Musim cuti sekolah tiba lagi. Sinonimnya, musim walimah kembali mengisi hari-hari mendatang sehingga awal tahun 2010! Saudara mara jauh dan dekat bertemu mata, mengeratkan silaturahim dan saling bertanya khabar.
Riuh rendah riang gembira sanak saudara memeriahkan lagi suasana majlis perkahwinan. Namun, bagi pasangan mempelai, mungkin ada debaran atau memujuk hati untuk bersabar buat beberapa ketika lagi.
Memulakan kehidupan suami-isteri memerlukan dasar atau batu asas yang kukuh agar pelayaran bahtera rumahtangga tetap utuh dan mantap walaupun pelbagai badai yang melanda agar tidak karam di tengah lautan pelayaran.
Wajib bagi pasangan mempelai yang baru melangkah ke alam rumahtangga itu mengawali kehidupan mereka dengan niat bahawasanya perkahwinan ini merupakan ibadah kepada Allah Yang Esa, bukan didasari oleh nafsu atau harta kekayaan semata-mata.
Dengan niat yang suci itu, akan mengingatkan dan memotivasikan pasangan suami isteri untuk terus beramal dengan amal-amal islami dan agar tidak terpesong dari syariat Allah. Dengan niat Lillahi Taala, setiap masalah yang melanda rumahtangga akan diadukan kepada yang Maha Agung agar setiap ahli rumahtangga tenang dan tabah menghadapi ujian tersebut.
Hakikat ibadah adalah ketaatan dan ketundukan mutlak kepada Allah. Abul A’la Maududi menjelaskan, “Takut anda kepada Allah dalam segala urusan hidup anda setiap waktu, sikap anda yang menjadikan keredhaan Allah sebagai tujuan, kesediaan anda untuk mematuhi undang-undangNya, penolakan anda terhadap tiap-tiap keuntungan yang mungkin anda dapat dengan derhaka kepadaNya, dan kesabaran anda atas tiap-tiap kerugian yang menimpa anda kerana taat kepadaNya, itulah merupakan ibadah anda kepada Allah.” Hal ini sebagaimana firmanNya, “Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu.” (Adz-Zaariyat:56)
Setiap pasangan suami isteri mengimpikan sebuah rumahtangga yang bahagia yang hidup dalam rukun damai tanpa adanya pertikaian dan pergaduhan. Mereka juga mengimpikan agar rumah tangga yang dibina merupakan momentum untuk melakukan penghijarahan atau perubahan ke arah yang lebih baik, ibarat kata pepatah, “Hari esok mesti lebih baik dari hari ini, dan hari ini lebih baik dari hari semalam.”Jadi, dengan mengawali rumahtangga dengan niat ibadah untuk mencapai redha Allah, semoga momentum tersebut mampu dilakukan dengan jayanya.
Alangkah ruginya pasangan yang hanya memasang niat yang baik diawalnya, tetapi, tiada misi dan visi untuk membangunkan rumhatangga tersebut mengikut neraca syariat Allah. Sebaliknya pula, jika tiada niat di awal perjalanan rumahtangga akan menyebabkan pasangan itu mudah berputus asa dan futur dalam komitmen untuk membangunkan sebuah rumahtangga yang bahagia. Jadi, untuk memperoleh rumahtangga yang bahagia dan diberkati Allah, mesti seimbangkan antara niat dan juga misi dan visi rumahtangga.
Tulisan ini disumbang oleh;Dr. Nurul Izza Mohd Zahidi
Dilulus terbit oleh;
Media ISMA Kelantan
0 Komentar Pembaca:
Post a Comment