.

Ramadhan - Peluang Meningkatkan Ketaqwaan Diri Pada Allah

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:
  • Setiap kali Ramadhan berkunjung, masjid-masjid pasti dipenuhi oleh para jemaah yang bersolat jemaah untuk menunaikan solat fardhu, lebih-lebih lagi pada waktu solat terawih. Peliknya, pada bulan sebelum ini tidaklah sebegitu rupa. Selalunya hanya golongan yang sudah berumur sahaja yang kelihatan menghidupkan masjid, memenuhi ruang baris pertama. Untuk baris yang seterusnya amat jarang untuk kelihatan penuh.

    Gambar hiasan

    Sememangnya bulan ini datang membawa bersama rahmat yang memberikan ganjaran yang lumayan buat mereka yang menghidupkannya. Para sahabat Rasulullah S.A.W. amat merindui akan kedatangan bulan yang penuh mulia ini. Lantas, seawal bulan sya’ban lagi mereka sudah mempersiapkan diri dengan amalan-amalan soleh supaya diri mereka teguh menjadi tetamu bulan Ramadhan. Apabila bulan Ramadhan tiba, mereka menggandakan amalan-amalan ini.

    Daripada Aisyah R.A. meriwayatkan bahawa “Tidak pernah aku lihat Rasulullah berpuasa banyak seperti di bulan Syaaban dan tidak pernah aku lihat baginda berpuasa penuh seperti di bulan Ramadhan”.

    Di dalam satu hadis Nabi yang lain ada berbunyi bahawa “Ramadhan di awalnya adalah rahmat, di tengahnya adalah keampunan dan di akhirnya adalah pelepasan diri daripada neraka”. Maka rebutlah peluang hadiah pahala yang dijanjikan oleh Allah ini dengan amalan-amalan kebaikan dalam karnival ibadah ini, gandakanlah aplikasi amalan-amalan seperti qiamullail, tadarus Al-Quran, bersedekah dan sebagainya.

    Menjadi satu keistimewaan buat orang-orang yang berpuasa kerana sesungguhnya bau mulut mereka adalah lebih wangi dari haruman kasturi di sisi Allah. Kerana itu puasa adalah unik lantaran ia tidak dapat dinilai menerusi kacamata manusia bahkan hanya Allah sahaja yang menilainya.

    Gambar hiasan

    Di dalamnya terdapat malam Lailatul Qadar yang mempunyai kelebihan lebih daripada seribu bulan berdasarkan firmanNya “Sesungguhnya Lailatul Qadar itu adalah lebih baik daripada seribu bulan…”. Ummat nabi-nabi terdahulu memiliki tempoh hayat yang cukup panjang sehingga ada yang mencecah seribu tahun lamanya. Lantaran hayat umat kini yang pendek, maka Allah mengurniakan Lailatul Qadar yang tidak pernah di anugerahkan buat ummat terdahulu.

    Bersyukurlah kepada Allah dengan anugerah malam istimewa ini dengan memperbanyakkan amalan Qiamullail di malam hari sepanjang bulan Ramadhan. Semoga kita semua dapat merebut ganjaran tersebut.

    Dalam satu hadis menerusi riwayat Muslim bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud; “Setiap anak Adam itu digandakan pahalanya, satu kebaikan seumpama sepuluh, hingga 700 kali ganda. Allah berfirman (dalam hadis qudsi): Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah untuk Aku dan Akulah yang akan memberikan ganjarannya. Dia meninggalkan syahwatnya, makanannya kerana Aku.

    Bagi orang-orang yang berpuasa dua kegembiraan, kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraannya ketika bertemu dengan Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa itu lebih harum daripada bau kasturi di sisi Allah”.

    Ramadhan juga adalah bulan Al-Quran – yang menjadi petunjuk dan hidayah buat mereka yang beriman dan bertaqwa. Para ulama’ bersungguh-sungguh menghidupkan amalan ini di bulan Ramadhan. Imam asy-Syafie rahimahullahutaala contohnya akan mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali setiap tika tibanya bulan keberkatan ini.

    Rasulullah sendiri bertadarus al-Quran bersama Jibril dan mengkhatamkannya sebanyak sekali kecuali bulan Ramadhan sebelum kewafatannya iaitu sebanyak dua kali. Sikap ini, seharusnya tertuai kemas di dalam dada generasi hari ini khususnya para remaja, agar mereka tidak lemas dan mudah hanyut dalam gelombang ribut noda ketika ini. Di akhirat, al-Quran menjadi dua pilihan kepada kita – samada menjadi pelindung ataupun ancaman.

    Bersamalah kita doakan keberkatan ini turut dirasai oleh diri dan semoga kita tergolong dalam golongan sepertimana sabda Rasulullah S.A.W. ; “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan denagn penuh keimanan dan Ihtisab (mengharapkan pahala) maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas.” Dan dijauhkan daripada golongan yang apabila didatangi Ramadhan, tetapi tidak memperoleh apa-apa pun daripadanya.

    Unit Media ISMA Kelantan

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net