Dalam artikel yang terdahulu, saya bawakan bicara mengenai setia kita pada Allah dan setia kita sesama makhluk ciptaanNya. Maka, topik kali ini saya memilih untuk berkisar dan tertumpu hanya kepada setia kita kepada dakwah Islam iaitu dalam mengembangkan agama fitrah ini bagi seluruh umat manusia.
Di mana cabaran dan tanggungjawab kita dalam merealisasikannya? Apakah kita sendiri sedar sebenarnya setiap insan yang diciptakanNya membawa satu amanah yang besar untuk menjaga kesejahteraan dunia dan tidak lain juga, hanyalah beribadat kepadaNya?
Di mana cabaran dan tanggungjawab kita dalam merealisasikannya? Apakah kita sendiri sedar sebenarnya setiap insan yang diciptakanNya membawa satu amanah yang besar untuk menjaga kesejahteraan dunia dan tidak lain juga, hanyalah beribadat kepadaNya?
Gambar hiasan
Seorang sahabat pernah mengajukan soalan kepada saya, “ Sampai bilakah dakwah dan usrah yang kita pegang selama ini akan kita teruskan?”
Saya termenung seketika dan hanya mampu menjawab,
“Sehingga kita akhir hayat dan umur kita.”
Dan pasti jawapan itu tidak memuaskan sahabat saya ini kerana pasti jikalau esok ajal kita datang menjemput, maka dakwah dan tarbiyah itu berhenti buat selama-lamanya. Beliau telah memberi satu jawapan yang mampu membuatkan saya berfikir panjang.
“ Dakwah ini akan diteruskan sehingga pada saat semua umat manusia di dunia ini memeluk agama Islam dan mengamalkannya.” Subhanallah... Di sini jelas bahawa betapa berat dan besarnya tanggungjawab kita ini sebagai makhluk istimewa ciptaanNya.
Sejauh mana kita mengetahui hakikat sebenar dakwah itu sendiri. Adakah kita secara individu sudah mengalami dan menghayatinya? Adakah konsep dakwah itu memadai hanya kita faham tanpa mempraktikkannya?
Dakwah ialah kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah SWT sesuai dengan garis aqidah, syariat dan akhlak Islam. Orang yang menyampaikan dakwah disebut Da'ie sedangkan yang menjadi objek dakwah disebut Mad'u.
Dakwah pada hakikatnya sudah diamalkan sejak dari zaman para rasul dan nabi. Mengajak umat manusia agar tunduk dan patuh kepadaNya. Dakwah Rasulullah SAW sendiri sangat tersusun strateginya. Dari 3 tahun dakwah secara rahsia, beralih pula ke dakwah secara terang-terangan.
Kemantapan strategi ini dapat dilihat dengan kejayaan dakwah baginda kepada umat Islam pada masa itu dan membawa kita semua menghargai sumbangan dakwah Islam itu sendiri. Oleh kerana itu, kita semua perlu didedahkan mengenai sejarah Islam agar segala iktibar dan pengajaran dapat kita pelajari sendiri pengorbanan kekasih Allah dan para sahabat baginda yang terdahulu.
Mungkin pengertian dakwah yang difahami orang ramai lebih ke arah dakwah yang kaedahnya hanya dapat direalisasikan dengan cara seperti ajakan dari rumah ke rumah, memberi pengisian dengan ceramah dan tazkirah (Dakwah bil-Lisan) serta anjuran pelbagai aktiviti bercorak Islam seperti penganjuran Qiammulail bersama-sama (Dakwah bil-Haal).
Ya, memang itu adalah antara kaedah dakwah yang selalu disediakan oleh badan-badan berwajib. Namun, masih ada lagi kaedah lain yang kita boleh lakukan selaras dengan kemampuan kita seperti dalam bidang penulisan (Dakwah bit-Tadwin) dan nasihat perseorangan sebagaimana yang dilakukan da’ie kepada mad'unya (Dakwah Fardiah).
Mungkin saya juga tidak sehebat mereka yang lantang berbicara di hadapan orang ramai menyampaikan nasihat, pesanan dan dorongan, namun usaha dalam bidang penulisan dan menjaga hubungan persahabatan dengan rakan-rakan juga membantu merealisasikan dakwah Islam itu sendiri.
Gambar hiasan
Walaupun pengalaman saya hanya sebagai pengikut sahaja, namun cara penyampaian pembimbing saya banyak membantu saya dalam memperbaiki kelemahan diri sendiri. Kemampuan saya mungkin terbatas, namun ini tidak menghalang saya untuk berkongsi dengan rakan-rakan saya apa yang saya dapat dan fahami.
Dakwah bukan hanya terhad kepada individu tertentu sahaja, malah seluruh umat manusia juga. Tidak mengira jantina, asal-usulnya dan di mana jua kita berada. Namun, sekuat mana insan itu sanggup melaksanakannya dan sesetia mana seseorang itu untuk menerimanya. Jangan sesekali kita futur di tengah perjalanan dakwah itu. Bukankah Allah telah berfirman,
“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman.” (surah Az-Zaariyat; ayat 55)
Tanggungjawab kita adalah sama. Telah ditetapkan asbab kita diciptakan olehNya. Membawa amanah sebagai khalifah di muka bumi ini dan dan pengabdian hanyalah kepada Allah SWT. Dan firmanNya juga,
“Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.” (surah Az-Zaariyat; ayat 56)
“Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah-khalifah di muka bumi. Barangsiapa yang kafir, maka (akibat) kekafirannya menimpa dirinya sendiri. Dan kekafiran orang-orang yang kafir itu tidak lain hanyalah akan menambah kemurkaan pada sisi Tuhannya dan kekafiran orang-orang yang kafir itu tidak lain hanyalah akan menambah kerugian mereka belaka.”
(Surah Faathir; ayat 39)
Memang tidak diakui, tanggungjawab ini sebenarnya sangat berat. Namun, kita seharusnya sedar. Bukan percuma segala yang Allah berikan nikmat kepada kita. Tidak malukah kita menggunakan nikmat Allah sedangkan kita kufur padaNya, berpaling tadah dari amanah yang Dia berikan kepada kita. Tepuk dada dan tanyalah iman kita.
Seorang sahabat pernah berpesan kepada saya, “Sekali engkau melangkah ke medan dakwah, jangan menganggap berada di satu landasan yang selesa. Tetapi sebenarnya laluan yang dilalui itu penuh duri kerana pasti ujian Allah itu buat hambaNya yang terpilih sahaja.”
Benar sekali. Bukankah orang yang diberi ujian oleh Allah itu orang yang beriman disisiNya. Percayalah! Pasti ganjaran Allah akan diberikan nanti setimpal dengan usaha kita ini. Biarlah keikhlasan hati bersama setiap kali dalam tindakan kita.
FirmanNya; ”Hai orang-orang mukmin, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad; ayat 7)
Jangan ragu-ragu pada janjiNya. Orang yang ikhlas membantu agama Allah SWT, pasti akan merasai nikmatNya. Dakwah kita biarlah berlandaskan Al-Quran dan Al-Hadis. Biarlah juga dengan bimbingan. Lebih indah lagi andai kita bersatu bersama-sama menegakkan syariat Allah ini. Sekalipun ada yang membantah dan enggan menerimanya, hanya kepada Allah SWT tempat dikembalikan. Pasti ada sesuatu yang tidak kena pada cara penyampaian dan keihklasan jiwa kita. Cuba renung dan muhasabah kembali.
Saya juga insan yang sangat lemah dan masih jahil dalam ilmu Allah. Namun, saya berharap dengan penulisan ini, Allah dapat menerima usaha saya yang kerdil ini sebagai salah satu kaedah dakwah dari saya. Saya sedar bahawa ada amanah yang Dia beri kepada saya. Hanya ini yang saya mampu. Andai ada salah dan silap, harap dapat diperbetulkan. Semoga kita terus bersama dengan mereka yang Allah redhai.
Bangkitlah demi agama kita, demi perjuangan Islam seluruhnya.
Allahu Akbar Walillaahil Hamd...
Nur Akmal Binti Ismail
Aktivis ISMA-INDIA (Perubatan)
Dilulus terbit oleh;
Media ISMA Kelantan
0 Komentar Pembaca:
Post a Comment