Dari sehari ke sehari, si kecil ini mula meng’explore’ apa yang ada di sekitarnya, dari kamar tidur ke bilik mandi dan seterusnya peralatan dapur. Baginya, semua objek yang ditemui adalah alat permainannya. Di sinilah kesabaran si ibu diuji dalam melayan telatah anak-anak sekaligus untuk mendidik anak kecil ini menjadi insan yang berguna ,pendokong risalah Islam suatu hari nanti.
Bagi si ibu yang bijak, tidak sama sekali menyamakan anak yang kecil dengan orang dewasa. Keperluan dan keupayaan anak kecil ini sama sekali berbeza. Di sinilah diperlukan kesabaran yang tinggi dalam membimbing dan mengarahkan anak-anak untuk melakukan hal-hal yang baik.
Seorang ibu senantiasa bersifat kreatif dan proaktif mencari idea untuk mendidik anak-anak supaya berbuat baik dan sebagainya, tetapi, kadang-kadang di situ ada ketidaksabaran si ibu dalam mengamalikan idea tersebut yang akhirnya akan menghalang kesuksesan mendidik seorang anak.
Bagi ibu bapa, hendaklah bersabar terhadap teriakan anak, sabar ketika anak sakit, sabar dalam memberi pengarahan, sabar ketika menghantar anak ke sekolah, sabar ketika menyediakan keperluan anak-anak dan sebagainya. Begitu juga dengan emosi ibu bapa, seharusnya tidak mudah marah, tidak bosan dan mudah berputus asa. Sepertimana sabda Rasulullah SAW, “Cukup seseorang berdosa apabila menyia-nyiakan anak yang diasuhnya.”(HR Abu Daud)
Sebagai ibu bapa muslim, kita hendaklah faham dan sedar bahawasanya anak itu adalah amanah untuk kita, adapun hidayah itu adalah milik Allah. Maka, hendaklah kita mencurahkan segenap kemampuan dan kasih sayang kita untuk mendidik anak-anak agar menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat dengan penuh kesabaran dan keimanan.
Salah satu tips untuk menguatkan kesabaran kita dalam mendidik anak-anak adalah dengan hanya sentiasa mengharapkan pahala dari Allah atas segala penat lelah dan kesusahan yang kita alami semasa proses mendidik anak-anak.
Rasulullah S.A.W bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya di syurga terdapat kedudukan yang tidak dapat dicapai kecuali tiga golongan manusia iaitu imam yang adil, orang yang menjaga silaturahim dan ibubapa yang sabar mengasuh anak-anak.” Ali bin Abi Thalib bertanya, “ Apa yang dimaksudkan dengan ibubapa yang sabar mengasuh anak-anak?” Rasulullah S.A.W menjawab, “ Iaitu ibubapa yang tidak menyebut-nyebut pengorbanan yang telah diberikan kepada anak-anak.” (HR Ad-Dailami dari Abu Hurairah r.a)
Semoga kita menjadi ibubapa yang sabar dalam mendidik anak-anak kerana anak-anak inilah pewaris penerus perjuangan menegakkan risalah Allah suatu hari nanti . Oleh itu, ayuh tingkatkan kesabaran dalam mendidik si kecil ini !
Aktivis ISMADr. Nurul Izza Mohd Zahidi
Dilulus terbit oleh;
Media ISMA Kelantan
0 Komentar Pembaca:
Post a Comment