nabi S.A.W dan manusia yang paling dicintai oleh Nabi ialah sahabat-sahabatnya. Mereka (Syiah) tidak menonjolkan amalan-amalan para sahabat, tabi’ien, tabi’e tabi’ien sebaliknya mereka menonjolkan amalan-amalan imam-imam mereka.

Beliau turut menegaskan bahawa ketika Solaahuddin al-Ayyuubiy datang, beliau membuang segala keburukan amalan syiah fatimiyyah, dan menghidupkan sambutan maulud dengan ceramah-ceramah tentang sirah Nabi S.A.W.

Seramai 100 ahli jemaah turut hadir di dalam majlis sambutan maulidur Rasul S.A.W  anjuran bersama KRT Lundang dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Masjid Mukim Lundang.

Disediakan Oleh:
Abu Hafizoh

Wartawan Media ISMA

Antara ahli jemaah yang hadir:




Read More...

Tidak ada tawar menawar antara hak dengan batil


Kota Bharu, 25 Jan: Bila kita menyambut kelahiran (maulud) Nabi S.A.W, ianya bukan setakat berselawat, mengingati, malah bukan sahaja menyambut setiap tahun, tetapi yang paling penting ialah pengajarannya tegas yang dipertua ISMA Kuala Terengganu, Ustaz Doktor Razali Musa semasa menyampaikan kuliah maghrib di Masjid kampung Sireh.


Beliau turut menjelaskan maksud rahmat di dalam ayat al-Quran yang bererti “dan tidak Aku utuskan engkau (wahai Muhammad) kecuali untuk memberi rahmat ke seluruh alam” ialah kita jauh beribu batu dari tanah arab, tetapi takdir Allah, dengan rahmat Allah, kita beriman, Allah pilih kita, di antara jutaan manusia, berbilion manusia, kita dipilih oleh Allah untuk menjadi manusia yang mengucap dua kalimah syahadah.

Rasulullah S.A.W telah menukar bangsa arab daripada bangsa yang tidak ada guna, tidak berperi kemanusiaan, tiada sifat belas kasihan, saling bermusuhan, berzina, menganggap anak perempuan sebagai penyebab sial, menyembah berhala kepada bangsa yang cukup hebat, bangsa yang terpilih, sehinggakan sebelum sampai 50 tahun tersebarnya agama Islam, negara Rom dan Parsi telah jatuh ke tangan orang-orang Islam melalui anak didik Rasulullah S.A.W yang mulia iaitu Sa’ad bin Abi Waqqas, Umar al-Khattab dan sahabat-sahabat Rasulullah yang lain tegasnya lagi.

Doktor Razali turut memperingatkan para pendakwah dan mereka yang bersemangat di dalam memperjuangkan Islam agar mengikut cara Nabi S.A.W, di mana Nabi S.A.W mendidik para sahabat dengan aqidah kemudian ibadah, katanya lagi, Nabi S.A.W bina aqidah yang sahih dalam bentuk tidak ada tawar menawar antara hak dengan batil seperti yang berlaku ke atas Bilal Bin Rabah, bermakna tidak ada tawar menawar antara Islam dengan jahiliyah. Beliau turut membacakan ayat terakhir dari surah al-Kaafiruun, لكم دينكم ولي دين yang bermaksud: Untuk kamu agama kamu dan untuk ku agamaku.

Beliau juga turut memetik kata-kata Imam Malik R.H sebagai berkata "tidak akan baik akhir umat ini, kecuali dengan apa yang telah dilakukan oleh umat sebelum ini".

Dalam isu bangsa Melayu, Doktor Razali juga turut menegaskan bahawa orang Melayu di bumi Malaysia adalah yang paling ramai dengan majoriti dari sudut bilangan sebanyak 60%, jika keluar Islam, maka dia bukan orang melayu mengikut perlembagaan, sebab itulah orang Melayu perlu memahami bahawa musuh-musuh Islam sentiasa menggunakan kaedah (pecah-perintah), kerana dengan perpecahan orang Islam, musuh -musuh Allah dan musuh-musuh Islam akan memerintah orang Islam.

Beliau turut menyarankan agar seluruh umat Islam di Malaysia bersatu dalam isu yang berkait dengan masa depan umat itu sendiri.

Katanya lagi, jahat macammana orang Islam pun dia masih Islam, baik macammana orang kafir, dia tetap kafir dan merupakan musuh kepada orang Islam. Ini soal aqidah tegasnya.

Masjlis sambutan maulidur Rasul S.A.W itu telah dihadiri oleh kira-kira 800 ahli jemaah dan diakhiri dengan bacaan selawat beramai-ramai.

Disediakan Oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA

Berikut adalah di antara gambar-gambar ahli jemaah yang hadir:




Read More...

Majlis Sambutan Eidul Fitri ISMA Kota Bharu Meriah



Kota Bharu, 1 Sept: Bertemakan ‘Taqabbalallahu minna wa minkum’, ISMA Kelantan mengambil peluang dalam meraikan keberkatan bulan Syawal ini menerusi Majlis Sambutan Eidul Fitri 1433H dan Majlis Graduasi Madrasah Ramadhan NAZIM Kelantan bertempat di Dewan Terbuka KRT Tanjong Chat. Seramai lebih kurang 200 orang dari ahli ISMA, PEMBINA, KRIM dan NAZIM dengan pakaian berseri-seri datang meraikan majlis tersebut.

Ustaz Nik Ab Rahim bin Nik Ab Aziz, Timbalan YDP ISMA cawangan Kelantan dalam ucapannya berkata, “Tugas kita sebagai ahli ISMA ialah membentuk rijal berdasarkan kepada tunjang dakwah itu sendiri iaitu tarbiyyah, dengan tarbiyyahlah terjaganya aqidah, amal dan akhlak seorang da’ie. Selain itu, kita kena tarbiyyah diri sendiri seiringan dengan dakwah, aslih nafsak wadh’uu ghairak” (baiki diri kamu dan serulah yang lain). Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Yang diPertua ISMA Kelantan, Ustaz Sharipudin bin Ab Kadir dan keluarga.



Majlis juga turut diserikan dengan persembahan azan dan nasyid dari anak-anak NAZIM serta nasyid dari Ustaz Asyraf, warga Mesir yang mengajar di Kelantan. Kemeriahan tersebut diakhiri dengan sesi pemberian duit raya oleh pihak NAZIM kepada anak-anak NAZIM dan jamuan hari raya.

Disediakan oleh:
Uqbah Zaidi
Wartawan Pelatih Media ISMA

lagi gambar menarik di fanpage ismakelantan:
Read More...

Dunia Suku Akhirat Suku

Peringat, 17 Julai: Orang Islam bila percaya perkara ghaib, maka hendaklah dia bersiap ke arah itu, tegas Timbalan Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan, Ustaz Nik Ab. Rahim Nik Abdul Aziz ketika menyampaikan kuliah maghrib di masjid Abdul Rahman Bin 'Auf, Taman Desa Rimbunan.

 TYDP ISMA Kelantan, Ustaz Nik Ab. Rahim Nik Abdul Aziz

Menurutnya lagi, tidak ibadat saja jalan untuk ke akhirat, kerja kita di dunia juga kena bersungguh-sungguh sebab ianya juga dikira jalan ke ahirat.

Dalam masa yang sama Ustaz Nik Ab. Rahim turut menyelar golongan yang menjadikan dunia suku dengan terus meninggalkan ibadat dan juga akhirat suku dengan hidup beruzlah tanpa bekerja untuk kehidupan.

Beliau turut memetik kata-kata As-Sheikh Sai'd Ramadhan Al-Buti bahawa "orang-orang Islam setiap hari perlu ada masa beruzlah" (menyendiri dengan Allah) mengikut kesesuaian seseorang individu seperti sebelum solat subuh atau waktu-waktu tertentu.

Kuliah maghrib yang dihadiri oleh 60 ahli jemaah dari kalangan penduduk setempat itu bersempena dengan siapnya kolah, sambungan atap dan pagar beranda masjid yang dibina secara bergotong royong dalam tempoh 3 bulan lalu.

Disediakan Oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA


Lagi Gambar Di FB ISMA Kelantan: 
http://www.facebook.com/media/set/?set=a.295721143859305.61132.100002642656240&type=1
Read More...
 
Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net