Kalimah
“Keadilan” menjadi perkataan
penting dalam perbualan sekarang ini. Samada perbualan secara maya, ceramah
umum, kuliah dan lain lagi. Saban hari keadilan menjadi tajuk perdebatan hangat
dalam semua media , cetak atau eletronik. Pelbagai dimensi keadilan hebat
diperkatakan. Kekeliruan yang timbul ialah
apabila pengertian keadilan diberi mengikut juzuk-juzuk tertentu lalu didakwa
inilah keadilan dalam Islam. Ibarat orang buta memegang gajah pada kakinya,
maka didakwanya gajah macam tiang yang besar. Ada yang pegang belalai , maka
didakwanya gajah macam tali. Semua pengertian mengikut kefahaman dan aliran
masing-masing. Malangnya orang Islam sendiri memberi pengertian dan menerima
keadilan dalam Islam mengikut aliran
dan kefahaman orang lain walaupun halatuju mereka bertentangan dengan
Islam.
Ada yang mengatakan keadilan ialah kebebasan rakyat untuk
memilih pemerintah. Penyelewengan dan kecacatan dalam pilihanraya mesti
diperangi demi keadilan. Kita sama-sama berjuang untuk menegakkan keadilan.
Inilah keadilan yang dituntut oleh Islam. Sebarang penyelewengan dalam
pilihanraya menapikan keadilan Islam sedangkan Islam menuntut keadilan.
Seolah-olah digambarkan bahawa keadilan dalam pilihanraya adalah keadilan dalam
Islam. Maka kita perlu bersama untuk menuntut keadilan, tanpa mengira faktor
agama dan hukum syarak kerana halatuju
kita telah bertepatan dengan keadilan Islam. Bersih dalam pilihanraya adalah
keadilan.
Kita tidak menapikan perlu bersih dalam pilihanraya demi
keadilan tetapi kerjasama yang tidak bersih ikut syarat syarat syarak perlu
juga dilihat.. Lebih malang lagi apabila dikatakan inilah tuntutan keadilan
dalam Islam dengan pelbagai hujjah naqli dan akli dikemukakan.
Ada yang mengatakan keadilan
ialah apabila kerajaan dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat
berbanding dengan kerajaan terdahulu. Perbelanjaan kerajaan negeri semakin
meningkat untuk kesejahteraan rakyat. Maka didakwa inilah keadilan dalam Islam. Belanja berhemat, pendapatan kerajaan negeri
bertambah maka dikatakan inilah keadilan
Islam.
Ada yang mengatakan keadilan ialah apabila peruntukan
kerajaan negeri untuk institusi Islam semakin bertambah berbanding dengan
kerajaan dahulu. Peruntukan untuk Majlis
Agama Islam, Jabatan Agama Islam dan lain-lain institusi Islam semakin banyak.
Inilah keadilan yang dituntut oleh Islam.
Pemerintahan yang didakwanya ikut khalifah Umar Ab Aziz. Sebab kita lihat timbul pelbagai istilah baru ,
sosialis Islam, demokrasi Islam, kapitalis Islam dan lain-lain lagi . Ini
kerana mereka melihat Islam dalam bentuk yang juzuk-juzuk. Persamaan kebaikan
yang ada dalam sosialis dan Islam maka
dikatakan sosialis Islam.
Perlu ditegaskan bahawa keadilan dalam Islam ialah apabila
syariat Islam didaulatkan. Hakimiah
lillah Taala. Agenda Islam mesti diutamakan. Bukannya keadilan Islam jika hanya
mengambil beberapa juzuk-juzuk kebaikan yang ada lalu didakwa inilah keadilan
Islam yang mesti diperjuangkan bersama dengann orang kafir dan didakwa inilah keadilan Islam.
Lebih-lebih lagi mereka membawa agenda yang amat bertentangan dengan Islam. Mereka yang membawa agenda
liberal, plural dan lain-lain lagi . Sebut saja syariat Islam dah melenting dan mencabar.
Keadilan dalam Islam
ialah kembalikan Islam berdaulat di bumi ini dengan fikrah dan jalan
lurus bukannya jalan tersirat dan tersembunyi untuk menjaga hati orang kafir
dan mengistilahkan Islam dengan pelbagai nama baru agar perkataan Islam, syarak
dan hudud tidak disebut untuk mengelabui orang kafir. Dijenamakan Islam dengan
pelbagai istilah baru alasannya berdakwah bil hikmah. Lalu diambil
dalil-dalil naqli sebagai penguat kepada istilah-istilah baru untuk Islam .
Islam perlu dinyatakan sejelas-jelasnya. Kemenangan Islam
adalah janji Allah, Allah tidak memungkiri janjinya. Kemenangan diberi apabila
telah mencukupi syarat-syarat disisi Allah walaupun dikala itu Islam masih
lemah dari segi material dan lemah pada pandangan manusia. Alangkah malunya
kita menagih pertolongan orang kafir
untuk kemenangan Islam. Seolah-olahnya jika tidak ada kerjasama dan pertolongan
orang kafir maka Islam tidak akan berjaya di Malaysia. Seolah-olah orang kafir
sebagai penyempurna Islam di Malaysia. Tanpa mereka bersama, Islam gagal di
Malaysia. Sedangkan ayat-ayat Allah mengatakan , Allah akan menyempurnakan
agamanya walaupun dibenci oleh orang kafir
Wallahu a`lam.
YDP Isma Kelantan
merangkap
YDP Majlis Syura Isma Malaysia
0 Komentar Pembaca:
Post a Comment