.

Tidak ada tawar menawar antara hak dengan batil

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label: ,

  • Kota Bharu, 25 Jan: Bila kita menyambut kelahiran (maulud) Nabi S.A.W, ianya bukan setakat berselawat, mengingati, malah bukan sahaja menyambut setiap tahun, tetapi yang paling penting ialah pengajarannya tegas yang dipertua ISMA Kuala Terengganu, Ustaz Doktor Razali Musa semasa menyampaikan kuliah maghrib di Masjid kampung Sireh.


    Beliau turut menjelaskan maksud rahmat di dalam ayat al-Quran yang bererti “dan tidak Aku utuskan engkau (wahai Muhammad) kecuali untuk memberi rahmat ke seluruh alam” ialah kita jauh beribu batu dari tanah arab, tetapi takdir Allah, dengan rahmat Allah, kita beriman, Allah pilih kita, di antara jutaan manusia, berbilion manusia, kita dipilih oleh Allah untuk menjadi manusia yang mengucap dua kalimah syahadah.

    Rasulullah S.A.W telah menukar bangsa arab daripada bangsa yang tidak ada guna, tidak berperi kemanusiaan, tiada sifat belas kasihan, saling bermusuhan, berzina, menganggap anak perempuan sebagai penyebab sial, menyembah berhala kepada bangsa yang cukup hebat, bangsa yang terpilih, sehinggakan sebelum sampai 50 tahun tersebarnya agama Islam, negara Rom dan Parsi telah jatuh ke tangan orang-orang Islam melalui anak didik Rasulullah S.A.W yang mulia iaitu Sa’ad bin Abi Waqqas, Umar al-Khattab dan sahabat-sahabat Rasulullah yang lain tegasnya lagi.

    Doktor Razali turut memperingatkan para pendakwah dan mereka yang bersemangat di dalam memperjuangkan Islam agar mengikut cara Nabi S.A.W, di mana Nabi S.A.W mendidik para sahabat dengan aqidah kemudian ibadah, katanya lagi, Nabi S.A.W bina aqidah yang sahih dalam bentuk tidak ada tawar menawar antara hak dengan batil seperti yang berlaku ke atas Bilal Bin Rabah, bermakna tidak ada tawar menawar antara Islam dengan jahiliyah. Beliau turut membacakan ayat terakhir dari surah al-Kaafiruun, لكم دينكم ولي دين yang bermaksud: Untuk kamu agama kamu dan untuk ku agamaku.

    Beliau juga turut memetik kata-kata Imam Malik R.H sebagai berkata "tidak akan baik akhir umat ini, kecuali dengan apa yang telah dilakukan oleh umat sebelum ini".

    Dalam isu bangsa Melayu, Doktor Razali juga turut menegaskan bahawa orang Melayu di bumi Malaysia adalah yang paling ramai dengan majoriti dari sudut bilangan sebanyak 60%, jika keluar Islam, maka dia bukan orang melayu mengikut perlembagaan, sebab itulah orang Melayu perlu memahami bahawa musuh-musuh Islam sentiasa menggunakan kaedah (pecah-perintah), kerana dengan perpecahan orang Islam, musuh -musuh Allah dan musuh-musuh Islam akan memerintah orang Islam.

    Beliau turut menyarankan agar seluruh umat Islam di Malaysia bersatu dalam isu yang berkait dengan masa depan umat itu sendiri.

    Katanya lagi, jahat macammana orang Islam pun dia masih Islam, baik macammana orang kafir, dia tetap kafir dan merupakan musuh kepada orang Islam. Ini soal aqidah tegasnya.

    Masjlis sambutan maulidur Rasul S.A.W itu telah dihadiri oleh kira-kira 800 ahli jemaah dan diakhiri dengan bacaan selawat beramai-ramai.

    Disediakan Oleh:
    Abu Hafizoh
    Wartawan Media ISMA

    Berikut adalah di antara gambar-gambar ahli jemaah yang hadir:




    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net