.

Majlis sambutan Maulidur Rasul 1431H siri ke-2

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:
  • Rantau Panjang 12 Mac – Majlis Sambutan Maulidur Rasul secara besar-besaran telah diadakan di Masjid Al Hikmah, Taman Bakti, Rantau Panjang. Majlis ini merupakan anjuran bersama antara Masjid Al Hikmah dan Kelab Remaja ISMA (KRIM). Majlis ini dimulakan pada petang hari lagi dengan penyediaan makanan oleh penduduk taman.


    Majlis yang cukup meriah ini dihadiri oleh sebilangan besar penduduk taman dan ahli ISMA sendiri sehingga masjid dipenuhi jemaah. Majlis bermula secara rasminya dengan solat maghrib secara berjemaah. Kemudian disusuli dengan bacaan ayat suci Al-Quran yang dibacakan oleh Ustaz Mohd Al-Hadi bin Muhamad (AJK ISMA Kelantan) dan seterusnya diikuti dengan ceramah Maulidur Rasul yang bertajuk ‘Kelahiran Rasulullah Merubah Tabiat Manusia’ yang disampaikan oleh yang berbahagia Ustaz Othman bin Muhamad iaitu Timbalan Yang Dipertua ISMA Kelantan.

    TYDP ISMA Kelantan, Ustaz Othman Muhamad


    Berikut adalah antara isi kandungan ceramah beliau. Di awal ceramah, ustaz membacakan ayat daripada surah Al-Fath/8:

    إنا أرسلناك شاهدا ومبشرا ونذيرا

    Maksudnya: Sesungguhnya kami mengutus kamu sebagai saksi, pembawa berita gembira dan pemberi peringatan (al-fath:8)

    Antara isi utama yang dapat dipetik dari ceramah beliau adalah ‘kelahiran Rasulullah s.a.w mengubah tabiat manusia’. Dalam dakwah baginda selama 10 tahun di Mekah, baginda telah Berjaya mengubah aqidah orang Mekah dari aqidah batil kepada aqidah yang benar.

    Orang Mekah pada ketika itu berada dalam jahiliyah yang menyembah berhala telah berubah kepada menyembah yang berhak disembah yakni Allah s.w.t. Pada ketika itu Nabi telah menawan hati semua penduduk Mekah untuk memeluk Islam iaitu agama yang sebenar-benarnya. Nabi Muhammad s.a.w juga telah mengubah orang ramai daripada pengabdian sesama manusia kepada pengabdian kepada Tuhan sekalian alam. Sebagaimana Hadith berikut:

    من عبادة العباد الى عبادة الله

    Maksudnya: daripada pengabdian kepada manusia kepada pengabdian kepada Allah

    Dalam konteks ini, Islam melarang sama sekali penganutnya mengamalkan sistem perhambaan. Islam lebih mengutamakan kebebasan atau kemerdekaan berbanding penindasan golongan hamba. Dalam menghapuskan perhambaan ini, Nabi melaksanakannya secara perlahan-lahan.

    Antara ahli jemaah yang hadir

    Nabi menggariskan panduan melalui kaedah hukuman denda dalam bulan Ramadhan. Barangsiapa antara suami isteri yang melakukan persetubuhan di siang hari di bulan Ramadhan, maka mereka hendaklah didenda dengan memerdekakan seorang hamba. Kaedah ini cukup berkesan dan membawa implikasi yang cukup besar dalam menghapuskan pengabdian sesama manusia ini.

    Dalam hal ini juga, Nabi turut menyuruh umatnya berkata benar dan tiada unsur bermuka-muka. Di samping itu, junjungan besar s.a.w turut mengubah manusia ketika itu daripada tabiat buruk kepada amalan mulia. Pada zaman itu, perangai orang arab jahiliyah amat buruk sehinggakan mereka sanggup membuang dan menanam bayi perempuan mereka hidup-hidup. Dengan kehadiran Nabi, Baginda s.a.w telah menukarkan tabiat buruk ini kepada penjagaan bayi.

    Antara ahli jemaah yang hadir

    Dalam tajuk ini banyak perkara yang telah diubah Baginda s.a.w. Antaranya daripada perhambaan wanita kepada kebebasan, daripada sistem kasta kepada persamaan dan daripada berpoya-poya kepada ketaatan kepada Allah dan Rasul.

    Namun yang merunsingkan kita semua, umat zaman sekarang ini telah mula berbalik ke zaman jahiliyah semula. Sekarang telah banyak berlaku pembuangan bayi, mat rempit dan banyak lagi. Bagaimana untuk mengatasi hal ini daripada terus berlaku?. Hanya satu jalannya iaitu berbalik kepada cara rasulullah s.a.w.

    Solat isya' berjemaah

    Seterusnya Rasulullah s.a.w telah mengubah manusia daripada khurafat kepada keyakinan kepada Allah yang Satu. Umat Islam perlu yakin bahawa tiada apa yang layak disembah selain Allah. Pada zaman itu, orang arab jahiliyah amat gemar bermain tilik nasib menggunakan anak panah. Mereka percaya yang bukan-bukan iaitu berdasarkan kepada anak panah. Hal ini sama juga dengan masyarakat melayu zaman sekarang yang amat suka percayakan perkara tahyul sedangkan perkara ini boleh membawa kepada syirik. Jadi, umat Islam hendaklah berbalik semula kepada mentauhidkan Allah dengan berpandukan Al-Quran dan Sunnah.


    Seterusnya kekasih Allah ini turut dijadikan sebagai teladan. Rsulullah telah dijadikan contoh yang terbaik untuk umat ketika itu sama ada dalam konteks aqidah, ibadah mahupun akhlak. Dari segi aqidah, Baginda s.a.w telah mengajar umat manusia untuk yakin hanya pada Allah sahaja yang berkuasa atas segala sesuatu.

    Umat Islam diseru agar meyakini bahawa tiada apa yang dapat melawan kuasa Allah. Sesungguhnya setiap yang berlaku di dunia ini telah diaturkan oleh Allah sejak awal lagi. Kuasa Allah melebihi sebab-sebab dunia. Sebagai contoh, jikalau ada kemalangan atau kecelakaan dan orang itu meninggal dunia. Mereka akan katakan kemalangan atau kecelakaan itu punca kematian mereka, sedangkan mereka perlu yakin bahawa Allah telah tentukan ajal mereka untuk mati pada hari itu.

    Sama juga kalau kita sakit dan kita makan ubat dan kita sembuh. Selepas itu kita katakan ubat yang menyembuhkan kita sedangkan Allah maha penyembuh bukan ubat. Hal ini perlu dipandang serius kerana ianya boleh membawa kepada syirik. Di samping itu, umat Islam juga perlu yakin hanya Allah yang bagi rezeki bukan sebab kerja.

    Umat Islam turut dikehandaki untuk meyakini Qada dan Qadar Allah. Kita semua perlu sedar bahawa setiap apa yang berlaku telah ditentukan oleh Allah. Kita sebagai manusia hanya merancang dan Tuhanlah yang berhak menentukannya. Jadi, kita hendaklah redha dalam mengahadapi sesuatu yang kita tidak kehendaki kerana segalanya ada hikmah tersendiri.

    Selain itu, nabi turut dijadikan ikutan dalam beribadah kepada Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah dalam Al-Quran:

    سيماهم في وجوههم من أثر السجود

    Maksudnya: Tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud (al-fath:29)

    Dalam hal ini, Nabi s.a.w mengajar kita dalam kaedah beribadah kepada Allah. Dalam hayat baginda, setiap minggu baginda s.a.w akan khatam satu Al-Quran dan dalam sebulan empat kali khatam. Junjungan besar s.a.w juga tidak pernah tinggalkan solat berjamaah kecuali baginda sakit yang amat tenat.

    Menjamu selera

    Rasulullah s.a.w sebagai kekasih Allah yang maksum tidak putus-putus mengerjakan ibadah kepada Allah. Namun kita, bagaimana dengan solat kita? Bagaimana kita dengan solat jamaah? Bagaimana dengan bacaan Quran harian kita?dan bagaimana dengan pengajian Quran anak-anak kita?.

    Jadi kita perlu fikirkan berapa banyak kita beribadah dengan ikhlas kepada Allah sebagai tanda kesyukuran kita kepadaNya. Janganlah disebabkan kasihankan anak-anak untuk beribadah kepada Allah sehingga tidak mengikut sunnah nabi. Bagaimana kita hendak dapatkan syafaat Nabi s.a.w kalau kita tidak mengikut cara pelaksanaan baginda s.a.w dalam beribadah kepada Allah s.w.t. Kebanyakan umat Islam ketika ini letih sebanyak 80% untuk urusan dunia sahaja dan 20% akhirat dan hanya 1% mengerjakan ibadah dengan penuh ikhlas.

    Makan bersama merapatkan hubungan persaudaraan Islam

    Dari segi akhlak pula, Nabi s.a.w mengajar umatnya agar sentiasa berakhlak mulia. Umat Islam hendaklah sentiasa berakhlak mulia di mana jua berada.sebagai contoh dari segi pemakaian. Walaupun kita telah berada dalam zaman yang serba moden, namun pakaian kita tidak semestinya perlu moden sehinggakan menampakkan aurat kita. Tidak salah untuk kita mengikuti perkembangan terkini, namun pakaian tetap perlu jaga batas aurat.

    Hal ini amat penting terutama bagi kaum hawa bagi mengelakkan daripada berlaku jenayah dan zina. Sedangkan Nabi s.a.w telah menggariskan cara pemakaian yang elok untuk kita, kenapa kita harus melanggarnya. Jadi, pakaian anak-anak dan ibu bapa sendiri perlulah dijaga berlandaskan ajaran Nabi s.a.w.

    Antara ahli jemaah wanita yang hadir

    Sesungguhnya Baginda s.a.w adalah contoh yang terbaik dalam melakukan pengorbanan. Walaupun Baginda s.a.w pada ketika itu merupakan khalifah terulung di persada dunia, namun cara hidup Baginda s.a.w tidaklah mewah sehinggakan pakaian baginda dan isteri amatlah sedikit. Baginda s.a.w lebih gemarkan menderma harta Baginda s.a.w ke jalan Allah. Baginda s.a.w turut mengajar umatnya agar tidak terlalu sayangkan harta untuk membangunkan agama.

    Ustaz Othman turut menceritakan tentang kisah tiga manusia yang berlainan. Seorang yang berkepala botak diberi harta namun dia sombong dan kedekut dengan hartanya, begitu juga perangai seorang lagi yang buta dan diberi lembu tapi kedekut walaupun dia dapat melihat semula. Namun seorang lagi sakit kulit yang diberi kambing cukup bermurah hati untuk menolong orang lain dengan memberikan semua kambingnya tanda dia bersyukur.

    Setakat itu sahaja antara yang dikemukakan oleh ustaz dan dapat diutarakan di sini. Majlis kemudian disambung dengan solat isyak berjamaah. Seterusnya diikuti dengan persembahan nasyid oleh ahli Kelab Remaja ISMA ( KRIM ) dan dengan bacaan salawat ke atas junjungan besar Muhammad s.a.w secara beramai-ramai yang diketuai oleh imam masjid. Majlis diakhiri dengan jamuan makan.

    Media ISMA Kelantan

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net