Rata-rata masyarakat hari ini melihat isu kerosakan remaja sebagai satu adat dan dianggap perkara kecil untuk ditangani. Sistem sosial yang membenarkan pergaulan bebas menambah parah ke atas jiwa remaja yang sudah di ambang kritikal.
Disini kita melihat wujudnya satu situasi yang dikenali sebagai dilema, satu senario remaja yang dilema alam realiti sebuah kehidupan. Mereka sudah tidak ‘mampu’ untuk membezakan kebenaran dan kemungkaran. Sketsa ini, andai dibiarkan menular pasti bakal menjatuhkan martabat maruah bangsa dan tanah air, sebelum melenyapkan tamadun peradaban Muslim.
Ia bermula sejak berkurun dahulu, arus malapetaka budaya barat yang melanda negara yang datang dari penjajah bertujuan menjatuhkan Islam. Media massa yang bertindak sebagai ‘senjata’ masa kini sentiasa memainkan peranan sebagai ‘warisan’ penjajah untuk meyakinkan remaja bahawa dunia adalah alam keseronokan, dengan mengambil kira Barat sebagai paksi. Apa sahaja yang datang dari ufuk itu adalah kebaikan dan ia patut dicontohi.
Maka wujudlah satu persepsi di minda remaja bahawa dunia adalah port untuk keseronokan, kebebasan dan kemewahan semata-mata . Ditambah pula cerita-cerita, filem, panorama hari ini yang seolah-olah membawa mesej bahawa budaya kuning seperti hip-hop, punk, shuffle,couple dan seumpamanya adalah penyelamat untuk remaja, sedangkan para syabab (remaja) yang berjuang untuk menegakkan kalimah Allah dilabel sebagai pengganas.
Akibatnya, remaja hari ini dilema. Keliru antara khayalan dan alam realiti, keliru untuk menilai antara kebaikan dan kemungkaran. Dan apa yang paling pasti, mereka keliru untuk mencari identiti mereka yang original (hakiki) dalam meniti sebuah medan kehidupan.
Akhirnya mereka kecundang. Memilih kemungkaran dan dosa sebagai pilihan setelah diperdaya hasutan hantu syaitan dan nafsu iblis. Mereka memaku diri mereka di dinding kehinaan, angkara tiada tarbiah hati yang mampu menyelamatkan mereka dari landasan itu.
Matlamat Menghalalkan Cara
Para kolonis barat sememangnya licik. Mereka melabelkan yang halal adalah haram manakala haram adalah halal dan ianya baik buat remaja. Lantaran itu, pelbagai rangka untuk menghancurkan umat dicipta. Kita mengambil satu contoh yang mudah; zina adalah suatu perbuatan terkutuk dan dilaknat Allah, menghampirinya pun sudah dikira berdosa apatah lagi melakukannya.
Di kesempatan ini pihak sekular dan anti-Islam cuba memanipulasikan umat dengan memberikan gambaran bahawa ia merupakan suatu yang positif untuk remaja. Selajur mereka menamakan semula atau re-branded, maka wujudlah kebebasan, kehidupan universiti, couple, semangat kesukanan (bercampur lelaki perempuan), budaya ’kawan studi’, chatting, SMS dan banyak lagi. Ramai remaja tidak menyedari bahawa semua ini adalah langkah menuju zina, lantaran ia di'ringankan'. Cuba bandingkan, zina dan seks bebas, manakah yang lebih berat bunyinya? Lain bukan?...
Di eropah, ibu bapa hari ini semakin takut bercampur bimbang untuk melepaskan anak perempuan mereka keluar untuk bersuka ria. Mereka harus berfikir beberapa kali terlebih dahulu untuk memberi keizinan. Di Amerika Syarikat yang dianggap ‘bapa kemodenan’, rata-rata ibu bapa memilih untuk menyekolahkan anak-anak perempuan mereka di sekolah yang mempunyai pelajar perempuan sahaja, lantaran bimbang gadis mereka bakal menconteng arang keluarga.
Mengikut statistik pula, Amerika Syarikat menjadi tempat paling popular berlakunya aktiviti pembunuhan, rompakan, rogol dan sebagainya dengan kadar remaja adalah yang tertinggi melahirkan anak luar nikah. Justeru, remaja hari ini khususnya Muslim harus membuka mata dan open minded akan perihal ini; bahawa inilah yang dinamakan up to date...
Namun kroniknya, sebahagian ibu bapa di Malaysia masih tidak menyedari inflasi ini. Bagi mereka, apabila anak-anak mereka memasuki alam remaja, mereka sudah boleh dilepaskan dan diberi kebebasan kononnya. Apabila mengetahui anak mereka terlibat dalam pengedaran dadah, samseng dan melahirkan anak haram, barulah mereka menjadi tidak tentu hala sehingga ada yang sanggup membunuh dan tidak mengaku anak.
Menjadi Remaja Sejati
Lebih kurang 14 abad yang silam, seorang Rasul yang bernama Muhammad diutuskan Allah kepada manusia sarwajagat. Fokusnya hanya satu. Mendidik manusia ke arah kebaikan dan menjauhi kerosakan hati dan jiwa. Bersesuaian Hadis Nabi; “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia”.
Islam itu adalah sempurna dan ia juga merupakan satu gaya hidup. Segala yang terkandung di dalamnya adalah lengkap, menepati fitrah insan. Justeru, perlunya remaja hari ini kembali kepada gaya hidup Islam yang hakiki dengan menghidupkan kembali ‘Mukmin Lifestyle’ dalam jiwa remaja, agar ruh al-Quran dan sikap ‘rujulah’ jelas terpancar menerusi peribadi dalaman dan luaran yang unggul. Remaja adalah tiang konkrit ad-Deen.
Sewaktu di awal era dakwah Islam, Rasulullah pernah berdoa kepada Allah agar meng-Islamkan 2 Umar samaada Umar atau Abu Jahal (Abal Hikam). Ini kerana kedua-duanya merupakan remaja yang berani dan pahlawan yang digeruni.
Setelah Umar r.a. memeluk Islam, dakwah Islamiyah semakin rancak berkembang. Sehinggakan sewaktu penghijrahan umat Islam ke Madinah, Umar r.a. dengan lantang mencabar sesiapa yang ingin menghalang niatnya berhijrah, namun tiada siapa yang berani menentang. Remaja seperti inilah yang ditakuti oleh puak barat dan sekularis, dan kita sebagai umat Islam khususnya remaja terus termakan umpan pancing mereka – bahawa Islam adalah kolot dan ketinggalan.
Remaja adalah satu alam yang merupakan tempoh untuk menguji kematangan seseorang insan sebelum memasuki era dewasa. Dengan bekalan nafsu dan semangat, ia begitu menguji daya tahan remaja. Allah membekalkan akal untuk berfikir, mata untuk melihat dan hati untuk mentafsir. Namun begitu, jika hanya dengan bersandarkan perkara ini, kemungkinan untuk berjaya mengatasi halangan duri noda dalam tempoh ini adalah tipis, lantaran pada kemuncak inilah nafsu liar membara. Maka jalan terbaiknya adalah berfikir dan mentafsir berorientasikan wahyu yang datang dari Allah semata.
Serangkap lirik lagu dendangan sebuah kumpulan nasyid menyebut; 'pandangan mata selalu menipu, pandangan akal selalu tersalah, pandangan nafsu selalu melulu, pandangan hati itu yang hakiki, kalau hati itu bersih'
Konklusinya, kembali kepada kehidupan Islam yang syumul adalah kemestian. Sudah tiba masanya untuk kita kembalikan kegemilangan empayar-empayar khilafah Umaiyah, Abbasiyyah, dan Uthmaniah yang pernah menguasai dunia. Namun harus diingat, kemegahan Islam ini bermula dari REMAJA!
Unit Media ISMA Kelantan
0 Komentar Pembaca:
Post a Comment