.

Perangkap Dunia

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:

  • Meneropong minda masyarakat, ramai yang menganggap dunia ini adalah segala-galanya, ibarat syurga kata mereka. Lantas, bereksperasikan anggapan ini mereka menjadi kelam-kabut berlumba untuk menguasai sebanyak mungkin ‘takhta’dunia yang mereka mahu.


    Gambar mentari pagi 27 Ramadhan 1429H


    Berkonsepkan ‘siapa cepat dia menjadi ‘raja’, mereka meletakkan kasih dan ihsan hanya untuk diri mereka, dek menggenggam prinsip bahawa dunia ini adalah hak milik mutlak mereka. Inilah sebenarnya perangkap paling besar yang pernah dicipta manusia, untuk diri mereka sendiri.



    Dunia – jika ditafsikan melalui al-Quran, kita akan dapati bahawa dunia ini adalah tidak lebih daripada suatu makhluk yang dicipta Allah, untuk menguji manusia. Namun alangkah malang sekali, kebanyakan manusia mendefinisikan dunia adalah tempat untuk berseronok semata-mata, dan tidak lebih daripada itu.


    Gambar mentari pagi 27 Ramadhan 1429H


    Inilah racun berbisa yang telah digunakan iblis – si penderhaka Allah dalam agendanya untuk menjatuhkan kemuliaan anak-anak Adam yang dilantik oleh Allah sebagai khalifah-Nya. Mereka (iblis) menggunakan dunia sebagai medan untuk membalas dendam terhadap bangsa manusia, untuk dijadikan teman di neraka yang maha dahsyat kelak, untuk sama-sama merasai ‘nikmatnya’ neraka sepertimana mereka mengatakan nikmatnya dunia ini.


    Andai kata dunia ini sama nilainya dengan sehelai sayap nyamuk, sudah pasti Allah tidak akan memberinya sedikit pun kepada golongan yang kufur kepada-Nya.



    Sejenak kita membuka minda fikiran. Jika kita mengatakan harta kekayaan itu menentukan martabat, orang kafir juga sebegitu – bahkan mereka memiliki harta jauh lebih banyak daripada apa yang kita ada.Andai kita mengatakan ilmu, pangkat dan kerjaya itu menentu darjat, kenapa golongan munafik yang kufur kepada Allah juga menikmatinya? Kerana itulah tiada nilainya dunia kecuali dengan
    TAQWA - iaitu aset yang paling berharga menentukan kedudukan dan taraf seseorang manusia disisi Penciptanya.


    Allah menyatakan bahawa tujuan penciptaan manusia adalah untuk beribadah. Inilah juga hakikat dunia itu dicipta, untuk melihat sejauh manakah manusia boleh beribadah kepada Tuhannya, berlantaikan hamparan khayalan (dunia).


    Sesungguhnya beruntunglah bagi mereka yang tidak tertipu dengan penjara fana ini, dek mata hati mereka bijak menilai. Sebaliknya, rugilah mereka yang mengagung-agungkan dunia ini. Sesungguhnya ia adalah perangkap yang nyata, maka berhati-hatilah kerana ia juga amat halus…

    Unit Media ISMA Kelantan

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net