.

Takziah Buat Ustaz Osman Mohd Noor

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:

  • Al-Baqo'u lillah... (Yang Kekal Hanyalah Allah) itulah di antara sms yang sampai kepada saya selepas mendapat berita pemergian seorang mujahidah dakwah ISMA al-marhumah ustazah Nazirah. Panggilan telefon bertalu-talu, kotak inbox h/set penuh dengan mesej-mesej pertanyaan dan ucapan takziah. Ada yang sempat saya balas, ada yang sempat saya jawab panggilan dan ada yang tidak sempat dijawab kerana beberapa urusan yang tidak dapat dielakkan.

    Innalillahi wa inna ilaihi roji'un... (kita dari Allah dan kepadaNya kita akan kembali) itulah antara ucapan yang meniti dibibir rakan dakwah ISMA ketika mana mendapat berita yang mengejutkan ini. Ya, kematian adalah satu perkara yang menggemparkan, mengejutkan dan membimbangkan. Soalnya sekarang... kita, bilakah lagi?

    Kata-kata Hikmah menyebut, “Ma min waraa Rajulin Azimin, illa wa ma’ahu imra’atun tasyuddu azrahu, Ummun kanat am Zaujah” (Tidak ada dibelakang seorang lelaki yang hebat, melainkan ada disana wanita yang memberi dokongan kepadanya, samada ibunya atau isterinya). Apa yang saya tanggap, ustazahlah orangnya wanita yang mendokong Ustaz disepanjang perjuangan beliau sejak awal perkahwinan mereka lagi.

    Suatu hari beberapa wanita Ansar ra. berbual sesama mereka. Mereka cemburu melihat suami-suami mereka mendapat fadhilat berperang di jalan Allah sedang mereka hanya tinggal di rumah, mengurus hal ehwal keluarga dan Dakwah dalam negara. Akhirnya mereka sepakat untuk mengadu kesedihan ini kepada Rasulullah saw.

    Rasulullah saw mengatakan , “Kamu dapat apa yang suami-suami kamu dapat“. Ya, para isteri mendapat ganjaran Jihad fi Sabilillah yang diperolehi suami-suami mereka. Bahkan mereka mendapat ganjaran Syahid, jika suami-suami mereka mendapat Syahid, walaupun mereka masih hidup dan tidak berpeluang ke medan Jihad.

    Moga Al-Marhumah ustazah Nazirah mendapat kesemua ganjaran perjuangan suami dan teman-temannya. Moga doa saya ke atas Al-Marhumah ditakbir ke 4 dalam Solat Jenazah juga diperkenan Allah “Allahumma la tahrimna ajraha. Wala taftinna ba’daha. Wagh firlana walaha” (Ya Allah. Jangan Engkau halang pahala Al-Marhumah (dari mengalir kepada kami). Jangan Engkau duga kami selepas ketiadaan Al-Marhumah. Ampunilah kami dan Al-Marhumah). (rujukan dalam blog inijalanku.wordpress.com)

    Semoga ruh al-marhumah ustazah Nazirah ditempatkan bersama para syuhada', solihin, muttaqin, Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Saya mengucapkan takziah setulus hati (dari lubuk hati yang dalam) kepada ustaz Osman (Suami al-Marhumah) atas ketentuan ini. Moga beliau tabah dan sabar mengharungi dugaan hidup bersama 2 anak tercinta (Khaulah dan Affaf).

    Ucapan terakhir saya di dalam blog ini kepada Ustaz Osman adalah apa yang diajar oleh Allah swt melalui RasulNya di dalam Hadis, “Inna lillahi ma akhaz, wa lahu ma a’tho. Wa kullu syai’in indahu bi ajalim musamma. Fasbir wala tahtasib” (Milik Allah apa yang Dia ambil. MilikNya jua apa yang Dia beri. Tiap sesuatu punya tempoh tertentu disisiNya. Bersabarlah dan harapkan ganjaran Allah atas kesabaranmu itu” (Hadis Takziah). “Al-Baqa’ lillah” (Sesungguhnya kekal itu hanyalah Allah swt semata-mata). Rujukan : Majmu’ah Ar-Rasail Al-Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna.


    Sumber: citaimpian.blogspot.com
    Diluluskan oleh: Unit Media ISMA Kelantan

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net