.

Kesan liberalisasi ke atas gerakan dan fikrah Islam di Malaysia

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label: , ,



  • Pemikiran liberal adalah ideologi Barat yang meresap ke dalam kehidupan manusia secara halus tanpa disedari tetapi terancang . Pada awalnya menjurus kepada globalisasi ekonomi sejagat dengan agenda utamanya perdagangan bebas. Dicanang sebaik mungkin kepentingan globalisasi ekonomi dunia demi perdagangan yang adil dan menguntungkan.
    Konon-kononnya dengan perdagangan bebas menguntungkan para pengguna. Semua barang boleh diperolehi dengan mudah dan murah. Mana-mana kerajaan yang menolak sistem perdagangan bebas akan dikecam oleh rakyatnya sendiri dengan dakwaan tidak menjaga kepentingan rakyat walaupun dasar kerajaan sebaliknya untuk jangka panjang menjaga kepentingan ekonomi negara. Mana-mana kerajaan terpaksa akur dengan tuntutan rakyat untuk kekal berkuasa. Apa yang tersirat sebenarnya ialah perancangan Barat untuk menguasai pasaran keluaran mereka seterusnya menguasai ekonomi negara-negara Timur terutamanya negara Islam yang terkenal dengan negara pengguna yang paling tinggi.

    Pemikiran liberal bukan sahaja berfokus kepada ekonomi sahaja tetapi ianya menyerang seluruh peradaban dan tamadun mana-mana bangsa. Matlamat yang paling tinggi ialah meresap ke dalam gerakan dan fikrah Islam dengan strategi yang terancang dan berkesan. Secara umumnya didapati pengaruh liberal telah merubah istilah-istilah Islam yang telah digunapakai sekian lama dan hampir sebati dengan dakwah kepada istilah-istilah baru dengan alasan berdakwah dengan hikmah dan menjaga keharmonian kaum. Lalu dilaungkan bahawa Islam merupakan agama kesejahteraan dan rahmat untuk seluruh umat manusia .
    Sedangkan istilah-istilah Islam yang asal sebelum ini tidak pernah mendatangkan apa-apa kemudharatan dan keburukan kepada bukan Islam.

    Kesan liberalisasi juga telah merubah pendekatan dakwah kebanyakan gerakan Islam di Malaysia tanpa melihat kepada perancangan musuh Islam yang terselindung. Penggunaan perkataan Allah dalam kitab Bibble terjemahan Bahasa Melayu disokong dan dihujjah secara syarak dan aqal tanpa melihat kepada kepentingannya di Malaysia dan kesannya kepada bangsa Melayu khasnya . Ianya disokong tanpa melihat kepada apa yang tersirat disebalik penggunaan perkataan tersebut dalam kitab Bibble terjemahan Bahasa Melayu. Sedangkan masih ada pendapat yang mengatakan ia boleh dilarang dengan alasannya yang tersendiri.

    Liberalisasi juga telah merubah strategi dakwah gerakan Islam. Daripada membela keadilan untuk Islam kepada hanya berdailog dan berdiskusi konon-kononnya secara hikmah. Digambarkan seolah-olah Islam hanya utamakan dialog dan diskusi walaupun Islam diserang dari segenap penjuru.Mana-mana gerakan Islam yang kedepan membela Islam agak agresif dituduh melampau atau tidak memahami uslub dakwah. Sedangkan sebelum ini tindakan yang sama pernah mereka lakukan ketika berhadapan dengan musuh Islam. Masa itu mereka amat digeruni dan musuh Islam amat berhati-hati untuk memperkatakan perkara yang buruk tentang Islam. Liberalisasi telah “mengkijangkan harimau”. Perkataan “musuh Islam” telah ditukar kepada “mad`u kita” walaupun ajaran tersebut jelas memusuhi Islam dengan pelbagai perancangan secara senyap ataupun zahir. Bahkan orang Islam khasnya orang Melayu dipersalahkan kerana tidak kuat aqidah sehingga boleh dipengaruhi oleh agama lain. Katanya sepatut orang Melayu mesti perkuatkan aqidah mereka.

    Ada juga para cerdik pandai yang menyalahkan gerakan Islam kerana cuba menanamkan sifat permusuhan dengan penganut agama lain sedangkan disana terdapat titik-titik persamaan antara Islam dengan agama tersebut seperti Kristian dan Yahudi. Sepatutnya orang Islam menggunakan titik persamaan tersebut kearah perdamaian dan keamanan dengan membina titik persefahaman. Katanya ibadat puasa merupakan antara titik persamaan antara Islam dengan agama lain kerana umat terdahulu juga sudah diwajibkan berpuasa. Islam juga mengharuskan lelaki Islam berkahwin dengan perempuan Kristian dan Yahudi serta diharuskan makan sembelihan mereka, maka perlu dibina persefahaman. Peliknya titik persamaan sahaja ditonjolkan sedangkan peristiwa dulu dan sekarang yang telah dilalui oleh ummat ini tidak dinyatakan. Kezaliman, penindasan, pembunuhan dan pelbagai lagi yang dilalui oleh umat Islam. Digambarkan seolah-olah Islam yang anjurkan permusuhan. Walaupun ada persamaan, ada juga perbezaan yang membawa kepada permusuhan kerana beberapa syarat tidak dipenuhi. Rasulullah SAW sendiri menghalau Yahudi dari bumi Khaibar kerana kejahatan mereka. Walaupun ada titik persamaan , tetapi kalau tidak memenuhi syarat-syarat yang sepatutnya perlu diperangi. Ayat Quran sendiri menjelaskan ada persamaan antara agama samawi dalam sudut-sudut tertentu tetapi Quran juga beri peringatan tentang keburukan mereka yang perlu diperangi.

    Kesan liberalisasi juga akan mengenepikan tamadun bangsa yang pernah dicipta oleh generasi terdahulu walaupun syarak mengharuskanya dengan syarat-syaratnya yang jelas. Dakwanya bangsa tidak ada apa-apa kepentingan untuk agama. Bangsa tak wujud pun tak apa asalkan Islam ada. Sedangkan Allah sendiri yang iktiraf kedudukan bangsa sebagai wasilah untuk bertaaruf. Taaruf dalam ertikata yang luas. Bagi mana-mana gerakan yang hidupkan semula peranan bangsa dalam dakwah akan dituduh sebagai asobiah jahiliah. Katanya kena “ kena ngaji lagi” atau ngaji tak habis.

    Perkara yang agak parah pengaruh liberalisasi kepada gerakan Islam di Malaysia ialah perjuangan untuk keadilan.Pengertian keadilan yang agak kabur bahkan kadang-kadang perjuangan keadilan yang jauh menyimpang dari keadilan Islam yang sebenar disebabkan oleh perjuangan keadilan bersama dengan mereka yang membawa ajaran mungkar bertentangan dengan Islam . Pada satu-satu waktu berjuang bersama untuk menuntut keadilan , pada waktu yang lain rakan kongsi berjuang kemungkaran dalam Islam dan ada yang berkali-kali menentang perlaksanaan syariat Islam di Malaysia dan memperjuangkan Malaysia sebagai negara sekular . Tetapi oleh kerana ingin mencapai misi tertentu kerjasama tetap diteruskan Pelbagai hujjah diberikan untuk halalkan kerjasama tersebut. Bahkan dikatakan ianya sebagai jihad fi sabillilah.

    Ust Sharipudin Ab Kadir
    YDP ISMA Kelantan
    Pengerusi Majlis Syuro ISMA

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net