.

Perkhemahan ISMA Zon Pantai Timur

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:
  • Pasir Mas, 29-31 Mei 2009 - pihak ISMA Kelantan dengan kerjasama dari pelbagai pihak berjaya menganjurkan sebuah perkhemahan ruhi yang dinamakan Perkhemahan ISMA Zon Timur.

    Bertapak selama tiga hari di Pusat Pendidikan Al-Balaghul Mubin, Danau Tok Uban, Pasir Mas, program ini berjaya mengumpul kan hampir seramai 35 orang peserta dari kalangan ahli-ahli ISMA zon Timur – Kelantan, Terengganu, dan Pahang.

    Tepatnya, program ini mencapai siri yang kedua setelah melepasi siri pertama yang di adakan pada tahun lepas di Teluk Kalong, Kemaman, Terengganu. Objektif utama Perkhemahan kali ini ialah; ‘Ukhuwwah Disemai, Thiqah Dicapai’, bersesuaian dengan misi perjalanan dakwah ISMA.

    Menerusi perjalanan program, para peserta ditarbiah dan dilatih mengenai persiapan-persiapan yang mesti dimiliki oleh seorang murabbi atau daei dalam menghadapi medan masyarakat. Hatta di’rekrut’ oleh kem komandan sekalipun, para peserta tetap tegar meneruskan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan. Sikap berani untuk berjuang harus dimiliki oleh sang murabbi, dan sikap inilah yang ingin di terap dan dipasakkan kedalam jiwa ikhwah.

    Melalui slot pembentangan ‘Kenapa ISMA?’ para peserta di terangkan dengan terperinci oleh pembentang, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir berkaitan dengan sejarah penubuhan ,misi, visi, dan juga matlamat perjuangan dakwah ISMA. Jika diimbas kembali pada sepuluh tahun yang lepas, siapa boleh terfikir bahawa ISMA akan berada di tangga menuju puncak seperti hari ini. Benar, semua itu berkat pertolongan dari Allah dan keikhlasan berkorban para ahli dalam menegakkan manhaj yang syumul dalam dakwah.

    Program sampai di penghujungnya dengan perasmian penutup oleh wakil dari ISMA Pusat, Ust. Hazizi Abdul Rahman pada hari Ahad. ‘Perjuangan itu pengorbanan’. Itulah antara petikan kata-kata beliau dalam ucapan perasmian penutupnya. Dalam pada itu, beliau juga menyeru para ikhwah untuk sama-sama muhasabah diri, menilai kembali akan usaha yang telah dilakukan oleh diri untuk dakwah. Apakah kita telah bejaya ataupun sebaliknya? “Kita mesti menghadapi realiti bahawa setiap kebaikan yang ingin kita bawa akan mempunyai musuh, dan musuh itu adalah kejahilan. Saat itu, hanya jihad menjadi pilihan”,itulah antara kata-kata penyuntik beliau.

    Tirai program berlabuh setelah selesainya majlis perasmian penutup dan sesi penggambaran para peserta. Di penghujung program juga, para peserta (ikhwah) dihidangkan dengan buah durian oleh pihak penganjur. Alhamdulillah, berkat keizinan daripada ALLAH dan kerjasama oleh para ikhwah, program tahunan ini berjalan dengan seurna. Semoga, hati kita ini akan terus bercambah dan subur dengan benih semangat imani dalam merealisasikan impian dakwah, demi kepentingan ummah. ALLAHu-akbar!

    Unit Media,
    ISMA Kelantan.



    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net