Malam Bina Iman & Taqwa (MABIT) Julai '09

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label: ,

  • Pasir Puteh: 23 - 24 Julai, Alhamdulillah sekali lagi program bulanan Malam Bina Iman & Taqwa atau ringkasnya (MABIT) telah berlangsung dengan jayanya pada hari khamis baru-baru ini.


    Program bulanan yang bersifat pembinaan jatidiri muslim ini disambut baik oleh semua ahli ISMA cawangan yang datang dari pelbagai latar belakang dan tempat. Program yang bermula dengan pendaftaran pada jam 7.00 petang dan berakhir pada jam 7.00 pagi keesokannya ini dimulai dengan majlis berbuka puasa bersama, solat maghrib dan isya' berjemaah.

    Kali ini MABIT membawa para peserta ke arah koreksi diri yang berlainan dari sebelum ini. Jika sebelum ini para peserta didedahkan dengan pelbagai program pengisian sebelum tidur, tetapi MABIT kali ini memberi peluang kepada setiap peserta untuk melakukan aktiviti muhasabah diri masing-masing secara bersendirian sebelum tidur.


    Tepat jam 5.00 pagi sessi solat tahajjud jama'ie bermula, diikuti dengan solat subuh berjemaah, bacaan mathurat dan slot pengisian Khabbab Bin Al-Art yang disampaikan dengan penuh perasaan oleh Ustaz Mohd Osman Mohd Noor.

    Khabbab Bin Al-Art adalah di antara pejuang mujahidin yang hidup pada zaman awal Islam dan merupakan sahabat yang keenam menganut agama Islam. Beliau juga tergolong dikalangan sahabat pertama yang menyahut seruan Rasulullah S.A.W untuk berhijrah ke bumi Madinah.

    Jika sebelum keislamannya dia adalah seorang hamba, tukang besi yang mahir, tetapi pada saat akhir kematiannya beliau mendapat rezeki yang melimpah ruah dari Allah S.W.T dan menjadi seorang yang kaya raya lagi pemurah. Menemui Allah S.W.T pada zaman pemerintahan Saiyyidina Ali K.W.J.H. (Moga Allah Merahmati Kamu Wahai Khabbab). Itulah diantara beberapa sentuhan iman yang disampaikan oleh Ustaz Osman.

    Pada masa yang sama, juga di kawasan berhampiran, pihak wanita ISMA cawangan turut mengadakan MABIT sesama mereka. Ustazah Raihanah Yusof dijemput khas untuk membentangkan kisah sahabat Tholhah Bin Ubaidillah yang digelar sebagai syahid berjalan di muka bumi. Kisah ini diharapkan dapat melahirkan jiwa-jiwa yang dermawan dan mantap dari sudut pegangan aqidahnya.

    Sessi tadabbur al-Quran, tahajjud jama'ie, solat berjemaah dan bacaan mathurat adalah merupakan perkara rutin dalam setiap kali program MABIT. Sedikit tazkirah ole-ole perjalanan bertajuk isra' dan mikraj telah disampaikan oleh cik Sala Norhazura.

    Moga MABIT ISMA yang dilaksanakan secara bulanan ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang dan diperluaskan kepada masyarakat sekeliling.

    Unit Media ISMA Kelantan

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net