.

Bangsaku Dipersimpangan Getir.....

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label: ,
  • Akhir-akhir ini kita mendengar pelbagai slogan yang di utarakan oleh pertubuhan-pertubuhan yang mewakili kaum Melayu di Malaysia samada parti politik atau NGO untuk menjaga kepentingan bangsa Melayu. Perjuangan tersebut tidak dikira asobiah jahiliyah selagi mana ianya tidak menzalimi kaum lain dan tidak melanggari batas-batas syarak.

    Perlu ditegaskan bangsa lain yang beragama Islam merupakan saudara kita seagama. Persaudaraan kita seagama tanpa mengira bangsa, geografi, keturunan dan warna kulit. Perbagai kaedah atau cara penyelesaian yang diutarakan untuk menjaga kepentingan bangsa Melayu.

    Apa yang penting ialah adakah ianya relevan dengan hakikat atau realiti yang ada lebih-lebih lagi adakah ianya bertepatan dengan fikrah Islam memandangkan bangsa Melayu merupakan tonggak Islam di Malaysia. Atau ianya satu slogan ramalan nujum pak belalang yang hanya bernujum barang dalam genggaman tangan lalu dinyatakan jawapan tanpa melihat dan mengkaji sedalam-dalamnya penyelesaian yang hakiki . Kalau betul ramalan Pak Belalang maka selamat sebuah negara. Bagaimana pula kalau berlaku sebaliknya maka tergadailah sebuah negara.

    Saya bukan bermaksud untuk menyamakan pertubuhan Melayu di Malaysia sebagai nujum Pak Belalang tetapi apa yang penting ialah marilah sama-sama kita berfikir dan berbincang mencari jalan penyelesaian bersama dan terbaik demi keunggulan negara, bangsa dan agama yang ditunjangi oleh bangsa Melayu.


    Kedudukan bangsa Melayu tidak akan tergugat kerana negara kita ada Sultan-Sultan Melayu dan perlembagaan yang menjaga kepentingan bangsa Melayu. Kumpulan ini mendakwa , mana-mana kumpulan yang ingin menafikan atau mengenepikan bangsa Melayu dalam persada politik tanah air mereka akan berdepan dengan Sultan-Sultan Melayu dan perlembagaan Malaysia sebagai benteng terakhir.

    Saya bukan bermaksud untuk menolak kepentingan kedudukan Sultan-Sultan Melayu dan perlembagaan Persekutuan tetapi persoalannya adakah ini satu-satunya cara yang terbaik untuk menyelamatkan bangsa Melayu dari terpinggir, menunggu dibenteng terakhir tanpa ada perjuangan dan agenda yang jelas dari anak bangsanya sendiri untuk mempertahankan maruah mereka. Kalau tewas dibenteng terakhir bermakna tergadailah maruah negara, bangsa dan agama.

    Kita kedengaran juga ada slogan menyatakan misi besar kita ialah Misi ke Putrajaya. Apa yang difahamkan ialah agenda penyelamat ummah ialah dengan kita menguasai Putrajaya. Maka perlu dibentuk pasukan pembangkang yang kuat dengan menggabungkan kekuatan dari kumpulan Islam dan bukan Islam untuk ke Putrajaya seolah-olah kumpulan Islam ini merasakan mereka akan diberi laluan mudah untuk mengetuai Putrajaya . Jika kita dapat menguasai dan mengetuai Putrajaya bermakna negara,bangsa dan agama akan selamat.

    Mengikut komposisi ahli Parlimen yang ada bukan perkara yang mudah untuk kumpulan ini mengetuai Putrajaya. Lebih-lebih lagi ada kumpulan bukan Islam mempunyai agenda mereka tersendiri di negara ini dengan dinasihati oleh anasir luar walaupun mereka berada dalam pakatan pembangkang.

    Pada masa yang sama ada kumpulan orang Melayu yang memperjuangkan kesamarataan untuk semua agama dan bangsa di Malaysia untuk menjaga sokongan dari kalangan bukan Islam seolah-olah semua agama adalah sama. Ini bermakna Islam tidak lagi berada ditempat yang sepatutnya di Malaysia.

    Lihat saja kepada senario politik di Sarawak walaupun ada kumpulan pembangkang menawarkan jawatan tertinggi negeri kepada penganut Kristian tetapi mereka tetap menolak kerana merasakan agama mereka lebih selamat bersama kerajaan yang ada. Tapi perlu diingat sokongan kepada parti pembangkang yang memperjuangkan survival bangsa mereka tetap kuat.

    Mereka akan memperolehi keuntungan dari kedua-dua keadaan. Bersama kerajaan untuk tingkatkan kuasa permintaan dan bersama pembangkang untuk kuatkan kuasa pendesak. Sejarah Temasik membuktikan bangsa Melayu dan agama Islam dipinggirkan bahkan lebih dari itu. Mereka bercakap agenda kesemarataan di Tanah Melayu tetapi sebaliknya dilaksanakan di Temasik. Agenda yang sama diperkenalkan di Malaysia oleh jaguh-jaguh anak didik mereka. Didoktrinkan di Temasik Malaysian Malaysia dan Malaysia Tengah tetapi ianya merupakan misi dan visi mereka di Tanah Melayu khasnya dan Malaysia amnya.


    Kalau kita melihat kepada kekuatan yang ada , bangsa kita masih mempunyai kekuatan yang boleh dibina. Apa yang penting marilah kita elakkan persimpangan yang boleh melemahkan ummah dan bangsa ini.

    Jangan biarkan bangsa ini terpinga-pinga di persimpangan yang tidak jelas hala tuju hayat mereka. Mereka pernah unggul dengan identiti bangsa dan agama mereka. Kita bersepakat dalam perkara yang kita boleh bersama demi keunggulan bangsa dan agama. Teruskan kaedah atau cara perjuangan mengikut cara masing-masing selagi mana ianya tidak bercanggah syarak. Jauhkan sifat hasad dengki, fitnah memfitnah sesama Islam demi kepentingan bersama.








    YDP ISMA Kelantan

    merangkap YDP Majlis Syura ISMA Malaysia

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net