.

Peluang Beriktikaf Belum Berakhir

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:

  • Selamat beriktikaf sehingga ke akhir ramadhan... itulah harapan diri dalam mengakhiri bulan ketaatan dan ketaqwaan ini. sesungguhnya peluang yang datang setahun sekali ini wajar disempurnakan sebaik-baiknya.

    Bagi mereka yang sentiasa sibuk dengan urusan kehidupan yang tidak habis-habis, inilah peluangnya... rehatkan minda, rehatkan tubuh badan, rehatkan urat darah, rehatkan pendengaran, penglihatan, mulut dan deria rasa yang lain.

    Peluang ini masih berbaki lagi selama 5 hari, bagi mereka yang sudah beriktikaf sejak malam ke 20 lagi, usah berputus asa atau futur, kerana sememangnya anda adalah orang yang dipilih oleh Allah untuk mendapatkan kasih sayangNya.

    Bagi yang belum lagi merebut pahala iktikaf, masih ada waktu yang sedikit untuk anda bermuhasabah diri merebut cinta kasih Tuhan.

    Gambar hiasan

    Keseronokan beriktikaf tidak dapat diungkapkan di sini kerana ia berbentuk perasaan dalaman. yang pelbagai. Tetapi keseronokan berbuka puasa bersama, solat jemaah bersama, solat "taroowiih" bersama, solat tahajjud bersama, berdoa bersama, membaca al-Quran bersama, berzikir (membaca mathurat) bersama, mendengar tazkirah bersama, berbincang ilmu-ilmu agama bersama dan berbagai bentuk kebersamaan menghilangkan rasa resah kehidupan yang penuh dengan onak ranjau halangan.

    Malah anak-anak kecil berumur 5 tahun pun turut kelihatan bersama ibu bapanya menghidupkan malam-malam 10 akhir dengan ketaatan diri kepada Allah. Alangkah beruntungnya mereka yang mempunyai anak soleh, yang dididik dibimbing sejak kecil untuk menjadi pewaris kepada kebaikan agama yang telah dilakukan oleh ibu bapanya.

    Saya sendiri cukup terharu bilamana seorang tukang kebun di sebuah syarikat menunjukkan kepada saya baki 2 juzu' lagi bacaan al-Quran untuk dikhatamkan. Pengalaman berinteraksi dengan beberapa orang lama (istilah penghormatan untuk mereka yang sudah berumur, atau lebih tua dari saya) yang bertaubat sungguh menyeronokkan. Pelbagai kisah hidup disingkapkan untuk berkongsi rasa dan mendengar pandangan serta sentuhan iman untuk diri.

    Sesungguhnya setiap kali musim iktikaf datang, pelbagai pengalaman dakwah, dapat dirasakan. Inilah yang kita cari, peluang merebut amal yang tidak boleh dipersiakan, apatah lagi dipandang sebelah mata. Pengalaman berdakwah kepada anak-anak kecil yang banyak ragamnya, adik-adik remaja yang singkat pemikirannya, pemuda-pemudi yang ingin bebas seperti burung di angkasa raya dan juga orang-orang dewasa yang sanggup bersengkang mata bertanya itu dan ini menimbulkan rasa cinta yang tidak boleh diungkap kata sepanjang beriktikaf.

    Gambar hiasan

    Rugilah mereka yang hanya menghidupkan iktikaf tanpa berbicara dengan manusia sebegini rupa. Kerana iktikaf itu sebenarnya ialah menjalinkan hubungan yang cukup intim dengan Robbnya, melakukan segala sunnah rasulnya, melaksanakan tanggungjawabnya sesama manusia, merungkai segala bentuk kekusutan jiwa bermula dari akal pemikiran, hati yang menilai, urat darah yang beku, seluruh sendi yang sudah lama tidak bergerak untuk berdiri malam sepertimana Rasulullah S.A.W yang menghidupkan setiap malam sepanjang hidupnya dengan 8 rakaat solat sunat dan 3 rakat witir.

    Gambar hiasan

    Ayuhlah sekalian mujahidin, hidupkan iktikaf di rumah-rumah Allah, ditempat yang dilaungkan azan dan didirikan solat berjemaah, sesungguhnya peluang ini amat-amat berharga. Berdoalah, bacalah al-Quran, dirikanlah solat, berilah sedekah, merayu dan mengadulah pada Tuhan, letakkan segala pengharapan hanya padaNya dan hujanilah mihrab dengan tangisan sebanyak-banyaknya, agar dengannya, kita semua selamat dari azab siksaNya, samaada di dunia, atau di akhirat, ketika nazak, di dalam kubur, di padang mahsyar, ketika meniti titian sirat dan jauhlah diri dari azab neraka.

    Bebaskanlah masjid al-Aqsa dengan senjata yang tidak ada tuannya... senjata doa yang amat menggerunkan musuh durjana, dan segala laknat pasti akan diturunkan buat mereka yang menentang, menolak dan tidak mempedulikan nasib saudara seagama di Palestin, Iraq, Chehcnya dan di tempat-tempat lain...

    Saudara/i pengunjung setia... doakan kebaikan taat diri pada Allah untuk saya...

    Sumber: http://citaimpian.blogspot.com/

    Unit Media ISMA Kelantan

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net