.

Majlis Iftor Bersama Masyarakat

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:

  • Peringat: 28 Ogos, – Bersamaan 7 Ramadhan, pihak ISMA cawangan Kelantan dengan kerjasama AJK Masjid Abdurrahman bin Auf, Taman Desa Rimbunan telah menganjurkan majlis berbuka puasa bersama masyarakat bertempat di masjid tersebut.

    Program bermula pada jam 10 pagi dengan bantuan para ibu dan seterusnya disambung pada pukul 3 petang dengan aktiviti gotong-royong memasak dan menyiapkan bekal berbuka puasa. Ahli-ahli ISMA Kelantan turut tidak ketinggalan turun padang bagi menjayakan program tersebut.

    Pukul 6.45 petang, majlis Iftor dimulakan dengan halaqah bacaan zikir ma’thurat yang diketuai oleh ustaz Khairul Anuar Ibrahim. Seterusnya, sedikit tazkirah ringkas disampaikan oleh ustaz Faisol Abdullah merangkap ahli ISMA Kelantan melalui petikan doa Rabitoh Ma’thurat.

    Gambar hiasan

    "Allah itu maha berkuasa, menciptakan malam dan siang, menciptakan mati setelah hidup dan mengeluarkan yang hidup daripada yang mati. Penciptaan ini adalah untuk membuatkan manusia berfikir dan merenung akan kekuasaan Ilahi menerusi akal fikiran yang dianugerahi Allah."

    Waktu berbuka dimulakan dengan juadah ringkas tamar dan kuih-muih serta penangan air tamar susu ‘istimewa’. Selepas solat maghrib secara berjemaah, hidangan berat (nasi bukhori dengan "salatoh" arab) disajikan kepada semua yang hadir bagi melengkapi Majlis Iftor tersebut. Majlis diakhiri dengan solat terawih yang diimamkan oleh ustaz Mohd Al-Hadi sebanyak lapan rakaat diselangi dengan tazkirah ringkas antara empat rakaat.

    Semoga program-program sebegini mampu mengeratkan tali persaudaraan antara ahli-ahli ISMA Kelantan dengan masyarakat.

    "Unit Media meminta maaf kepada semua pengunjung laman ini, kerana gambar majlis iftor tidak dapat disiarkan, disebabkan kamera unit media yang ditinggalkan di dalam kereta oleh petugas unit media, telah dicuri ketika kereta tersebut dihantar ke bengkel."

    Unit Media ISMA Kelantan

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net