.

Hudud tak perlu ikut, kalimah Allah boleh guna, undi kami mahu

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Kenapa Guang Eng beriya-iya untuk gunakan perkataan Allah terjemahan kepada God dalam kitab Bible Melayu? Beberapa persoalan timbul yang perlu difikirkan oleh umat Islam yang prihatin dengan agama mereka. Antara persoalan yang perlu dijawab ialah, adakah ajaran Kristian perlu diubah setelah berlaku sekian banyak perubahan? Apakah kepentingan penganut agama Kristian di Malaysia sehingga memerlukan kepada perkataan Allah menggantikan dengan God? Dengan terjemahan ini adakah ianya boleh mengelakkan kekeliruan penganut Kristian terhadap tuhan mereka atau sengaja untuk mengelirukan umat Islam dari agama mereka?

    Beberapa orang pimpinan gerakan Islam telah mengeluarkan pendapat masing-masing. Ada pendapat yang mengatakan boleh guna kalimah Allah tetapi jangan salah guna. Persoalannya siapa yang menentukan `salah guna’? Apakah kriteria salah guna? Jika berlaku salah guna, siapa yang berhak jatuhkan hukuman yang setimpal dengan penyalahgunaan tersebut. Banyak lagi rentetan persoalan yang perlu dijawab. Peruntukan dalam undang-undang dan mahkamah untuk jatuhkan hukuman jika berlaku salah guna. Atau kita sebut je salah guna, biar takdir yang menentukan. Akhirnya generasi ummat yang ditelan proses kristianisasi yang terancang.

    Ada juga pendapat yang mengatakan: ‘Kita perlu buka ruang kepada mereka dan semoga dengan cara itu memberi peluang kepada golongan berkenaan mengenali Islam dengan lebih mudah’. Ianya menggambarkan seolah-olahnya dengan menggunakan kalimah Allah dalam kitab Bibble, penganut Kristian akan mengenali Islam dengan lebih mudah. Masalahnya kalimah Allah digunakan dalam kitab Bible, mereka membaca kitab Bibble. Apa kaitan dengan mengenali Islam? Bagaimana pula kalau muda mudi Islam yang cetek agama baca kitab Bibble, adakah akan memudahkan mereka mengenali Islam atau makin berlaku kekeliruan terhadap Islam?

    Ada juga yang mengaitkan dengan amalan masyarakat bukan Islam dalam Pakatan Rakyat khususnya di Kelantan sudah biasa dengan sebutan Masya-Allah, Alhamdulillah, Insya-Allah. Amalan harian tidak sama dengan perkara yang dibukukan dan menjadi bahan bacaan. Ada orang tahu bab agama dengan mendapat ijazah tinggi menggunung dalam agama tetapi amalan agama dalam kehidupan amat naif. Ada orang sikit ilmu agama tetapi penghayatan terhadap agama amat hebat.

    Akhirnya, apa yang orang kafir mahu kami perkenankan. Hudud tidak wajib kepada orang kafir. Kalimah Allah boleh digunakan dalam kitab Bibble. Apa lagi yang kamu mahu, cepat suarakan. Kami dari gerakan Islam akan menyokong. Apa yang penting UNDI KAMU KAMI MAHU. Kamulah saudara kami.

    Oleh: Ustaz Sharipudin Abd. Kadir
    Yang Dipertua
    Majlis Syura ISMA

    * Ustaz Sharipudin juga merupakan Yang Dipertua ISMA Kelantan

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net