.

Temubual Ekslusif Bersama Saudara Baru Islam

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:
  • Kota Bharu: 10 November 2009, jam 7.15 malam, selepas solat maghrib berjemaah, Unit Media ISMA Kelantan (MI) telah mengadakan temubual dengan seorang saudara baru Islam yang baru memeluk Islam bernama Muhammad Syazwan Bin Menon Abdullah. Beliau berketurunan India dan baru dua tahun memeluk agama yang murni ini yakni Islam. Berikut adalah temubual antara MI dan akhi Syazwan (MS) :


    Gambar akhi Muhammad Syazwan Bin Menon Abdullah


    MI : Assalamualaikum.


    MS : Alaikassalamwarahmatullahiwabarakaatuh.


    MI : Apa khabar saudara?


    MS : Alhamdulillah. Sihat walafiat.


    MI : Pertama sekali bolehkah saudara ceritakan serba sedikit tentang latar belakang saudara

    dan keluarga saudara?


    MS : Bismillahirrahmaanirrahiim. Nama saya Muhammad Syazwan bin Menon. Sekarang saya berumur 21 tahun. Saya berasal dari Pulau Pinang. Saya lahir di Bukit Mertajam, Pulau Pinang dan tinggal di sana bersama keluarga sehingga saya berumur 18 tahun. Kemudian saya berhijrah ke Kelantan dan dengan izin Allah saya telah berhijrah ke Mesir untuk mendalami ilmu di sana. Seterusnya saya menetap di Mesir selama dua tahun bersama ikhwah (ISMA) di sana dan alhamdulillah sekarang ini saya berada di tanah air Malaysia selama seminggu.


    Akhi Syazwan Ketika Ditemubual Oleh Unit Media ISMA Kelantan


    MI : Apakah perkara yang membuatkan saudara tertarik untuk masuk agama Islam?


    MS : Sebelum itu sebenarnya saya lebih gemar untuk menggunakan perkataan `kembali kepada fitrah’ berbanding perkataan `masuk Islam’ kerana semua orang sebenarnya dari sudut fitrah adalah berasal daripada Islam. Bagi saya perkataan `masuk’i ni telah digunapakai oleh orang kristian untuk mengelirukan kita.


    Jadi ceritanya bermula apabila saya berumur 15 tahun iaitu ketika berada di tingkatan tiga. Saya mula mencari tentang Islam sejak akhir tingkatan tiga dan pencarian saya ini berterusan selama tiga tahun. Saya mula meneliti tentang Islam ini apabila seorang kawan saya yang beragama Islam bertanyakan saya tentang agama Hindu.


    Beliau bertanya "mengapa dalam India sembah banyak tuhan”?. Saya terkejut juga dengan pertanyaan itu. Jadi dengan nada seolah-olah mempersenda saya menjawab” Allah tuhan, Muhammad pun tuhan”. Lalu kawan saya itu tanpa kelihatan marah menjawab ”sebenarnya Allah saja tuhan dan Muhammad adalah Rasulullah”.


    Mendengarkan perkataan Rasulullah hati saya terasa seolah tertarik kerana ini pertama kali saya mendengar pekataan Rasulullah. Sebenarnya perkataan Muhammad Rasulullah lah yang membuatkan hati saya tertarik dengan agama Islam ini. Kalau mangikut agama hindu manusia pun boleh jadi tuhan atau dewa. Jadi barulah saya tahu hanya Allah saja Tuhan dalam agama Islam.


    MI : Apakah perkara lain yang membuatkan saudara ingin mengenali Islam dengan lebih mendalam lagi ?


    MS : Selain itu, saya juga berkawan dengan ramai orang Islam yang berpegang teguh dengan ajaran Islam yang sebenar. Semenjak tingkatan 1,2 dan 3 kelas saya mempunyai pelajar yang berbilang kaum. Apabila masuk tingkatan 4 saya berpindah ke sekolah lain. Kelas saya mempunyai 20 orang dan 19 orang adalah berbangsa Melayu dan hanya saya seorang berbangsa India. Selain itu rumah saya juga berada dalam kawasan orang Melayu. Jadi apabila ada masyarakat Islam yang mengamalkan akhlak baik saya terasa ingin mengetahui tentang Islam dengan lebih mendalam lagi dan apakah yang membuatkan mereka mempunyai perangai yang mulia sedemikian.


    MI : Seterusnya, apakah pendedahan awal yang anda peroleh daripada ajaran Islam ini?


    MS : Saya banyak juga dapat pendedahan di sekolah. Di sekolah, ada pembahagian pembelajaran untuk orang bukan Islam. Biasanya di sekolah, apabila ada masa matapelajaran pendidikan Islam, orang bukan Islam akan belajar moral atau rehat. Jadi saya ni sebenarnya jenis orang yang tidak suka buang masa rehat. Jadi saya akan memasuki kelas pendidikan Islam. Sebenarnya saya ingin mencari siapakah sebenarnya Muhammad yang diagungkan sehinggakan rakyat di Malaysia menyambut hari kelahiran baginda dengan penuh meriah. Saya terus mengikuti kelas pendidikan Islam ini dan saya amat minat belajar sejarah Islamiyah.


    MI : Jadi anda amat berminat tentang Muhammad lah?. Seterusnya bagaimanakah penerimaan orang lain apabila melihat anda berminat tentang Islam?


    MS : Kawan saya amat sukakan apabila melihat saya tertarik dengan Islam. Mereka lebih rapat dengan saya dan banyak tolong saya. Saya juga mempunyai seorang cikgu dan kini saya memanggilnya dengan gelaran ummi. Beliau amat mengambil berat terhadap saya apabila saya berminat dengan Islam. Oleh itu, beliau membawa saya berjumpa dengan seorang pendakwah.


    Pendakwah ini juga bekas kristian dan beliau juga adalah bekas paderi. Sekarang beliau bertugas dalam bahagian dakwah Islamiyah di Pulau Pinang. Beliau telah menjadi kaunselor saya di sana. Beliau juga telah menjelaskan konsep ketuhanan dalam kehidupan kepada saya. Setelah mendengarkan penerangan beliau saya secara automatik malafazkan kalimah syahadah di depan beliau.


    Apabila saya menyebut LAAILAAHA ILLALLAH MUHAMMADUR RASULULLAH fikiran saya terhadap ketuhanan yang sebelum ini dianggap banyak terus terpadam. Otak saya jadi kosong dan dalam kepala saya hanya terfikir LAAILAAHA ILLALLAH yakni tiada Tuhan selain Allah. Barulah saya tahu yang Tuhan hanyalah satu.


    Selepas itu, saya terus pergi ke kuil, saya tanya patung yang saya sembah itu. Dengan nada hairan saya bertanyakan patung itu "kenapa bodoh sangat aku sembah kamu selama 18 tahun”.saya terus berfikir dan berfikir.


    MI : Bagaimanakah cara anda masuk Islam?. Secara terbuka atau rahsia?


    MS : Saya memeluk Islam secara rahsia selama 3 bulan. Ketika itu yang tahu saya peluk Islam hanyalah teacher saya, ayah angkat (Ustaz Zawawi) iaitu imam di masjid At-Taqwa, dan ahli kampung saya yang banyak menyokong dan mengajar saya tentang kaifiat mengerjakan solat, mengaji dan banyak lagi. Ketika itu ibu bapa saya masih belum mengetahui pengislaman saya.


    MI : Selepas tiga bulan bagaimana keluarga anda mengetahui pengislaman anda?


    MS : Selepas tiga bulan saya kantoi kat rumah. Kalau di sekolah di penang pada hari Sabtu ialah hari kokurikulum. Jadi ketika saya balik dari KoKo, mak bertanyakan saya ”mak dengar engkau masuk masjid, betul ke?”. Saya agak terkejut juga dengan soalan itu. Jadi saya cubalah sembunyikan. Selepas itu mak saya tarik saya pergi kat berhala dan letak tangan saya atas kepala berhala itu, beliau menyuruh saya bersumpah. Saya tidak pedulikan berhala itu sebab dia bukan tuhan saya. Jadi saya bersumpah jel ah bahawa saya tak masuk masjid.


    Sebenarnya mak saya dah tahu saya masuk masjid tapi beliau berpura-pura buat tidak tahu. Disebabkan beliau tidak puas hati, beliau menarik tangan saya ke atas kepala beliau dan menyuruh saya bersumpah. Kalau mangikut kepercayaan orang Hindu, kalau sumpah orang itu palsu ketika tangan di atas kepala ibu, orang itu akan mati.


    Jadi saya pun mengaku yang saya pergi ke masjid. Saya cuma cakap yang saya hanya mahu melihat orang mengaji. Mak saya masih tidak percaya dan mengatakan bahawa beliau tahu yang saya sembahyang dalam masjid. Beliau tanya saya "betolkah kau dah masuk Melayu?”. Pengetahuan bagi orang bukan Islam terhadap orang Islam adalah mereka melayu kerana mereka melihat agama Islam lebih ke arah kebudayaan. Jadi, mendengarkan pertanyaan itu, saya pun mengakulah dan mengatakan ”mak, maafkan saya mak. Saya dah masuk Islam.


    MI : Apakah tindakan yang dilakukan oleh emak saudara selepas itu?


    MS : Mak saya amat marah mendengarkan pengislaman saya. Selepas beliau mendengarkan ucapan pengislaman saya beliau terus memukul saya dengan penyapu sampai patah 3 penyapu itu.


    MI : Selain itu, bagaimana penerimaan keluarga saudara terhadap pengislaman anda?


    MS : Keluarga saya semuanya mengenepikan saya sebab nak menyuruh saya masuk Hindu balik. Saya juga turut dikurung dalam bilik selama beberapa hari sehinggakan saya tidak pergi ke sekolah. Saya juga turut buat rancangan untuk keluar rumah untuk mancari ketenteraman.


    Akhirnya saya menggunakan Persatuan Rakan Muda yang saya sertai untuk keluar rumah. Ketika itu Kelab Rakan Muda menganjurkan aktiviti luar. Saya diberi izin keluar tapi dengan syarat yang banyak. Antaranya saya perlu sembahyang di kuil dengan sepenuhnya seperti sembahyang seorang pendeta.


    MI : Apakah rancangan saudara jika keluarga saudara masih belum tahu lagi pengislaman saudara?. Adakah saudara mahu menyembunyikan pengislaman saudara untuk selamanya?


    MS : Saya sebenarnya bercadang untuk terus merahsiakan pengislaman saya ini tapi dengan menunjukkan akhlak yang baik sehinggalah keluarga saya kagum dengan perubahan saya. Selepas itu barulah saya ingin mengaku pengislaman saya dan sekaligus mengajak mereka mengikut jejak saya. Tapi, tidak tercapai hasrat saya kerana saya dah kantoi awal sangat.


    MI : Bagaimana penerimaan keluarga saudara sekarang ini?


    MS : Sekarang Alhamdulillah keluarga saya dah boleh terima saya kerana di mesir saya sentiasa menelefon mereka dan bertanya khabar mereka dan menunjukkan akhlak yang baik sehinggakan jikalau saya tidak telefon ayah saya, ayah saya pula yang telefon saya. Saya juga cuba untuk mendakwah mereka malalui surat, tapi tidak berjaya. Sekarang baru saya tahu sebenarnya cara untuk berdakwah orang bukan islam bukan dengan cakap tapi kita perlulah menunjukkan akhlak yang baik depan mereka. InsyaAllah mereka akan terima Islam.


    MI : Bagaimana kehidupan saudara sekarang ini selepas memeluk Islam?


    MS : Perkara pertama yang saya rasa adalah kelegaan hati. Jika dulu semasa `jahiliyah’ hati saya terasa berat sangat. Tapi sekarang saya berasa amat tenang kerana saya ada satu yang boleh saya berpegang teguh iaitu Allah. Selain itu, jikalau dulu saya tidak suka sangat membaca buku, tp sekarang saya semakin minat membaca kerana saya perlu lebih banyak membaca untuk mendalami Islam.


    MI : Apakah buku yang biasa saudara baca?


    MS : Biasanya saya membaca buku yang Islamik seperti buku pemantapan aqidah dan saya suka membaca buku tentang cara berdakwah orang bukan Islam.


    MI : Justeru, apakah matlamat saudara pada masa akan datang?


    MS : Bagi saya perkataan matlamat adalah perkara yang mesti saya buat. Jadi matlamat saya yang utama adalah untuk mengislamkan semua ahli keluarga saya. InsyaAllah.


    MI : Biasanya setiap perkara yang kita lalui pasti ada cabaran. Jadi apakah cabaran saudara sepanjang melalui kehidupan yang baru ini?


    MS : Betul, setiap perkara pasti ada cabaran. Cabaran utama saya adalah ilmu. Saya tidak tahu Al-Quran, bahasa arab dan banyak lagi tentang Islam. Ilmu ini amat berat bagi saya. Tapi bagi saya berat bukanlah akan berat untuk selamanya. Oleh itu, saya pun pergi berhijrah ke Mesir untuk mendalami bahasa arab dan Al-Quran. Setakat ini Ahamdulillah saya sudah khatam Al-Quran beberapa kali dan boleh bertutur dalam arab. (Beliau telah khatam membaca terjemahan al-Quran sebanyak 4 kali. pent)


    MI : Siapakah pembimbing saudara dalam menghadapi cabaran ini?


    MS : Antara pembimbing saya adalah ayah angkat saya di sini Ustaz Zaidi Bin Muji (Bendahari ISMA Kelantan) ayah angkat di kampung Ustaz Zawawi dan mak angkat saya Puan Rosmawati, ikhwah muslimin, dan yang paling banyak bagi sumbangan dalam dakwah Dr.Syakirin.


    MI : Apakah Badan NGO yang paling banyak membantu saudara?


    MS : Saya paling berterima kasih kepada Ikatan Muslimin Malaysia ( ISMA ) terutamanya ISMA Kelantan, ISMA Mesir dan ISMA Pulau Pinang kerana paling banyak membimbing saya dari segi Islam, Aqidah, Ibadah, Al-Quran untuk terus kekal dalam Islam. Tanpa Badan ini mungkin saya dah kembali ke neraka. Nauzubillahiminzaalik.


    Akhi Syazwan Tersenyum Ketika Mengungkapkan Ucapan Terima Kasih Kepada Semua Yang Terlibat Secara Langsung Atau Tidak Langsung Dalam Proses Keislamannya


    MI : Akhir sekali, apakah harapan saudara untuk masa akan datang?


    MS : Setakat ini saya masih belum berpuas hati dengan diri saya. Saya rasakan ilmu yang saya ada amat sikit. Jadi saya akan terus menuntut ilmu dan akan mengambil STAM di sebuah sekolah di Perak. Saya juga berniat untuk jadi pendakwah bebas dan saya sukakan moto ini iaitu `jadi yang terbaik dan sentiasa terbaik’ untuk terus menaikkan semangat saya untuk menjadi insan mulia. InsyaAllah.


    Saya juga berharap agar dapat berdakwah kepada rakan-rakan yang lama saya tinggalkan. Satu lagi saya lihat banyak orang Islam di Malaysia mempunyai nama Muhammad di depan, jadi saya harap biarlah kita jadi seperti Muhammad s.a.w sebagaimana kita letak Muhammad di depan nama kita dan menunjukkan kepada orang ramai bahawa inilah yang dibawa oleh Islam.


    MI : Jadi, itulah sahaja temubual kita. Terima kasih atas kesudian saudara untuk ditemubual. Syukran yaa akhi. Saya harap saudara berjaya mencapai impian saudara. Barakallahufiika.


    MS : InsyaAllah. Syukran.


    MI : Assalaamualaikum


    MS : Waalaikummussalam Warahmatullaahi Wabarakaatuh


    Unit Media ISMA Kelantan

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net