Kota Bharu, 2 Feb: Di
antara kelebihan yang ada pada umat Muhammad S.A.W ialah kemampuannya untuk
bangun awal, mudah-mudahan apa yang dilakukan oleh kita semua pada pagi ini
mendapat rahmat kasih sayang Allah. Sesungguhnya Allah akan bagi dunia pada
sesiapa yang cinta pada dunia tersebut, adapun nikmat iman dan Islam, Allah
akan bagi hanya pada orang yang Dia pilih, jelas ustaz Muhammad Fauzi Asmuni,
Naib Presiden II Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).
Ustaz Fauzi turut menyentuh
hati-hati jemaah yang dengan katanya, agama itu nasihat, iaitu menasihati
manusia agar kembali kepada Allah, menasihati manusia agar kembali kepada ajaran
Rasulullah S.A.W, memberi nasihat kepada pemimpin-pemimpin Islam dan
nasihat-menasihati adalah merupakan sunnah juga budaya dalam Islam.
Islam mempunyai tabiat dakwah, ia
memberi ancaman kepada sebahagian manusia. Kisah-kisah yang disebutkan dalam
al-Quran, dan juga yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W melalui hadisnya
menjelaskan kepada kita semua bahawa agama ini akan bertembung dengan
mereka-mereka yang melawan dan menentang agama Allah, ujarnya lagi.
Katanya lagi, sebahagian dari
umat kita beranggapan bahawa pertembungan yang berlaku ialah kerana umat Islam
itu sendiri, kalaulah kerana itu sebenarnya, nescaya Nabi Muhammad S.A.W tidak
dimusuhi, tetapi sebaliknya yang berlaku, Nabi yang dicintai oleh kaumnya itu tetap
dijadikan musuh ketat oleh orang-orang kafir, jadi jelas di sini pertembungan
ini terus menerus berlaku sejak zaman dahulu hinggalah ke hari ini.
Allah telah menggambarkan tentang
tabiat pertembungan ini di dalam kitabNya yang mulia, mereka (musuh-musuh Islam
dari orang-orang yahudi dan nasrani) sama
sekali tidak akan redha hinggalah kalian mengikuti agama mereka, juga
dalam ayat yang lain, mereka sentiasa akan memusuhi kamu secara berterusan
sepertimana yang berlaku di Palestin, mereka dihalang dari melakukan solat di
masjid al-Aqsa oleh yahudi selama berpuluh-puluh tahun, ini menunjukkan
penghapusan agama yang cuba dilakukan secara halus oleh musuh-musuh Islam.
Ustaz Fauzi turut memperingatkan
ahli jemaah bahawa proses normalisasi di Malaysia telah berlaku pada kalimah
Allah, kongsi raya, penghapusan identiti sehingga orang melayu malu hendak
mengaku melayu dan sebagainya, hal ini kesannya bukan sekarang, tetapi akan
berlaku untuk jangka masa panjang kepada generasi-generasi kita yang akan
datang.
Kuliah subuh di masjid Sultan
Ismail Petra itu telah dihadiri oleh kira-kira 200 orang ahli jemaah. Turut
hadir, YDP ISMA Kota Bharu yang baharu, ustaz Nik Ab Rahim Nik Abdul Aziz.
Disediakan oleh:
Abu Hafizoh
Wartawan Media ISMA
0 Komentar Pembaca:
Post a Comment