Kerajaan Perlu Tegas Tangani Syiah

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:


  • Di Malaysia, fahaman Syiah makin berkembang dan ini diakui pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ikatan Muslim Malaysia (Isma) yang aktif membanteras Syiah.
    Ketua Unit Kajian Gerakan Syiah Isma, Mohamad Ismail ketika ditemui wartawan Sinar Harian berkata, pertubuhan itu akan terus menggempur Syiah dari pelbagai sudut kerana ia bercanggah dengan Ahli Sunnah Wal-Jamaah yang jadi pegangan umat Islam negara ini sejak sekian lama.
    Apa yang Isma lakukan untuk membanteras Syiah di Malaysia?
    Mohamad : Kami membanteras perkembangan Syiah melalui pendedahan dan ceramah mengenainya di masjid dan institusi pengajian tinggi. Kita juga mempertontonkan kepada orang ramai video keganasan ahli Syiah yang menghalalkan darah orang Sunnah dan amalan mereka yang bercanggah dengan Sunnah. Isma merancang untuk mendedahkan penularan Syiah di peringkat sekolah pula, dan kami memerlukan sokongan Kementerian Pelajaran.
    Apa cara paling berkesan untuk membanteras Syiah?
    Mohamad : Syiah merupakan isu antarabangsa, jadi sukar untuk Isma banteras secara sendirian kerana penganut Syiah mendapat sokongan Amerika Syarikat. Oleh itu, saya seru kepada imam masjid, bilal, kerajaan dan semua pihak bersatu untuk membanteras penularan Syiah di Malaysia. Ada satu kejadian di Ampang, di mana ahli keluarga si mati berebut untuk mengebumikan jenazah mengikut fahaman Syiah atau Sunnah. Dalam hal ini, pihak berkuasa harus mainkan peranan dan ambil tindakan.
    Apakah cabaran terbesar bagi Ustaz dan Isma sebagai NGO dalam usaha membanteras Syiah?
    Mohamad : Saya tidak menuduh Syiah ini ajaran sesat, tapi ia berdasarkan kitab Syiah sendiri. Kenderaan saya naiki pernah diekori oleh ahli Syiah. Masa itu, saya baru balik daripada menyampaikan ceramah membanteras Syiah. Inilah cabaran dan pengalaman paling bermakna. Kejadian sama berlaku pada pembanteras Syiah lain sehingga ada diancam bunuh.
    Kenapa Syiah dianggap bahaya di Malaysia?
    Mohamad : Syiah amat berbahaya kerana boleh memesongkan akidah. Golongan ini hanya bertopengkan keluarga Rasulullah SAW tetapi amalan mereka berbeza. Mereka percaya, kepada lima rukun wilayah atau walayah yang bermaksud akidah. Mereka mesti mengamalkan solat lima waktu, menunaikan haji, membayar zakat, berpuasa dan percaya kepada wilayah atau walayah. Sesiapa yang menolak rukun ini dikira bukan ahli Syiah. Bagi ahli Syiah, mereka membenarkan perkahwinan ‘mut’ah’ bermaksud perkahwinan tanpa tanggungjawab. Mereka dibolehkan berkahwin sekurang-kurangnya dua jam untuk berseronok tanpa memberi nafkah kepada isteri atau anak yang bakal dilahirkan.
    Berapa bilangan penganut Syiah di Malaysia sekarang?
    Mohamad : Di Malaysia sahaja, terdapat 20,000 hingga 30,000 orang yang didakwa terlibat dengan Syiah. Dalam pada itu, terdapat empat hingga enam pertubuhan Syiah yang dikenal pasti masih aktif melakukan perkembangan Syiah secara terang. Pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri, golongan Syiah sukar untuk berkembang kerana takut ditangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).Tetapi, golongan Syiah makin berani sejak peristiwa serangan World Trade Centre di New York pada 11 September 2001.
    Apa yang membuatkan orang ramai daripada kalangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah di negara kita boleh berpaling tadah menyertai Syiah?
    Mohamad : Mereka anggap Syiah macam mazhab lain tetapi mereka tidak sedar, Syiah boleh menyesatkan akidah. Mereka mengamalkan ajaran yang mudah seperti solat jamak. Mereka boleh amalkan solat jamak dalam tiga waktu sehari iaitu Subuh, Zuhur dengan Asar dan Maghrib dengan Isyak. Ada kalanya Syiah amalkan solat jamak dalam satu waktu iaitu mengumpulkan semua waktu solat dalam satu masa. Contohnya menjamakkan solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak dalam satu waktu. Pihak berkuasa menjadi faktor utama kejayaan penularan Syiah di Malaysia kerana tidak bertegas untuk mengambil tindakan.
    Sumber: Sinar Harian, 18 Jun 2012

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net