ISMA kutuk tindakan ganas gerila pro Mubarak dalam demonstrasi rakyat Mesir
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mengikuti perkembangan semasa krisis yang berlaku di Mesir bumi Anbiya’ dengan penuh keprihatinan. Kebangkitan rakyat menentang kezaliman, menuntut kebebasan serta reformasi yang menyeluruh ke atas pemerintahan Mesir merupakan satu protes atau demonstrasi besar-besaran yang berlaku secara aman.
Namun tindakan ganas yang dilakukan oleh gerila pro Mubarak ke atas rakyat yang berhimpun di seluruh negara telah memburukkan keadaan dan mencetuskan suasana huru-hara di Mesir. Sehingga kini, dilaporkan seramai 145 orang telah terbunuh manakala ratusan lagi tercedera. Keganasan ini tentunya dirancang oleh pihak-pihak tertentu untuk menakutkan rakyat dalam usaha mengurangkan penentangan terhadap regim Mubarak dan mengekalkan kuasa pemerintah sedia ada.
Sehubungan dengan itu, ISMA mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas tersebut yang bertentangan sama sekali dengan undang-undang antarabangsa dan norma-norma kemanusiaan sejagat. ISMA menggesa agar pihak-pihak yang terbabit menghentikan segera tindakan ganas ini bagi membolehkan rakyat Mesir meneruskan protes secara aman dan menyatakan suara mereka.
ISMA juga percaya bahawa tiada jalan penyelesaian bagi isu ini selain daripada Mubarak mendengar serta akur terhadap ‘suara’ majoriti rakyat Mesir yang mahukan perubahan segera dan menuntut agar Mubarak dan seluruh regimnya meletakkan jawatan. Selagi Mubarak degil dan enggan tunduk terhadap kehendak rakyat, selagi itulah protes ini akan berterusan, malah semakin meningkat dari hari ke hari.
ISMA juga menggesa agar Amerika Syarikat, Israel dan negara-negara luar yang lain tidak masuk campur dalam hal ehwal negara Mesir dan membiarkan rakyat Mesir menentukan sendiri masa depan negara mereka. Sebarang campur tangan, termasuk membekalkan senjata kepada regim pemerintah bagi menghadapi kumpulan penentang, adalah bertentangan sama sekali dengan prinsip-prinsip demokrasi yang dilaungkan oleh Barat dan dikhuatiri akan menyebabkan lebih banyak pertumpahan darah berlaku.
ISMA mengucapkan takziah kepada keluarga para syuhada’ dan berdoa kepada Allah SWT agar menerima mereka sebagai syuhada’. ISMA juga mendoakan kepada Allah SWT agar terus memelihara negara Mesir dan rakyatnya. Semoga perjuangan mereka menghapuskan kezaliman dan menegakkan keadilan Islam akan berlangsung dan berakhir dengan baik serta dijauhi daripada sebarang keburukan.
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Bandar Baru Bangi
3 Februari 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komentar Pembaca:
Post a Comment