.

Mahrojan NAZIM peringkat negeri Kelantan meriah!

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label: ,

  • Kota Bharu, 15 April : Biro Wanita ISMA Kelantan melalui Nadi Al-Azim (NAZIM) telah menganjurkan pertandingan Mahrojan NAZIM peringkat negeri Kelantan bertempat di Tadika Mawaddah, Wakaf Bharu. Program ini yang merupakan acara tahunan NAZIM seluruh negara adalah bertujuan untuk mencungkil bakat kanak-kanak yang terpendam dalam diri mereka.


    Program bermula pada pukul 9.30 pagi dengan ucapan aluan pengerusi majlis dan bacaan Al-Quran oleh adik Mannan b. Mohd Sidek. Manakala majlis perasmian pula telah disempurnakan oleh Ketua Wanita ISMA Kelantan, Ustazah Wan Azilah Wan Abdullah.


    Memetik kata-katanya, beliau menekankan bahawa anak-anak ini merupakan aset masa depan ummah. Oleh itu, dengan adanya program sebegini ia bukan sekadar mampu mencungkil bakat mereka, malah melatih anak-anak ini untuk tampil di tengah-tengah masyarakat dan menjadi satu role model kepada mereka di luar sana.


    Setelah itu, bermulalah saingan untuk merebut gelaran juara bagi acara-acara yang dipertandingkan antaranya bercerita, hafazan, nasyid, pidato dan azan. Pertandingan ini menyaksikan pertembungan antara dua penjuru iaitu persaingan antara daerah Kota Bharu dan Pasir Puteh. Seramai 50 orang peserta telah menyertai acara yang dipertandingkan.


    Juara bagi acara nasyid telah berjaya disandang oleh wakil dari daerah Kota Bharu. Acara hafazan bagi tahap satu telah berjaya dimenangi oleh adik Mannan mohd Sidek, 8, dan bagi tahap dua pula telah berjaya dimenangi oleh adik Haniff Mohd Sidek, 11. Secara keseluruhannya, pertandingan adalah sengit dan seimbang.


    Tahniah diucapkan kepada juara-juara ini. Wajah-wajah inilah yang bakal berentap di pusingan seterusnya iaitu di Mahrojan NAZIM peringkat Zon Timur. Buktikan NAZIM Kelantan boleh!


    P/S: InsyaAllah, banyak lagi gambar-gambar menarik yang akan dimuatnaik nanti. Diharap supaya para pelawat bersabar.



    Media ISMA Kelantan.


    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net