.

Liputan Pembentangan Seminar Keluarga Dakwah

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label: ,
  • Kota Bharu 27 Feb. - Seminar yang berlangsung di Hotel Raudah telah diteruskan dengan pembentangan oleh Ustazah Norakhilah Binti Baharin (Ketua Wanita ISMA Perak). Beliau telah membentangkan tajuk “Komunikasi Berkesan Dalam Keluarga Pendakwah” sejurus selepas perasmian majlis oleh Ustaz Sharipudin Abd Kadir.

    Antara penekanan yang amat menarik daripada pembentangan beliau adalah perlunya hubungan kasih sayang yang erat antara suami dan isteri. Bertukar-tukar hadiah boleh menjadi salah satu daripada cara yang berkesan untuk mengukuhkan hubungan kasih sayang suami isteri. Beliau juga turut menyelitkan aktiviti menarik yang telah dibuat semasa pembentangan beliau di mana setiap peserta yang telah berumah tangga mesti menulis empat sifat pasangan masing-masing yang disukai dan juga tidak disukai. Kemudian kertas yang berisi luahan peserta tanpa nama diserahkan kepada beliau. Seterusnya beberapa isi cebisan kertas terpilih telah dibaca di hadapan. Aktiviti ini sangat membuka mata peserta untuk menilai dan membaiki diri masing-masing agar keluarga yang dibina kekal utuh.

    Setelah tamat pembentangan ustazah terbabit, majlis berehat seketika. Jamuan makan disediakan kepada peserta. Seterusnya majlis dihangatkan lagi dengan acara forum. Saudara Aiman Bustamin wakil daripada "Persatuan Belia Islam Nasional" (PEMBINA) telah dijemput bagi mengelolakan forum terbabit.

    Ahli panel forum terbabit adalah terdiri daripada Ustaz Sharipudin Abd Kadir (YDP), Ustaz Fadzlan Shahidi Ghazali (YDP ISMA Cawangan Perak Tengah) dan juga isteri beliau Ustazah Norakhilah Baharin (Ketua Wanita ISMA Perak). Antara isi penting forum terbabit adalah penekanan kepada keutuhan institusi kekeluargaan dalam membentuk jati diri anak-anak. Tidak dinafikan bahawa insan-insan yang cemerlang dilahirkan daripada keluarga yang cemerlang. Suasana Rabbani dalam rumah dapat membantu dalam membentuk peribadi anak-anak.

    Ustaz Fadzlan (kiri) dan isteri beliau Ustazah Norakhilah (kanan)

    ketika menjawab soalan peserta seminar

    Setelah tamat pusingan ketiga forum, persoalan dibuka kepada semua peserta untuk bertanyakan sebarang persoalan. Akibat kesuntukan masa, majlis terpaksa memendekkan masa untuk menjawab setiap persoalan. Sekitar jam 1.10 petang, penggulungan forum dibuat dan majlis tamat sejurus tamatnya forum terbabit.

    Sememangnya seminar ini banyak membuka mata peserta dan menjadi ruang untuk mengingatkan kembali kepada peserta agar terus utuh dalam membina suasana Rabbani di dalam rumah tanpa menjejaskan aktiviti dakwah di luar.

    Media ISMA Kelantan

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net