RANTAU PANJANG, 20 Dis – “Misi bantuan banjir ini adalah
julung kalinya diadakan di Kelantan oleh I-Medik Kelantan dengan kerjasama SMU (A) Al-Kauthar, Peringat dan agensi ISMA yang lain iaitu PEMBINA dan KRIM serta
penglibatan pelajar-pelajar dari UM, UMK, USM dan UiTM Kota Bharu. Apa yang menarik tentang misi pada kali ini,
kami berhubung terus dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang
untuk mengenal pasti lokasi banjir dan yang memerlukan bantuan,” kata Dr. Wan Muhamad Riduan Wan Jaafar, selaku Pengerusi I-Medik Kelantan merangkap Pengarah
Misi Bantuan Banjir 2013.
Walaupun keadaan banjir sudah kembali pulih dan semua pusat
pemindahan telah ditutup, sukarelawan tetap dihantar ke Rumah Warga Tua Banggok
Kulim, Masjid Lubuk Stol dan Masjid Guar Dalam untuk aktiviti mencuci dan
membersih kawasan sekitar yang dilanda banjir. Turut serta dalam aktiviti ini
ialah anggota-anggota Bomba dan Penyelamat sendiri serta 20 anggota Jabatan Pertahanan Awam Rantau Panjang dan 40 anggota Angkatan Tentera dari Kem Tentera Tumpat.
I-Medik pula menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada
penduduk kampung di ketiga-tiga pusat terbabit dan ini mendapat sambutan yang
memberangsangkan. Antara pemeriksaan yang ditawarkan melibatkan penyakit
seperti demam, sakit tekak, batuk selsema, sakit kulit, tekanan darah tinggi,
kencing manis dan penyakit yang berkaitan dengan bawaan air banjir yang lain.
Ubat-ubatan juga turut dibekalkan secara percuma.
Di samping itu, lawatan dari rumah ke rumah penduduk miskin yang
jaraknya beberapa ratus meter dari Sungai Golok juga telah diadakan di
penghujung misi bagi menyampaikan sumbangan bantuan makanan asas seperti beras,
gula, biskut, milo dan air mineral. Bantuan makanan juga disumbangkan kepada
penduduk-penduduk yang memerlukan di Masjid Pondok Guar Dalam oleh Dr. Wan Muhd
Riduan. Diharapkan dengan bantuan makanan ini dapat meringankan beban mereka
yang memerlukan.
Misi ini diakhiri dengan penyampaian hadiah penghargaan oleh
pihak peganjur kepada pihak bomba dan penyelamat serta agensi-agensi lain kerana
telah berjaya merealisasikan usahasama dalam misi bantuan banjir ini. Semoga
penganjuran misi bantuan ini sedikit sebanyak membantu mangsa-mangsa banjir yang
lebih memerlukan pertolongan tidak kira dari segi tenaga, kesihatan mahupun
keperluan harian. Selain itu, diharapkan
juga aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat mendekatkan golongan belia
dengan masyarakat setempat.
0 Komentar Pembaca:
Post a Comment