Bersama saudara Naim.
Kota Bharu, 27 Disember : Cuti sekolah yang masih berbaki beberapa hari lagi tidak dilepaskan begitu sahaja. Kelab Remaja ISMA (KRIM) Kelantan dengan kerjasama Pusat Pengajian Mawaddah telah menganjurkan program ‘Motivasi Muslim Cemerlang’ bertempat di dewan bangunan perpustakaan Dar Nur Az-Zahra’, Kota Bharu. Penyertaan program untuk kali ini terbuka kepada remaja umum yang merupakan pelajar-pelajar tingkatan 3, 4 dan 5. Secara keseluruhannya, peserta yang hadir untuk menyertai program ini adalah seramai 14 orang pelajar lelaki dan 26 orang pelajar perempuan.
Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan pendaftaran oleh para peserta sebelum dimulakan dengan ucapan ringkas pengerusi majlis pada pukul 9.00 pagi oleh saudara Ubaidah Zaidi. Kemudian, saudara Uqbah bin Zaidi dijemput untuk memperdengarkan beberapa potong ayat suci al-Quran dari surah al-Mulk sebagai simbolik perasmian program.
Jam 9.30 pagi, saudara Naim yang merupakan seorang penuntut di sebuah universiti di Australia dalam bidang kedoktoran memulakan slot pembentangan yang bertajuk ’10 Keperibadian Cemerlang’. Dalam pembentangannya itu, beliau menekankan tentang prinsip untuk berjaya itu bukanlah sekadar belajar bersungguh-sungguh sahaja. Malah ia seharusnya diadun sama dengan 10 ciri-ciri yang dibentangkannya yang merangkumi aspek fizikal, rohani, jasmani dan spiritual selaku seorang muslim. Beliau turut menayangkan beberapa klip video yang berbentuk dorongan motivasi kepada para peserta.
Slot yang dikendalikan oleh saudara Aiman Bustamin.
Sejurus itu, saudara Aiman Bustamin selaku penceramah kedua mengambil alih slot seterusnya dengan perkongsian pengalaman serta tip-tip untuk berjaya. Beliau telah menggariskan tiga elemen utama yang wajib dipatuhi untuk mengecapikejayaan iaitu hubungan baik dengan Allah, hubungan baik dengan ibu bapa dan dorongan dari rakan-rakan selaku pencetus motivasi untuk berjaya. Seterusnya beliau menyentuh serba sedikit tentang latar belakang KRIM melalui pembentangan slaid sebelum peserta berehat untuk minum pagi.
Pukul 11.15 pagi, program diteruskan dengan aktiviti Taaruf dan 'Fun Games' yang dikendalikan oleh para fasilitator yang terlibat. Peserta lelaki dan perempuan diasingkan di tempat yang berlainan bagi memberikan keselesaan semasa berlangsungnya aktiviti.
Selang 45 minit kemudian, aktiviti permainan berakhir dan diteruskan dengan sesi perkongsian oleh saudara Muhammad Syazwan Menon Abdullah dengan penyuntikan kesedaran kepada para peserta bahawa betapa perlunya kita mensyukuri nikmat Islam yang dianugerahkan Allah. Beliau mengakhiri kalamnya dengan sebuah persoalan untuk renungan, ‘Sejauh manakah kita mempraktikkan Islam bersandarkan nama diri yang Islam?’
Para peserta yang hadir.
Acara penutup disempurnakan oleh saudara Aiman Bustamin melalui ucapan penyimpulan terhadap program. Beliau juga menetapkan harapan agar para peserta dapat menarik sekurang-kurangya seorang rakan untuk bersama menyertai program-program KRIM yang akan datang. Program bersurai pada pukul 1.00 petang. Secara keseluruhannya para peserta berasa seronok dan berharap agar program-program sebegini akan diadakan lagi pada lain masa .
Unit Media ISMA Kelantan.
0 Komentar Pembaca:
Post a Comment