.
Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Misi Bantuan Pasca Banjir (Gelombang Kedua)

RANTAU PANJANG, 20 Dis – “Misi bantuan banjir ini adalah julung kalinya diadakan di Kelantan oleh I-Medik Kelantan dengan kerjasama SMU (A) Al-Kauthar, Peringat dan agensi ISMA yang lain iaitu PEMBINA dan KRIM serta penglibatan pelajar-pelajar dari UM, UMK, USM dan UiTM Kota Bharu. Apa yang menarik tentang misi pada kali ini, kami berhubung terus dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang untuk mengenal pasti lokasi banjir dan yang memerlukan bantuan,” kata Dr. Wan Muhamad Riduan Wan Jaafar, selaku Pengerusi I-Medik Kelantan merangkap Pengarah Misi Bantuan Banjir 2013.

Walaupun keadaan banjir sudah kembali pulih dan semua pusat pemindahan telah ditutup, sukarelawan tetap dihantar ke Rumah Warga Tua Banggok Kulim, Masjid Lubuk Stol dan Masjid Guar Dalam untuk aktiviti mencuci dan membersih kawasan sekitar yang dilanda banjir. Turut serta dalam aktiviti ini ialah anggota-anggota Bomba dan Penyelamat sendiri serta 20 anggota Jabatan Pertahanan Awam Rantau Panjang dan 40 anggota Angkatan Tentera dari Kem Tentera Tumpat.

I-Medik pula menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada penduduk kampung di ketiga-tiga pusat terbabit dan ini mendapat sambutan yang memberangsangkan. Antara pemeriksaan yang ditawarkan melibatkan penyakit seperti demam, sakit tekak, batuk selsema, sakit kulit, tekanan darah tinggi, kencing manis dan penyakit yang berkaitan dengan bawaan air banjir yang lain. Ubat-ubatan juga turut dibekalkan secara percuma.

Di samping itu, lawatan dari rumah ke rumah penduduk miskin yang jaraknya beberapa ratus meter dari Sungai Golok juga telah diadakan di penghujung misi bagi menyampaikan sumbangan bantuan makanan asas seperti beras, gula, biskut, milo dan air mineral. Bantuan makanan juga disumbangkan kepada penduduk-penduduk yang memerlukan di Masjid Pondok Guar Dalam oleh Dr. Wan Muhd Riduan. Diharapkan dengan bantuan makanan ini dapat meringankan beban mereka yang memerlukan.

Misi ini diakhiri dengan penyampaian hadiah penghargaan oleh pihak peganjur kepada pihak bomba dan penyelamat serta agensi-agensi lain kerana telah berjaya merealisasikan usahasama dalam misi bantuan banjir ini. Semoga penganjuran misi bantuan ini sedikit sebanyak membantu mangsa-mangsa banjir yang lebih memerlukan pertolongan tidak kira dari segi tenaga, kesihatan mahupun keperluan harian. Selain itu,  diharapkan juga aktiviti kemasyarakatan seperti ini dapat mendekatkan golongan belia dengan masyarakat setempat.
Read More...

Fikrah Dan Tarbiyah Mesti Tumbuh

Kota Bharu 6 Okt: Kunjungan setiausaha Biro Tarbiyah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) pusat, ustaz Azizi Hasan mencerahkan lagi pemahaman tanggungjawab dakwah yang mesti dipikul dan dilaksanakan oleh semua murobbi dari kalangan ahli ISMA.


Dalam ucapannya di pejabat ISMA Kota Bharu dihadapan murobbi-murobbi ISMA beliau menegaskan bahawa kerja-kerja tarbiyyah adalah satu kerja yang cukup besar dan berat. Tugasnya ialah menghilangkan sikap negatif yang ada pada ikhwah dan menumbuhkan sifat-sifat positif pada diri ikhwah. Untuk memastikan agenda besar dapat dipacu dalam masyarakat.

Katanya lagi, Memperkasakan agama Allah dalam diri, keluarga, masyarakat sekeliling mestilah bermula dari tarbiyah dan jatuh bangun tarbiyyah itu bergantung kepada jamaah, manakala jatuh bangun jamaah pula bergantung kepada murobbi. Murobbi adalah merupakan jantung kepada tarbiyah, beliau memetik kata-kata Sheikh Abdullah al-Qodiri ‘Ahda yang menyebut bahawa semua ikhwah adalah murobbi, murobbi adalah faktor dalaman yang cukup kuat dalam melonjakkan sesuatu jamaah. Oleh itu fikrah dan tarbiyah mesti tumbuh melalui murobbi-murobbi ISMA kerana tidak ada cara yang terbaik untuk merubah manusia kecuali dengan tarbiyah.

Hadis setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap pemimpin bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya telah dihuraikan dengan penuh teliti oleh ustaz Azizi, beliau menyentak kesemua yang hadir tentang tanggungjawab seorang murobbi dengan hadis ini. Ianya adalah tanggungjawab agama, dakwah,  kehidupan yang melampaui dari tanggungjawab makan dan minum, malah membina dan membimbing manusia ke arah syurga memerlukan kepada kesabaran dan pemerhatian yang menyeluruh dari segenap segi kehidupan orang yang dipimpin agar tidak tersasar arah.

Majlis yang berlangsung selama tiga jam itu turut dihadiri oleh YDP ISMA Kota Bharu, Ustaz Sharipudin Ab. Kadir, TYDP, Ustaz Nik Ab. Rahim Nik Abdul Aziz, Ketua Biro Tarbiyah cawangan, Ustaz Zaidi Muji, Ketua Biro Wanita ISMA Kota Bharu, Ustazah Wan Azilah Wan Abdullah dan semua AJK serta murobbi-murobbi ISMA Kota Bharu. 

Disediakan oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA
Read More...

Dunia Suku Akhirat Suku

Peringat, 17 Julai: Orang Islam bila percaya perkara ghaib, maka hendaklah dia bersiap ke arah itu, tegas Timbalan Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan, Ustaz Nik Ab. Rahim Nik Abdul Aziz ketika menyampaikan kuliah maghrib di masjid Abdul Rahman Bin 'Auf, Taman Desa Rimbunan.

 TYDP ISMA Kelantan, Ustaz Nik Ab. Rahim Nik Abdul Aziz

Menurutnya lagi, tidak ibadat saja jalan untuk ke akhirat, kerja kita di dunia juga kena bersungguh-sungguh sebab ianya juga dikira jalan ke ahirat.

Dalam masa yang sama Ustaz Nik Ab. Rahim turut menyelar golongan yang menjadikan dunia suku dengan terus meninggalkan ibadat dan juga akhirat suku dengan hidup beruzlah tanpa bekerja untuk kehidupan.

Beliau turut memetik kata-kata As-Sheikh Sai'd Ramadhan Al-Buti bahawa "orang-orang Islam setiap hari perlu ada masa beruzlah" (menyendiri dengan Allah) mengikut kesesuaian seseorang individu seperti sebelum solat subuh atau waktu-waktu tertentu.

Kuliah maghrib yang dihadiri oleh 60 ahli jemaah dari kalangan penduduk setempat itu bersempena dengan siapnya kolah, sambungan atap dan pagar beranda masjid yang dibina secara bergotong royong dalam tempoh 3 bulan lalu.

Disediakan Oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA


Lagi Gambar Di FB ISMA Kelantan: 
http://www.facebook.com/media/set/?set=a.295721143859305.61132.100002642656240&type=1
Read More...

Mereka Berkhidmat Kepada Tetamu

Kota Bharu 14 Julai: Ketika saya membuat lawatan ke bumi Gaza di dalam program Mile Of Smiles baru-baru ini, saya di bawa berehat seketika di tepi pantai oleh C.E.O Aman Palestin Gaza, Ir. Omar Seyam, saya lihat ditepi pantai 99.999 peratus wanita di sana berpakaian menutup aurat, mandi dengan jubah dan tudungnya sekali, kata Peruding Aman Palestin Kelantan Ustaz Sharipudin Ab. Kadir.

Mereka mula berada ditepi pantai bermula selepas asar sehingga isya' kerana tidak ada lagi taman tempat berehat melainkan ditepi pantai Gaza. Bila masuk waktu solat, mereka akan solat berjemaah di atas pasir pantai Gaza jelasnya lagi ketika membuat sedikit perkongsian lawatan ke Palestin di dalam program Hi-Tea Amal Demimu Palestin di Dewan Jubli Perak kelmarin.


Seramai 100 orang tetamu telah menghadiri majlis serba ringkas anjuran Aman Palestin Berhad dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Kelantan itu. Cek sebanyak RM 3000 telah disumbangkan oleh seorang dermawan. Manakala derma lain masih lagi di dalam pengiraan.

Para hadirin juga turut diraikan dengan dendangan nasyid secara spontan oleh kumpulan El-Tiezam.

Disediakan Oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA

Lihat Gambar di FB ISMA Kelantan:

Read More...

Seminar Ibu Bapa Soleh Anak Cemerlang





Kok Lanas, 14 Julai; Setiap apa yang kita lakukan terhadap ibu bapa kita akan dilakukan pula oleh anak-anak kita, demikian antara ucapan perasmian seminar ibu bapa soleh anak cemerlang anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan yang telah dirasmikan oleh Yang Dipertua ISMA Kelantan Ustaz Sharipudin Ab. Kadir.

Seminar yang berlangsung di Dewan Al-Ghazali, Politeknik Kota Bharu selama setengah hari itu telah dihadiri oleh 150 orang peserta dari pelbagai latar belakang.


Dr Mohd Arif Bin Hj Mat Noor, penceramah jemputan dari QSI Holistic Therapy ketika mukaddimah ucapannya melahirkan rasa bangga atas inisiatif yang dianjurkan oleh ISMA Kelantan, apatah lagi 60 peratus kehadiran adalah dari kalangan anak muda yang bakal menjadi suami dan isteri katanya.


Turut diadakan forum remaja stress yang telah disampaikan oleh Pensyarah Institut Pendidikan Guru Bandar Darul Aman, Puan Siti Aisyah Binti Abdul Hamid dan Dr Mohd Arif Bin Mat Noor.

Disediakan Oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA

Lagi gambar di FB ISMA Kelantan:

Read More...

Pulau Perhentian Menggamit Pendakwah



Kuala Besut , 6-7 Julai: Rehlah ini adalah sebagai persediaan jiwa untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-mubarak, ianya juga akan diisi dengan program yang berbentuk kejiwaan, santai, memancing,  ziarah dan tafakkur kata Mohd Razib Abdul Rahim salah seorang peserta "Jom Memancing" anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan dengan kerjasama Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Kelantan sebelum menaiki bot menuju ke Pulau Perhentian.

Kelihatan TYDP ISMA Kelantan merangkap pengarah program "Jom Memancing" sedang memberi taklimat kepada semua peserta.

Program yang berlangsung selama dua hari satu malam itu disertai oleh 12 orang peserta dari pelbagai latar  belakang. 

Menurut saudara Mansor Osman, program "Jom Memancing" ini benar-benar memberi keinsafan kepada saya terutamanya ketika membuat ziarah ke Pulau Perhentian Besar dan bertemu dengan Encik Bidin atau terkenal dengan panggilan Pok Din dikalangan anak muda pulau yang menceritakan suasana kehidupan masyarakat pulau dan keperluan mereka kepada guru al-Quran, guru Agama dan pendakwah untuk membimbing masyarakat ke arah pengabdian diri kepada Allah. 

Bidin atau Pok Din ketika ditanya oleh wartawan media ISMA adakah anak-anak yang bermain bola dihadapan ini boleh mengucap dua kalimah syahadah?

Jawabnya, memanglah boleh disebabkan terdapat guru yang mengajar di sekolah rendah Pulau Perhentian ini, tetapi fikirlah sendiri, siapa yang akan membimbing mereka? Guru hanya mengajar di sekolah. Tiada guru Agama, tiada guru al-Quran yang hendak membimbing mereka diluar waktu persekolahan.

Manakala ketika ditanya berkaitan puasa, adakah anak-anak dan masyarakat pulau ini berpuasa pada bulan Ramadhan? Jawabnya, Malah nok berlawok (malas nak tipu) mereka hanya kenal hari raya jah (sahaja). Ini katanya kerana segala yang datang ke sini adalah atas nama projek, tiada atas nama Islam. 

Bidin atau Pok Din 60 tahun, adalah merupakan generasi ketiga penduduk Pulau dan juga pengerusi masjid Pulau Perhentian Besar.

Bidin atau Pok Din dua dari kanan, manakalah tiga dari kanan pula ada saudara Mansor Osman

Sementara itu saudara Hanis Sarnuddin pula berkata; program ini amat bermakna bagi diri saya kerana berkesempatan bersama dengan anak Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nikmat yang juga merupakan TYDP ISMA Kelantan.

Disediakan oleh: 
Abu Hafizoh
Read More...

Menelusuri Sejarah Pejuang Melayu Muslim

Negeri Perak, Pasir Salak dan kawasan sekitarnya, Sememangnya mempunyai sejarah perjuangan dan kebangkitan Islam yang telah berlaku dan terjadi, sejarah tersebut menjadi mulia kerana ianya ditulis dengan titisan darah pejuang-pejuang Melayu Muslim kata Abdul Rahim Osman, salah seorang peserta Jejak Pahlawan ke negeri Perak pada 29-30 Jun baru-baru ni.

Jejak Pahlawan anjuran bersama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan dan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) Kelantan itu telah mendapat layanan penuh mesra dari pihak pengurusan ISMA negeri Perak.







Rata-rata peserta begitu terkejut dengan sejarah negeri kota yang terdapat di dalam negeri perak yang berada di bawah takluk kerajaan Siam Islam dahulu. Adapun Thailand adalah negeri yang berlainan dari kerajaan Siam Islam yang memerintah ketika itu. 

Menurut saudara Azrul Fadzli bin Abdul Azih dari Konsultan Akademi Ikatan Muslimin (AIM Training & Consultancy)  kebanyakan sejarah yang terjadi di negeri Perak ini tidak ditulis secara terperinci. Sedangkan sejarah kegemilangannya memperjuangkan tanahair, agama, bangsa dan negara amat besar. 

Lihat sahaja contoh bagaimana 50 orang Melayu Muslim ketika itu mengatur strategi untuk membunuh J.W.W Birch kafir laknat dengan satu lontaran tombak yang dilontar oleh Pandak Endut adalah sebagai satu pengisytiharan perang antara Muslimin dengan kafirin tidak termaktub secara terperinci di dalam buku sejarah katanya lagi.

Walaupun selepas itu, Pandak Endut, Dato' Maharaja Lela dan pejuang Melayu lainnya ditangkap, tetapi para pahlawan Melayu yang memilih hidup mulia atau mati syahid itu tidak pernah mengalah dan terus tetap hati di atas jalan kebenaran tanpa ada sedikitpun riak-riak pembelotan dan pengkhianatan tegasnya lagi.

Disediakan Oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA

Sila layari FB ISMA Kelantan untuk melihat gambar-gambar kenangan Jejak Pahlawan di

http://www.facebook.com/photo.php?fbid=289555747809178&set=a.289554771142609.59318.100002642656240&type=3&theater
Read More...

Mesir Bangkit Kembali


Tahniah dari kami Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan khususnya, dan dari kami rakyat Malaysia umumnya, buat rakyat Mesir dan Doktor Muhammad Mursi setelah disahkan sebagai Presiden Republik Arab Mesir yang rasmi oleh suruhanjaya pilihanraya presiden.


Semoga kemenangan ini menjadi titik tolak kebangkitan khilafah Islaamiyyah yang jatuh pada tahun 1924M dan berkahirnya malapetaka yang menimpa umat Islam di Palestin serta al-Aqsa dibebaskan sebagaimana Sayyidina Umar al-Khottob dan Salahuddin al-Ayyubi telah membebaskannya sebelum ini.

Bagi gerakan Islam di seluruh dunia, di antara pengajaran penting yang boleh diambil dari kebangkitan rakyat  Mesir dan kemenangan gerakan Islam di sana ialah seperti berikut:

1- Pentingnya pembinaan iman dan kefahaman Islam yang sahih dikalangan ahli sesebuah gerakan dakwah dan disebarkan keseluruh jiwa penduduk pribuminya.

2. Perlunya bersifat sabar dan tidak gelojoh di dalam mencipta sesuatu kejayaan, kerana sesuatu hasil yang diraih itu memerlukan pengorbanan yang terlalu besar dan ujian yang cukup tinggi.

3. Perlunya pendokong yang ikhlas, bersifat akur kepada arahan samaada  dalam keadaan rela hati atau sebaliknya selagimana arahan tersebut tidak melanggar syariat Allah dan Rasul.

4. Perlunya permuafakatan dan bantu membantu, khususnya dalam perkara-perkara yang bersangkut paut dengan 5 asas hak seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain, iaitu Agama, nyawa, akal, maruah dan harta.

5. Kecintaan kepada Allah, Rasul, negara, bangsa dan tanahair mengatasi kecintaan terhadap diri sendiri.

6. Tidak melanggar batas-batas syariat Allah dan Rasul malah berusaha menjaganya semampu mungkin walau berada dalam apa jua situasi.

7. Tidak mudah percaya kepada sebarang propaganda yang disebarkan sebaliknya mempertahankan sesuatu perkara yang telah diputuskan demi untuk kemaslahatan gerakan, ummah dan negara.

8. Tidak memburukkan nama negara kepada negara luar kerana permasalahan dalaman perlu diselesaikan oleh mereka yang menjadi penduduk tempatan itu sendiri.

9. Tidak khianat kepada Agama, bangsa dan negara walau macammana keadaan sekalipun.

Inilaha diantara beberapa perkara yang sempat dicoretkan di sini untuk dijadikan sebagai panduan buat mereka yang cintakan Agama, bangsa dan negaranya sendiri.

Sesungguhnya ribuan syuhada' telah terkorban malah mungkin ratusan ribu telah bersemadi jasadnya kerana mempertahankan kebenaran, kemuliaan bangsa, kekuatan negara dan kemanisan hidup walau berhadapan dengan ketakutan, ugutan, penyiksaan, pembunuhan dan pelbagai bentuk ujian.

Namun bangsa mesir dan penduduknya tetap setia pada janji Allah bawah kemenangan itu dekat, bendera khalifah semakin dekat, rakyat hidup penuh berkat dan pemimpin yang soleh itu adalah harapan umat.

Akhirnya... Allahu Akbar Walillahil Hamd atas keputusan yang telah ditentukan oleh Allah Azza Wa Jalla.


Antara ucapan pertama Presiden Mesir 2012 ;
"Taatilah saya selagimana saya mentaati Allah.. Tanpa darah para syuhada, tidaklah saya mampu menjadi Presiden. Kebangkitan ini kekal berterusan sehinggalah ia memenuhi segala tuntutan Medan Tahrir..

Penghargaan buat tentera dan polis, mereka mempunyai tempat istimewa di hati saya. Kini semua lapisan rakyat diseluruh negara adalah kaum keluarga saya. Bersama kita membina Mesir sebagai sebuah negara berperlembagaan yang moden, berteraskan identiti dan rujukan kita sendiri.
Tiada lagi ketidakadilan selepas hari ini, semua pihak adalah sama disisi undang-undang. "Dan takutlah kamu kpd hari dimana kamu akan dikembalikan mengadap Allah.." - inilah ayat yg akan kekal di dalam pemikiran saya...  Sumber [ikhwanonline.com]


Sessungguhnya
PERTOLONGAN DAN KEMENANGAN ITU DATANGNYA DARI ALLAH MAKA PUJILAH DIA

1. Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan, 2. dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, 3. maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepada-Nya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat. Surah An- Nasr ayat 1-3

Disediakan oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA
Read More...

Kerajaan Perlu Tegas Tangani Syiah



Di Malaysia, fahaman Syiah makin berkembang dan ini diakui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ikatan Muslim Malaysia (Isma) yang aktif membanteras Syiah.
Ketua Unit Kajian Gerakan Syiah Isma, Mohamad Ismail ketika ditemui wartawan Sinar Harian berkata, pertubuhan itu akan terus menggempur Syiah dari pelbagai sudut kerana ia bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang jadi pegangan umat Islam negara ini sejak sekian lama.
Apa yang Isma lakukan untuk membanteras Syiah di Malaysia?
Mohamad : Kami membanteras perkembangan Syiah melalui pendedahan dan ceramah mengenainya di masjid dan institusi pengajian tinggi. Kita juga mempertontonkan kepada orang ramai video keganasan ahli Syiah yang menghalalkan darah orang Sunnah dan amalan mereka yang bercanggah dengan Sunnah. Isma merancang untuk mendedahkan penularan Syiah di peringkat sekolah pula, dan kami memerlukan sokongan Kementerian Pelajaran.
Apa cara paling berkesan untuk membanteras Syiah?
Mohamad : Syiah merupakan isu antarabangsa, jadi sukar untuk Isma banteras secara sendirian kerana penganut Syiah mendapat sokongan Amerika Syarikat. Oleh itu, saya seru kepada imam masjid, bilal, kerajaan dan semua pihak bersatu untuk membanteras penularan Syiah di Malaysia. Ada satu kejadian di Ampang, di mana ahli keluarga si mati berebut untuk mengebumikan jenazah mengikut fahaman Syiah atau Sunnah. Dalam hal ini, pihak berkuasa harus mainkan peranan dan ambil tindakan.
Apakah cabaran terbesar bagi Ustaz dan Isma sebagai NGO dalam usaha membanteras Syiah?
Mohamad : Saya tidak menuduh Syiah ini ajaran sesat, tapi ia berdasarkan kitab Syiah sendiri. Kenderaan saya naiki pernah diekori oleh ahli Syiah. Masa itu, saya baru balik daripada menyampaikan ceramah membanteras Syiah. Inilah cabaran dan pengalaman paling bermakna. Kejadian sama berlaku pada pembanteras Syiah lain sehingga ada diancam bunuh.
Kenapa Syiah dianggap bahaya di Malaysia?
Mohamad : Syiah amat berbahaya kerana boleh memesongkan akidah. Golongan ini hanya bertopengkan keluarga Rasulullah SAW tetapi amalan mereka berbeza. Mereka percaya, kepada lima rukun wilayah atau walayah yang bermaksud akidah. Mereka mesti mengamalkan solat lima waktu, menunaikan haji, membayar zakat, berpuasa dan percaya kepada wilayah atau walayah. Sesiapa yang menolak rukun ini dikira bukan ahli Syiah. Bagi ahli Syiah, mereka membenarkan perkahwinan ‘mut’ah’ bermaksud perkahwinan tanpa tanggungjawab. Mereka dibolehkan berkahwin sekurang-kurangnya dua jam untuk berseronok tanpa memberi nafkah kepada isteri atau anak yang bakal dilahirkan.
Berapa bilangan penganut Syiah di Malaysia sekarang?
Mohamad : Di Malaysia sahaja, terdapat 20,000 hingga 30,000 orang yang didakwa terlibat dengan Syiah. Dalam pada itu, terdapat empat hingga enam pertubuhan Syiah yang dikenal pasti masih aktif melakukan perkembangan Syiah secara terang. Pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, golongan Syiah sukar untuk berkembang kerana takut ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).Tetapi, golongan Syiah makin berani sejak peristiwa serangan World Trade Centre di New York pada 11 September 2001.
Apa yang membuatkan orang ramai daripada kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di negara kita boleh berpaling tadah menyertai Syiah?
Mohamad : Mereka anggap Syiah macam mazhab lain tetapi mereka tidak sedar, Syiah boleh menyesatkan akidah. Mereka mengamalkan ajaran yang mudah seperti solat jamak. Mereka boleh amalkan solat jamak dalam tiga waktu sehari iaitu Subuh, Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Ada kalanya Syiah amalkan solat jamak dalam satu waktu iaitu mengumpulkan semua waktu solat dalam satu masa. Contohnya menjamakkan solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak dalam satu waktu. Pihak berkuasa menjadi faktor utama kejayaan penularan Syiah di Malaysia kerana tidak bertegas untuk mengambil tindakan.
Sumber: Sinar Harian, 18 Jun 2012
Read More...

Tragedi Di Ekspo Perdagangan Dunia Islam 2012

Satu perkara yang mengejutkan dan mengecewakan bila unsur-unsur syiah dipamerkan dan cuba ditimbulkan fahaman tersebut secara terbuka, ruang kebebasan yang telah diberikan kepada pengusaha-pengusaha perniagaan ini telah dicabuli oleh segolongan manusia yang cuba mengambil kesempatan dengan menyebarluaskan kefahaman syiah sekaligus mencemar nama dan kerajaan bumi Serambi Mekah. 

Bahkan mereka ini sanggup mengeluarkan belanja yang cukup besar untuk cuba mengganggu gugat pegangan akidah ahli sunnah wal jamaah yang menjadi amalan asal penduduk tanah serendah sekebun bunga ini. 

Oleh itu Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan dengan sekeras-kerasnya menolak sebarang bentuk penyebaran fahaman yang bertentangan dengan akidah Islam yang suci ini. Sesungguhnya fahaman syiah yang telah menyusup masuk secara rahsia sebelum ini, kini telah cuba merobek kefahaman Islam yang sahih di  dalam dada dan jiwa umat islam di bumi melayu ini khususnya dengan cara mencabar dan terang-terangan.

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan juga amat bersetuju dengan kenyataan dan arahan yang telah dikeluarkan oleh pejabat Menteri Besar Kelantan agar semua bahan berunsur syiah diturunkan serta merta.

Pihak Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kelantan juga mengharapkan siasatan wajib dibuat terhadap dalang disebalik kejadian itu seberapa segera mungkin. Sebarang tindakan undang-undang hendaklah tidak dikesampingkan agar perkara sebegini tidak berlaku dan tidak bertapak lagi di bumi Malaysia tercinta.

Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA



Read More...

Amanah Di Sebalik Peristiwa Israk Mikraj

Peringat, 19 Jun: Masjid adalah satu institusi yang amat penting bagi kita umat Islam, kerana ketika di dalam peristiwa israk pun Nabi Muhammad S.A.W memulakannya dari masjid (Mekah), Singgah di Madinah, singgah di bukit Sinai, dan seterusnya berhenti solat di masjid Al-Aqsa, menjadi imam kepada para Nabi sebelum di Mikrajkan ke langit, ini bermakna, mikrajnya juga bermula dari masjid, kata AJK Tarbiyah ISMA Kelantan, Ustaz Abdul Karim Mohamed di dalam ceramah Israk Mikraj malam kelmarin.

Gambar Hiasan (Kelihatan di dalam gambar ini ialah perdana menteri Palestin, Ismail Haniyyeh mengimamkan  solat hari raya bersama penduduk Gaza, Murobithuun)

Majlis tersebut adalah rutin tahunan yang diajurkan oleh Masjid Abdul Rahman bin 'Auf , Taman Desa Rimbunan selepas solat maghrib berjemaah.

Beliau turut menekankan akan kepentingan tiga bumi Islam tersebut, iaitu Mekah, Madinah dan Palestin dengan katanya, mana-mana bumi yang ada kaitan dengan Islam maka bumi tersebut menjadi mulia, begitu juga dengan penduduknya. 

Turut diketengahkan juga peristiwa yang diperlihatkan oleh Allah kepada Nabi di dalam mikrajnya seperti, segolongan ahli neraka yang menghantuk-hantukkan kepala ke batu besar disebabkan mereka meninggalkan solat, segolongan pula menggunting lidah-lidah mereka sendiri kerana sentiasa mengumpat, segolongan pula memakan daging mentah diri sendiri kerana berzina, terdapat juga golongan wanita yang digantung buah dadanya kerana tidak menutupnya dengan betul ketika di dunia dahulu. 

Majlis yang berlangsung selama satu jam 30 minit itu diakhiri dengan sentuhan khas berkaitan dengan Negara Palestin yang merupakan bumi mikraj Nabi S.A.W ke Sidratul Muntaha bertemu Allah Azza Wajalla menerima perintah solat secara terus tanpa hijab. 

Disediakan Oleh; 
Abu Hafizoh 
Wartawan Media ISMA
Read More...

Harus Menyambut Maulidur Rasul


KOTA BHARU: Lebih kurang tujuh ratus orang hadir di dalam majlis sambutan Maulidur Rasul 1433 Hijrah anjuran Masjid Kg Sireh dengan kerjasama ISMA Kelantan. Sebanyak satu ekor setengah lembu telah dimasak secara bergotong royong dari jam 9.00 pagi sehingga 6.00 petang untuk jamuan kepada ahli jemaah yang hadir.

Ustaz Abdul Karim Mohamed selaku penceramah jemputan pada malam itu berkata, sambutan Maulidur Rasul ini sebenarnya berlaku pada zaman Fatimiyyah di pelopori oleh puak Syiah yang merekacipta bait-bait syair, qosidah dan sebagainya. Sebab itulah kebanyakkan ulama di Saudi mengatakan ianya adalah bid'ah kerana tidak dilakukan oleh para sahabat, tabi'ien dan juga tabi'tabi'ien. Namun begitu jelas Ustaz Karim bahawa di dalam fatwa As Sayuthi dan disokong oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qordhowi bahawa harus menyambut Maulidur Rasul dengan syarat tidak keterlaluan memuja nabi seperti mana orang-orang Yahudi dan Nasrani memuja nabi mereka.

Sebagai rujukan semua jemaah yang hadir diminta merujuk kembali kitab AlBidaayah Wan Nihaayah, Ar Rahiiqul Makhtuum dan kitab-kitab lain dalam membuat kajian berkaitan sirah Rasul S.A.W saran Ustaz Karim. Menurut Cikgu Muhamad Awang 57 dari Jerteh, amat bersetuju dengan saranan penceramah agar setiap umat Islam di dalam mencontohi nabi ketika berhubungan sesama mereka mengetepikan segala bentuk kepuakan, kepartian dan meletakkan tuntutan syahadatain mengatasi segalanya. Manakala Ustaz Karim juga turut mencadangkan agar seruan mengajak manusia ke masjid dilakukan seperti kempem pilihanraya.

Disediakan oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA
Read More...

Ummah Kini Terancam

KOTA BHARU: ISMA sebagai sebuah badan bukan kerajan (NGO) mesti prihatin terhadap ummah tanpa cenderung kepada mana-mana pihak dalam menerangkan isu-isu yg mengancam ummah berkait rapat dengan kristianisasi, syiah, pluralisma, liberalisma, krisis remaja dan identiti juga lain-lain tegas Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni 41, Naib Presiden 2 ISMA pusat.

Turut hadir didalam pertemuan dengan penggerak-penggerak ISMA kawasan ialah timbalan Yang di Pertua ISMA Kelantan, Ustaz Nik Ab Rahim Nik Aziz.

Pertemuan itu berlangsung selama 3 jam di pejabat ISMA Pasir Hor. Ustaz Fauzi berkata, tujuan utama kehadirannya ke Kelantan adalah untuk melihat hasil penurunan takwim tahunan ISMA sebelum ini, sejauh mana perjalanannya dan juga beberapa perkara berbangkit.

Disediakan oleh;
Abu Hafizoh,
Wartawan Media ISMA
Read More...

Kunjungan takziah ISMA Kelantan untuk Ustaz Halim

SEREMBAN,3 Febuari - Bersabarlah wahai ahli Syurga (InsyaAllah), demikianlah yang mampu diungkapkan buat Ustaz Abdul Halim Abdullah 47, Pengerusi Biro Dakwah ISMA Pusat itu. Alhamdulillah beliau sudah sedarkan diri sejak dua hari yang lalu.

Menurut Muhammad Hasan 21, anak ketiga Ustaz Abdul Halim, kemalangan yang berlaku kepada bapanya pada jam 630 petang 31 Januari lalu adalah berpunca daripada pertembungan secara berhadapan di simpang 4 Ampangan, Seremban. Katanya lagi, bapanya ketika itu dalam perjalanan pulang dari Tabung Haji cawangan Ampangan ke rumah untuk bersiap sedia solat Magrib dan menyampaikan Hadithus Tsulasa' (Pengajian Selasa) di Masjid Paroi Jaya. Ekoran daripada kemalangan itu, Ustaz Abdul Halim yang juga merupakan ahli Majlis Syura ISMA kini ditempatkan di Pusat Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Jaafar, Seremban.

Kebocoran paru-paru yang menyebabkan darah masuk kembali ke dalam paru-paru pada peringkat permulaan, pendarahan ringan di hati, tulang bahu kiri patah, tulang rusuk kanan yang ke-7 juga patah dan tulang belakang C6 retak kecil tidak menghalang Ustaz Halim membuka mata sedikit dan bersalaman dengan rombongan ISMA Kelantan.

Kunjungan takziah yang diketui oleh AJK ISMA Kelantan, Ustaz Nur Faizul Nuzam itu turut membacakan doa dan diaminkan oleh Ustaz Halim. Dalam pada itu Hasan turut berkongsi perkhabaran dengan panggilan telefon yang diterima dari mantan Mursyidul'aam Ikhwanul Muslimin Ustaz Mahdi 'Akief yang bertanya khabar tentang bapanya, menyampaikan salam dan mendoakan kesembuhan sesegera mungkin buat Ustaz Halim.

Salah seorang pengawal keselamatan berbangsa India berkata, setiap hari lebih 200 orang datang menziarahi Ustaz Halim. Semoga Ustaz Halim disembuhkan Allah dan dapat terus menjalankan amal islami di bumi Malaysia tercinta.

Disediakan oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA

Read More...
 
Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net