.

Hari Valentine: Asal-usul dan Hukumnya

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:
  • 2:120
    Maksud: “Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan redha kepada kamu sehingga kamu menurut ajaran mereka. Katakanlah: “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam) itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika kamu menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah kamu akan peroleh dari Allah (sesuatu pun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepadamu.” (Al-Baqarah: 120)
    Kita sekarang berada di dalam bulan Februari. Secara umumnya, tiada apa-apa yang istimewa sangat di dalam bulan ini kecuali bilangan harinya yang tidak pernah mencapai 30 hari seperti bulan-bulan yang lain. Bagaimanapun, terdapat satu hari yang biasanya diraikan oleh masyarakat Barat di dalam bulan ini iaitu Hari Valentine atau turut dikenali sebagai Hari Kekasih yang jatuh pada 14 Februari yang secara sedar atau tidak turut diraikan oleh orang Islam sendiri terutamanya pemuda-pemudi dan para remaja di negara kita ini.
    Sejarah Hari Valentine
    Ada pelbagai versi yang berbeza mengenai asal-usul dan sejarah Hari Valentine.Terdapat lebih kurang 50 orang yang bernama Valentine yang masyhur di kalangan lagenda dan penganut Kristian. Berdasarkan ensiklopedia Katholik, terdapat sekurang-kurangnya tiga orang yang digelar Saint (St) Valentine dan kesemuanya meninggal dunia pada 14 Februari. Antaranya yang terkenal ialah seorang paderi dari Rom bernama Valentine yang hidup pada zaman pemerintahan Claudius II di mana pada 14 Februari  270M, pemerintah tersebut menjatuhkan hukuman mati kerana menentang pemerintahannya dengan mengajak penduduk kepada agama Kristian. Ada juga versi yang mengatakan pemerintah mengeluarkan perintah kepada rakyatnya agar tidak berkahwin terutamanya kepada para tentera atas anggapan bahawa askar bujang lebih sabar dalam peperangan tetapi paderi Valentine menentang perintah tersebut dan tetap melakukan perkahwinan di gerejanya secara tersembunyi. Bagaimanapun, paderi tersebut ditangkap dan dipenjarakan setelah kegiatannya diketahui pemerintah. Ketika di dalam penjara, paderi berkenaan telah berkenalan dan merawat seorang anak gadis salah seorang pengawal penjara berkenaan yang menghidap satu penyakit. Gadis itu sembuh dan paderi berkenaan jatuh cinta kepadanya. Sebelum dihukum, paderi telah menutuskan satu surat kepada gadis berkenaan yang tercatit “Dari yang tulus Valentine.” Gadis tersebut telah memeluk agama Kristian bersama 46 orang kerabatnya.
    Satu versi lain tentang asal Hari Valentine ini seperti sambutan Rom kuno yang dinamakan Lupercalia sempena menghormati Dewa Lupercus yang disambut pada 15 Februari tetapi pada 496M, Pope Gelasius secara rasminya menukarkan sambutan tersebut kepada Hari St Valentine yang disambut sehari awal dari tarikh asal iaitu 14 Februari untuk memberi pengaruh Kristian di dalam sambutan Rom kuno terbabit.
    Satu lagi versi mengatakan bahawa ketika agama Kristian tersebar di Eropah, terdapat satu ritual keagamaan tahunan di satu kawasan di mana para pemuda berkumpul pada pertengahan bulan Februari. Mereka mengadakan satu aktiviti dengan mencatat seluruh nama gadis di kawasan terbabit lalu dimasukkan ke dalam sebuah kotak . Setiap pemuda terbabit akan mencabut satu nama dan nama gadis yang dicabut itulah yang akan menjadi kekasihnya sepanjang tahun itu. Pemuda itu akan mengutus surat kepada gadis terbabit yang tertera “Dengan nama Tuhan Ibu”. Paderi Kristian mendapati ritual ini sukar dihapuskan malah dapat mengukuhkan aqidah orang-orang Rom, maka mereka mengubah kalimat itu dengan menjadi “Dengan nama Valentine” agar dapat mengaitkan ritual ini dengan agama Kristian.
    Selain itu, ada juga versi yang mengaitkan Hari Valentine dengan musim di England dan Perancis pada zaman pertengahan di mana pada pertengahan bulan Februari adalah musim burung-burung mengawan.
    Kesimpulannya, daripada versi-versi berbeza asal-usul Hari Valentine ini, nyata sekali ianya bukan berasal dari Islam tetapi dari barat iaitu amalan Rom kuno dan Kristian.
    Hukum Menyambut Valentine Day oleh umat Islam
    Majlis Fatwa Kebangsaan pada 2005 telah mewartakan bahawa sambutan Hari Kekasih atau Hari Valentine adalah haram bagi umat Islam. Ini kerana asal-usul Hari Valentine itu sendiri yang banyak diunsuri oleh Kristian ditambah lagi dengan amalan-amalan pada hari tersebut yang bertentangan dengan syara’ seperti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, berpeleseran tidak tentu hala, membazir wang dengan pembelian hadiah-hadiah yang mahal malah boleh menjurus ke arah perzinaan sedangkan Allah SWT memerintahkan kita untuk tidak mendekati zina:


    Maksud: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).” (Al-Isra’:32)
    Jadi tidak patut kita sebagai Muslim melakukan sebarang kegiatan berkaitan menyambut Hari Valentine samada ianya berkaitan pemberian hadiah, ucapan selamat, pesta perayaan dan sebagainya. Sepatutnya kita perlu merasa ‘izzah atau bangga dengan agama kita sendiri yang turut mempunyai perayaan-perayaan tersendiri seperti dua perayaan terbesar dalam Islam iaitu ‘Aidilfitri, ‘Aidiladha serta banyak lagi perayaan khusus yang mengikut syara’.
    Oleh itu, semoga kita mempersiapkan diri kita di dalam menghadapi serangan pemikiran ini dengan berpegang teguh kepada dua sumber rujukan yang asas dalam Islam iaitu al-Quran dan al-Hadith. Semoga umat Islam akan terus terpelihara menjadi teladan kepada seluruh umat manusia dan bukan hanya mengikut sahaja arus semasa dunia tanpa mengkaji asal-usul sesuatu amalan serta hukum-hakamnya menurut pandangan Islam.
    Akhir kata, marilah kita bersama-sama memahami serangan pemikiran yang dilancarkan oleh musuh-musuh Islam melalui arus liberalisme dan Kristianisasi yang hebat melanda negara kita ini agar kita tidak akan terikut-ikut dengan gaya hidup dan corak pemikiran yang menyimpang daripada ajaran Islam yang sebenar.
    “Jangan Dekati Zina”
    DrRiduan_Edited
    Dr W M Riduan B W Jaffar
    Pengerusi I-Medik Kelantan 2014

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net