.

Kemujaraban Doa Nabi Ibrahim: Disambar api, muka Uqbah tak separah tangan.

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:
  • KOTA BHARU – Membaca doa doa Nabi Ibrahim dan menghembuskan ke tempat terkena api ternyata manfaat yang besar kepada Muhammad Uqbah bin Abdul Rahman, 17 tahun.

    "Ya Naaru Ku Ni Bardan Wa Salaman 'ala Ibrahim, Doa Nabi Ibrahim, itulah bacaan yang sempat dibaca oleh dua orang adik-adik saya dan dihembuskan ke muka Uqbah, tetapi tidak sempat membaca ayat tu dan hembuskan ke tangannya sebab bergegas ke hospital", itulah jawapan Ustazah Asmahriah binti Wan Ibrahim, ibu kepada Uqbah, menjawab pertanyaan doktor yang kehairanan melihat kecederaan di muka Uqbah tidak separah kecederaan di tangannya. Doktor itu hanya menganguk-anggukkan kepala mendengar penjelasan Ustazah Asmahriah.

    "Berdasarkan kajian luka di bahagian tangan dan kekuatan api yang menyambar, sepatutnya luka di bahagian muka sama parah dengan bahagian tangan, tapi di bahagian muka hanya menggelupas kulit sahaja berbanding kecederaan di tangan yang agak dalam sedikit", kata doktor yang merawat kepada Ustazah Asmahriah.
    Uqbah, anak lelaki kepada pasangan Naib Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kota Bharu, Ustaz Abdul Rahman Iskandar dan isterinya, Ustazah Asmahriah Wan Ibrahim, merangkap Ketua Wanita Isma Kota Bharu, dimasukkan ke Hospital Besut, Terengganu buat seketika pada pagi 6 Disember 2013 sebelum dipindahkan ke Hospital Universiti Sains Malaysia  (HUSM), Kubang Krian pada hari sama. Beliau dikejarkan ke hospital setelah muka dan tangannya disambar api ketika mula membakar sampah menggunakan petrol di laman rumah datuknya di Kg Raja, Besut. Beliau berbuat demikian setelah selesai memotong rumput dengan mesin pemotong rumput dan meletakkan mesin itu tidak jauh dari sampah yang hendak dibakarnya. Ketika kejadian Ustaz Abdul Rahman dan Ustazah Asmahriah tidak ada bersama Uqbah.

    Kejadian
    Ustaz Abdul Rahman menceritakan bahawa api cucuhan dari sampah yang hendak dibakarnya menyambar Uqbah dan tong petrol pada mesin pemotong rumput. Tong petrol tersebut terbakar selama lebih kurang setengah jam sebelum padam dengan sendiri sementara Uqbah dengan segera meluru masuk ke dalam rumah untuk mendapatkan bantuan.

    Rawatan
    Setakat ini Uqbah yang tidak sedarkan diri sejak kejadian sudah mula sedar walaupun masih memakai corong bantuan pernafasan. Kini Uqbah dirawat mukanya dengan kolagen dan mengambil masa 7-10 hari sebelum ditanggalkan. Ia kelihatan seperti pembalut plastik makanan. Sementara kecederaan di tangannya masih menunggu keputusan doktor sama ada memerlukan pembedahan atau tidak. Paru-parunya disahkan berkeadaan baik walaupun ada kemungkinan tersedut gas petrol.

    Sentimen Ukhuwwah Islamiyyah
    "Tragedi ini memang mencetuskan sentimen ukhuwwah yang mendalam. Ramai ikhwah dari Isma, Ikram, Haluan dan lain-lain dari beberapa negeri menelefon, hantar mesej sms dan Whatsapp dan menulis di Facebook tentang Uqbah ni. Telefon ana dan zaujah menerima mesej 24 jam dari ikhwah akhawat dari Johor hingga Perlis", Ustaz Abdul Rahman memberitahu, menyampaikan rasa terharunya atas keprihatinan sahabat-sahabat seperjuangan dalam gerakan-gerakan dakwah Islam di tanah air.
    "Rakan-rakan dari PAS dan Jemaah Tabligh pun ziarah. Ana diberitahu bahawa ahli jemaah di tiga masjid yang biasa ana menyampaikan kuliah mengadakan Solat Hajat untuk Uqbah. Ana terharu dengan perhatian Presiden  Isma dan zaujahnya yang sanggup turun ke Kota Bharu semata-mata untuk ziarah. Menyemarakkan perasaan ukhuwwah Islamiah," jelas Ustaz Abdul Rahman.

    Lawatan Presiden
    Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman dan isteri, Ustazah Norsaleha Mohd Salleh merangkap Ketua Wanita Isma, melakukan ziarah takziah kepada Uqbah dan keluarganya di Unit Rawatan Kebakaran, HUSM. Ustaz Abdullah Zaik dan Ustazah Norsaleha telah meluangkan masa lebih kurang sejam untuk bertanya khabar perkembangan Uqbah kepada Ustaz Abdul Rahman dan Ustazah Asmahriah. Presiden Isma dan isterinya telah tiba di Kota Bharu melalui penerbangan dan disambut oleh Yang Dipertua Isma Kota Bharu, Ustaz Nik Abdul Rahim bin Nik Abdul Aziz di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa sebelum dibawa menziarahi Uqbah dan keluarganya di HUSM Kubang Krian.
    Turut menyambut ketibaan Ustaz Abdullah Zaik dan Ustazah Norsaleha ialah Dr Ahmad Mahir, Pengerusi Pembina Kelantan, Dr Rozanizam, Setiausaha Majlis Pengkaderan Cawangan Isma Kota Bharu, Ustaz Khairul, Ajk Isma Kota Bharu, Ustaz Faisol, ahli Sekretariat Antarabangsa Isma, Ustaz Mohamad Ismail beserta isteri masing-masing.

    Disediakan oleh : Media ISMA KB

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net