.

Islam Mempunyai Tabiat Dakwah

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Kota Bharu, 2 Feb: Di antara kelebihan yang ada pada umat Muhammad S.A.W ialah kemampuannya untuk bangun awal, mudah-mudahan apa yang dilakukan oleh kita semua pada pagi ini mendapat rahmat kasih sayang Allah. Sesungguhnya Allah akan bagi dunia pada sesiapa yang cinta pada dunia tersebut, adapun nikmat iman dan Islam, Allah akan bagi hanya pada orang yang Dia pilih, jelas ustaz Muhammad Fauzi Asmuni, Naib Presiden II Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

    Ustaz Fauzi turut menyentuh hati-hati jemaah yang dengan katanya, agama itu nasihat, iaitu menasihati manusia agar kembali kepada Allah, menasihati manusia agar kembali kepada ajaran Rasulullah S.A.W, memberi nasihat kepada pemimpin-pemimpin Islam dan nasihat-menasihati adalah merupakan sunnah juga budaya dalam Islam.

    Islam mempunyai tabiat dakwah, ia memberi ancaman kepada sebahagian manusia. Kisah-kisah yang disebutkan dalam al-Quran, dan juga yang disebutkan oleh Rasulullah S.A.W melalui hadisnya menjelaskan kepada kita semua bahawa agama ini akan bertembung dengan mereka-mereka yang melawan dan menentang agama Allah, ujarnya lagi.

    Katanya lagi, sebahagian dari umat kita beranggapan bahawa pertembungan yang berlaku ialah kerana umat Islam itu sendiri, kalaulah kerana itu sebenarnya, nescaya Nabi Muhammad S.A.W tidak dimusuhi, tetapi sebaliknya yang berlaku, Nabi yang dicintai oleh kaumnya itu tetap dijadikan musuh ketat oleh orang-orang kafir, jadi jelas di sini pertembungan ini terus menerus berlaku sejak zaman dahulu hinggalah ke hari ini.

    Allah telah menggambarkan tentang tabiat pertembungan ini di dalam kitabNya yang mulia, mereka (musuh-musuh Islam dari orang-orang yahudi dan nasrani) sama  sekali tidak akan redha hinggalah kalian mengikuti agama mereka, juga dalam ayat yang lain, mereka sentiasa akan memusuhi kamu secara berterusan sepertimana yang berlaku di Palestin, mereka dihalang dari melakukan solat di masjid al-Aqsa oleh yahudi selama berpuluh-puluh tahun, ini menunjukkan penghapusan agama yang cuba dilakukan secara halus oleh musuh-musuh Islam.

    Ustaz Fauzi turut memperingatkan ahli jemaah bahawa proses normalisasi di Malaysia telah berlaku pada kalimah Allah, kongsi raya, penghapusan identiti sehingga orang melayu malu hendak mengaku melayu dan sebagainya, hal ini kesannya bukan sekarang, tetapi akan berlaku untuk jangka masa panjang kepada generasi-generasi kita yang akan datang.

    Kuliah subuh di masjid Sultan Ismail Petra itu telah dihadiri oleh kira-kira 200 orang ahli jemaah. Turut hadir, YDP ISMA Kota Bharu yang baharu, ustaz Nik Ab Rahim Nik Abdul Aziz.

    Disediakan oleh:
    Abu Hafizoh
    Wartawan Media ISMA




    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net