Ibadah Korban Dan Kesihatan

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:
  • Hari Raya Korban bakal menjelma lagi. Saban tahun, umat Islam meraikan perayaan kedua terbesar ini iaitu Hari Raya Korban (‘Aidil Adha) atau turut dikenali sebagai Hari Raya Haji. Hari kebesaran ini dinamakan sedemikian sempena peristiwa agung Nabi Ibrahim A.S. yang diarahkan Allah SWT untuk mengorbankan putera kesayangannya Nabi Ismail A.S. serta sempena umat Islam yang menunaikan rukun Islam yang kelima iaitu ibadah haji di Mekah.


    Secara tradisi, Hari Raya Korban disambut dengan meriah oleh umat Islam di Malaysia. Di negeri Kelantan, ianya disambut dengan secara tradisi yang unik. Kebiasaannya setelah haiwan korban disembelih dan dilapah, daging-daging haiwan tersebut dibahagikan kepada tiga bahagian: satu bahagian untuk disedekahkan kepada fakir miskin, satu bahagian untuk pemilik bahagian korban haiwan tersebut manakala satu bahagian lagi dimasak untuk dijamu kepada sahabat handai,  jiran tetangga serta orang-orang  sekampung. Dengan jamuan makanan inilah yang memeriahkan suasana Hari Raya Korban terutamanya di kampung-kampung negeri Kelantan*.

    Di saat kita meriah menyambut Hari Raya Korban dengan menikmati daging-daging haiwan korban, janganlah kita lupa kepada saudara-mara kita yang dihimpit kesukaran samada di dalam atau luar negara terutamanya mereka yang tinggal di negara-negara yang dilanda peperangan. Ini adalah kerana antara hikmah Hari Raya Korban ialah untuk menyedarkan umat Islam tentang erti pengorbanan yang sebenar iaitu berkorban demi agama Allah SWT dengan cara menundukkan hawa nafsu dan lain-lainnya serta menginsafi dan membantu nasib saudara-saudara seakidah yang tidak bernasib baik terutamanya di negara-negara yang menghadapi musibah tersebut.

    Juga di saat mewah menikmati hidangan daging haiwan korban, jangan dilupa untuk menjaga kesihatan diri kerana ini adalah tuntutan agama Islam sendiri sepertimana sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu (HR Bukhari).” Pastikan mengambil makanan secara seimbang dan tidak berlebihan serta kurangkan penggunaan garam, gula dan lemak di dalam masakan. Sekiranya perkara ini diabaikan, alangkah ruginya kita kerana melakukan perkara yang bertentangan dengan maksud ‘AidilAdha itu sendiri yang sepatutnya digunakan untuk meraih ganjaran kebaikan, bukannya mengundang keburukan.

    Akhir kata, sempena Hari Raya Korban atau ‘Aidil Adha yang bakal diraikan beberapa hari sahaja lagi, sambutlah ia dengan menghayati maksud sebenar pengorbanan sepertimana yang telah ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim A.S. Semoga amal dan pengorbanan kita diterima Allah SWT sepertimana amalan hamba-hambaNya yang ikhlas dan soleh.

    “Muslim Sihat, Islam Hebat”

    *Berdasarkan pengalaman peribadi penulis sendiri yang merupakan anak jati kampung di Pasir Mas, Kelantan.

    Dr Wan Muhd Riduan Bin Wan Jaffar
    Pengerusi I-Medik Kelantan 2013/14

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net