.

Buang yang keruh, ambil yang jernih

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Sekarang sudah hujung Januari 2013, ada sekitar 4 bulan lagi untuk menuju ke penamat usia kerajaan Malaysia sedia ada. Bulan Jun 2013 nanti sepatutnya telah tertubuh sebuah kerajaan, samada kerajaan PR atau BN. Atau mungkin ada kumpulan lain yang sijil kelahirannya samar-samar kerana lahir dalam kekalutan percaturan politik negara yang meruncing. 

    PR atau pembangkang menghentam kerajaan seolah-olah mereka merasakan kerajaan khususnya UMNO akan berkubur, hanya menunggu kedatangan malaikat untuk sesi soal jawab. Mereka membayangkan Jun 2013 nanti kerajaan PR akan pasti membawa keadilan yang tak dapat dibayangkan dengan pancaindera, betapa adilnya kerajaan PR yang bakal menjelma. Di kampung, di desa, di bandar, di seluruh pelusuk negara seolah-olah perkataan zalim sudah tidak ada dalam perbendaharaan kata seharian. 
    Namun semuanya masih dalam bentuk penjelmaan. Jelmaan yang boleh berubah dalam pelbagai jelmaan. Jelmaan yang tidak dapat diramalkan kerana dalam PR bukannya PAS sahaja tetapi gabungan parti-parti lain yang ada agenda tersendiri. PKR ada agenda, DAP ada agenda, lain-lain kumpulan yang bergabung dalam pakatan juga ada agenda masing-masing.
    Alhamdulillah PAS masih memperjuangkan Islam sebagaimana asalnya, tetapi adakah parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat boleh menerima perjuangan yang dibawa oleh PAS atau PAS terpaksa akur dengan beberapa prinsip perjuangan demi menjaga hati kawan dalam Pakatan. 10 deklarasi HKR 112 baru-baru ini tidak disebut walaupun satu tuntutan untuk kedaulatan Islam jika dikatakan UMNO telah menggadaikan Islam. 
    Sepatutnya apabila PAS mendakwa UMNO telah menggadaikan Islam maka kami dari PAS dalam Pakatan Rakyat mesti menyatakan dalam deklarasi tersebut satu pernyataan yang jelas Islam yang akan kami laksanakan setelah kami dapat menguasai Putrajaya bersama Pakatan Rakyat nanti. Adakah tuntutan SULHU atau TAHALUF bermakna kita bertaqiyah ketika bersama dengan bukan Islam demi menguasai Putrajaya?
    Dalam percaturan politik, semua boleh berubah. PAS jangan terlalu merasakan bahawa UMNO tidak akan wujud lagi bila PR memerintah nanti. Seolah-olah semua rakyat Malaysia akan ada satu sijil sahaja iaitu sijil beranak PR. PAS pula jangan merasakan bahawa dengan PR,  Islam akan kembali gemilang. Tidak ada yang lain kecuali bersama PR , Islam akan gemilang.
    Sementara BN khususnya UMNO pula telah banyak dimuhasabah oleh ummah. Kebejatan dan kesalahan telah banyak diperkatakan oleh ummah. Ambillah peluang yang masih ada untuk kembali kepada Islam yang sejati. Jadikan kesilapan, kealpaan, keegoan dan ketamakan yang lalu dengan taubat untuk membina semula sejarah kegemilangan nenek moyang kita dengan Islam. 
    Kita bina semula jatidiri Melayu Muslim sebagaimana kegemilangan yang telah dicipta oleh datuk nenek kita. Kita telah membina kecemerlangan di Kepulauan Nusantara dengan nama Kerajaan Melayu Islam. PAS dan UMNO ada kekuatan untuk membina kegemilangan ummah Melayu Muslim. Gembelingkan kekuatan yang ada untuk kegemilangan Islam. Buang segala kesalahan, kesilapan, keegoan dan ketamakan lalu, serta kembali kepada Allah dengan taubat dan istighfar. Adakah HARAM untuk duduk semeja sekejap membina agenda ummah?
    Duduk semeja dengan disaksikan oleh seluruh ummah sebelum berlalunya PRU-13 yang tidak dapat dijangkakan bentuk jelmaannya. Buang yang keruh ambil yang jernih. Sama-sama kita menginsafi demi agama, bangsa dan negara. Ingatlah musuh kita yang nyata adalah mereka yang memusuhi Allah dan RasulNya. Musuh kita yang jelas ialah mereka yang mensyirikkan Allah. Mudah-mudahan kita diberi pertolongan oleh Allah setelah kita melalui saranan syarak agar kita kembali kepada Allah apabila timbul sebarang pertelingkahan.
    Oleh: Ustaz Sharipudin Abd. Kadir
    Yang Dipertua
    Majlis Syura ISMA

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net