Tumpat, 18-19 Disember: Kelab Remaja ISMA (KRIM) Kelantan telah mengorak langkah ke hadapan dengan penganjuran Perkhemahan Jatidiri Remaja Muslim dengan kerjasama Pusat Pengajian Mawaddah bertempat di Pantai Sri Tujuh, Tumpat. Objektif utama perkhemahan ini adalah bertujuan menerapkan nilai-nilai jati diri seorang muslim ke dalam peribadi peserta sebagai remaja.
Perkhemahan yang berlangsung selama dua hari satu malam ini berjaya mengumpul peserta lelaki seramai 35 orang dan peserta perempuan seramai 43 orang yang rata-ratanya adalah pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah. Apa yang menariknya, program ini turut disertai oleh seorang anak kepada salah seorang Ahli Jawatankuasa ISMA Pusat.
Program bermula pada pukul 6 petang pada hari Jumaat dengan pendaftaran oleh para peserta dan diteruskan dengan slot ‘Ice Breaking’. Pada sebelah malam, program diisi dengan slot pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Ahmad Ismail dengan ceramah yang bertajuk “Berbakti kepada Ibu Bapa”, sebelum diteruskan dengan aktiviti kembara malam melalui permainan secara berkumpulan.
Antara lainnya perkhemahan ini turut diisi dengan aktiviti kesukanan, motivasi, team building, dan aktiviti-aktiviti lain yang membina jati diri. Ustaz Othman Muhammad selaku Timbalan YDP ISMA Kelantan turut melibatkan diri dengan program perkhemahan ini melalui kuliah subuh yang disampaikannya yang bertajuk “Salman Al-Farisi : Pencari Kebenaran“.
Seorang peserta, Raja Norizqan Raja Rohaizad, 13, berkata,“ Program perkhemahan ini penuh dengan ilmu pengetahuan berguna yang mendidik para peserta. Sudah pasti ia mendidik kami untuk menjadi remaja muslim yang unggul”.
Majlis penutup diadakan pada pukul 12 tengah hari (Sabtu - 19 Disember) dengan ceramah yang bertajuk “Ukhuwah Fil Islam” yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Karim Muhammad. Beliau menekankan tentang pentingnya persaudaraan dalam Islam kepada para peserta sebagai satu asas dalam membina peribadi remaja muslim.
Saudara Rahim Osman selaku wakil dari KRIM Kelantan memberikan sepatah dua kata tentang pengenalan KRIM dan peranannya kepada peserta sebelum program berakhir. Turut bersama dalam program ini ialah YDP ISMA Kelantan, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir.
Saudara Rahim Osman selaku wakil penerangan KRIM Kelantan
Barisan peserta lelaki bersama YDP ISMA Kelantan (belakang, kanan sekali)
Sebahagian peserta perempuan yang merupakan Ahli KRIM Kelantan
Unit Media ISMA Kelantan
0 Komentar Pembaca:
Post a Comment