Biro Wanita ISMA Kelantan anjur kursus "Persiapan Alam Rumah Tangga Dakwah"

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label: ,

  • Pasir Puteh, 20 Mei 2011 – Alhamdulillah. Sebuah kursus anjuran Biro Wanita ISMA Kelantan untuk mempersiapkan para wanita menempuh alam rumah tangga telah berlangsung dengan jayanya di Tadika Nur Mawaddah, Alor Pasir. Seramai 60 orang peserta yang majoritinya pelajar IPT telah mengikuti kursus ini hingga ke akhirnya.

    Ketua wanita ISMA Kelantan, Ustazah Wan Azilah Wan Abdullah telah menyampaikan ceramah yang bertajuk ‘Isteri Mithali Tonggak Kejayaan Suami’. Di kesempatan itu, beliau menekankan bahawa golongan wanita perlu mempersiapkan diri dalam untuk membentuk keluarga muslim yang sejahtera kerana jatuh bangun Negara turut berkait rapat dengan peranan wanita.

    Beliau menjadikan Lathifah bt Husain Ash Shuuli iaitu isteri kepada As-Syahid Imam Hassan Al-Banna sebagai role model dalam peranan membina sebuah keluarga dakwah yang mantap.

    Pada slot kedua pula, sebuah forum telah diadakan dengan tajuk “Agar Akhawatku Terus Teguh Menempuh Badai”. Tiga orang ahli panel telah dijemput bagi membincangkan tajuk tersebut iaitu, Ustazah Asmahriah Ibrahim, Dr. Mahana Sidik, dan Ustazah Muliati Sufiati Ladin, yang telah dipengerusikan oleh Ustazah Asfihani Mat Zin. Dengan pengalaman menjadi isteri keluarga dakwah, mereka mencurahkan segalanya kepada para peserta kursus.

    Bagi saudari Nor Syazereena Said, sebagai seorang pelajar IPT beliau merasakan bahawa kursus ini amat bermakna sebagai persiapan ke arah membina keluarga dakwah.

    “Menerusi kursus ini saya sedar bahawa untuk menjadi isteri dalam membentuk keluarga dakwah sebenarnya memerlukan persediaan awal iaitu sebelum melangsungkan perkahwinan lagi”, katanya.





    Biro Wanita,
    Media ISMA Kelantan.

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net