.

Al-Marhumah Ustazah Nazirah Sidik Dan Penglibatannya Di Medan Dakwah

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:

  • Al-Marhumah Ustazah Nazirah binti Sidik berasal dari Kg Ajil, Hulu Terengganu. Dilahirkan pada 12/6/1981, anak kelima daripada 8 orang adik-beradik. Penglibatan beliau di dalam dakwah bermula di Kolej JAIPUTRA pada tahun 1999 selama 3 tahun. Di sinilah beliau bersama-sama berganding bahu menjalankan pelbagai program untuk adik-adik baru bakal pelapis dakwah.



    Diantara program yang biasanya dilaksanakan ialah halaqoh imaniyyah, kursus, qiam, jaulah, perkhemahan, ziarah dan sebagainya. Selepas menamatkan pengajian beliau di Kolej JAIPUTRA pada tahun 2003, Al-Marhumah Ustazah Nazirah telah melanjutkan pengajian beliau di Universiti al-Azhar Mesir bersama 5 orang rakan dakwah dari Kolej JAIPUTRA iaitu Norhasyimah, Norasyikin, Nik Norazmalinda, Nurul Huda, dan Noraini.


    Semasa berada di Mesir Al-Marhumah Nazirah ditempatkan di rumah Terengganu manakala rakan dakwah lain tinggal bersama-sama rakan dakwah dari Kolej UNITI masing-masing dirumah yang berlainan. Tujuan kami semua ditempatkan secara berasingan, adalah kerana masing-masing diamanahkan untuk mendampingi mad’u masing-masing. Pada tahun 2004 setelah tamat peperiksaan di Universiti al-Azhar, Mesir beliau bersama teman seperjuangan iaitu Ukhti Nik Norazmalinda kembali ke Malaysia manakala rakan dakwah beliau yang lain pulang ke Malaysia agak lewat sedikit.


    Setelah berehat selama 2 minggu sahaja dirumah, Al-Marhumah Nazirah bersama Ukhti Nik Norazmalinda telah ditawarkan bekerja di Tadika Mawaddah, Tanjung Chat selama 2 tahun. Disinilah bermulanya penglibatan beliau yang lebih aktif dan terkedepan di dalam dakwah ISMA sebagai nadi tulang belakang kepada dakwah ISMA Kelantan dengan pelbagai program dan pentarbiahan yang telah dirancang dan dilaksanakan untuk melahirkan generasi pelapis dakwah.


    Pada tahun 2006 beliau sekali lagi bersama-sama teman seperjuangannya iaitu Ukhti Nik Norazmalinda diterima bekerja di Sekolah Menengah Islam Aman (SMI AMAN). Di sinilah lapangan dakwah semakin terbuka luas untuk beliau bergerak dan bekerja demi Islam dengan mengadakan pelbagai program halaqoh imaniyyah (Perkumpulan yang membina iman), MABIT (Malam Bina Iman Dan Taqwa), ziarah, perkhemahan dan sebagainya.


    Pada tahun 2007, beliau bersama teman seperjuangannya sekali lagi iaitu ukhti Nik norazmalinda telah sama-sama memohon untuk mengajar di Sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan bekerja sebagai guru agama sehinggalah ke hembusan nafas terakhir beliau.


    Al-Marhumah Ustazah Nazirah juga merupakan seorang yang begitu aktif di dalam dakwah ISMA kelantan dan merupakan nadi tulang belakang kepada dakwah tersebut. Pada 14/10/2009 jam 3.00 petang beliau terlibat di dalam kemalangan dan telah kembali kerahmatullah jam 4.15 petang.


    Beliau telah berkahwin dengan ustaz Osman Mohd Noor (AJK ISMA Cawangan Kelantan) dan meninggalkan 2 orang anak perempuan berumur 2 tahun dan 8 bulan. Maka berakhirlah epilog kehidupan seorang dai’eyah ilaLlah. Dengan pemergian ini dakwah bagaikan hilang sebutir mutiara yang teramat-amat berharga. Maka berehatlah ia disana dari segala tanggungjawab, beban dakwah dan tugas harian. Semoga rohnya ditempatkan bersama para siddiiqiin, syuhada', soolihiin, Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. (Amin)


    Nota untuk rakan dakwah di dalam ISMA: Walaupun ISMA Kelantan kehilangan sebutir permata yang amat-amat berharga… namun perjuangan dan dakwah perlu diteruskan oleh kita semua hingga bertemu Robb Tuhan Pemilik Alam Semesta.


    Kalimah Akhir: Al-Marhumah Ustazah Nazirah, merupakan Setiausaha Biro Wanita ISMA Kelantan. Seorang yang cukup ceria dan peramah. Mengharungi hidup ini dengan penuh semangat juang yang tinggi. Tidak pernah mengenal erti kepayahan. Selalu melontarkan idea-idea yang bernas. Sesungguhnya beliau adalah seorang mujahidah dakwah yang benar-benar ikhlas kerana Allah.


    Unit Media ISMA Kelantan


    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net