.

Kebenaran Iman Melalui Akhlak Islamiyyah

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label:
  • Tajuk artikel ini diberi sedemikian rupa kerana perbincangan kali ini lebih tertumpu kepada kebenaran iman yang tercerna melalui akhlak-akhlak Islamiyyah, moga ada manfaatnya untuk kita semua;-


    Dari Abu Hurairah r.a. , katanya: Sabda Rasulullah s.a.w. :“Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata baik atau diam , barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat maka hendaklah dia memuliakan jirannya, barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Hadis sahih riwayat Muslim)



    Bukankah hadis di atas jelas memperkatakan bahawa iman itu mempamerkan akhlak. Beriman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia berkata baik atau diam, hendaklah dia memuliakan tetamu dan hendaklah dia memuliakan jiran. Dan di sini sudah jelas apa yang tersenarai itu adalah contoh akhlak yang terpuji.


    Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 177.

    “Bukanlah menghadapkan wajahmu ke arah timur dan barat itu suatu kebajikan, akan tetapi sesungguhnya kebajikan itu ialah beriman kepada Allah, hari kemudian, malaikat-malaikat, kitab-kitab, nabi-nabi dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta; dan (memerdekakan) hamba sahaya, mendirikan shalat, dan menunaikan zakat; dan orang-orang yang menepati janjinya apabila ia berjanji, dan orang-orang yang sabar dalam kesempitan, penderitaan dan dalam peperangan. Mereka itulah orang-orang yang benar (imannya); dan mereka itulah orang-orang yang bertakwa.”


    Di dalam ayat suci ini, Allah SWT telah menunjukkan bahawa iman dan akhlak itu saling berkaitan. Maka benarlah iman seseorang itu andai dia mengamalkan akhlak yang mulia. Dan termasuklah kita, InsyaAllah dalam golongan orang yang bertaqwa di sisi Allah SWT.


    Banyak lagi bukti-bukti yang menunjukkan bahawa Islam menganjurkan kita berakhlak mulia. Di sini, saya cuba meletakkan sebanyak mungkin hadis-hadis yang berkaitan dengan akhlak yang mulia. Saya tidak mampu menguraikan dengan panjang lebar kerana apa hak saya untuk memberi pendapat kerana dangkalnya ilmu ini. Namun, dengan topik yang saya utarakan ini telah membawa saya untuk mengetengahkan lagi akhlak mulia yang sangat-sangat dianjurkan oleh Islam.


    Allah SWT telah mengutuskan Rasulullah SAW di kalangan umat manusia adalah antara juga bertujuan untuk menyempurnkan akhlak manusia itu sendiri. SubhanAllah. Betapa Allah SWT itu mementingkan akhlak hambaNya untuk mencapai ketaqwaan kepadaNya.


    Abu Hurairah RA mengkhabarkan bahawa suatu saat Rasulullah SAW pernah ditanya tentang kriteria orang yang paling banyak masuk syurga. Baginda SAW menjawab : “Taqwa kepada Allah dan Akhlak yang Baik.” (Hadis Sahih Riwayat Tirmidzi, juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad)



    Tatkala Rasulullah SAW menasihati sahabatnya, baginda SAW menghubungkan antara nasihat untuk bertaqwa dengan nasihat untuk bergaul ataupun berakhlak yang baik kepada manusia.


    Sebagaimana hadis dari Abi Dzar, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda :


    “Bertaqwalah kepada Allah di manapun engkau berada dan balaslah perbuatan buruk dengan perbuatan baik nescaya kebaikan itu akan menutupi kejelekan dan bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” (HR Tirmidzi, ia berkata: hadis Hasan, dan disahihkan oleh Syaikh Al Salim Al Hilali).


    Pada hari akhirat yang pasti kelak, dalam timbangan mizan tidak ada yang lebih berat daripada akhlak yang baik, sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

    “Sesuatu yang paling berat dalam mizan (timbangan seorang hamba) adalah akhlak yang baik.” (HR. Abu Daud dan Ahmad, disahihkan Al Bani).


    Juga sabda baginda :

    “ Sesungguhnya sesuatu yang paling utama dalam mizan (timbangan) pada hari kiamat adalah akhlak yang baik.” (HR. Ahmad, disahihkan al Bani).


    Dari Jabir RA berkata : Rasulullah SAW bersabda :

    “Sesungguhnya orang yang paling saya kasihi dan yang paling dekat padaku majlisnya di hari kiamat ialah yang terbaik budi pekertinya.” (HR. Tirmidzi dengan sanad Hasan. Diriwayatkan juga oleh Ahmad dan disahihkan oleh Ibnu Hibban).


    Begitu banyak kaitan dan perhubungan antara iman dan akhlak yang begitu jelas Allah SWT dan Rasulullah SAW tunjukkan kepada kita, umat manusia. Sewajibnya, kita kutip segala ilmu dan panduan yang kini telah kita ketahui dalam membentuk sahsiah seorang hamba Allah yang berperibadi mulia.

    Menghubungkan silaturrahim sesama umat manusia adalah salah satu contoh akhlak yang terpuji dianjurkan Islam. Silah, bermaksud hubungan, manakala Ar-Rahim, bermakna pertalian manusia dari segi keturunan dan disebut juga kerabat atau keluarga.


    Allah SWT mewajibkan kepada kita semua untuk menghubungkan silaturrahim dan mengharamkan kita untuk memutuskan silaturrahim. Allah SWT juga menyuruh supaya hamba-hambaNya sentiasa berbuat baik dan tolong-menolong dalam perkara-perkara kebaikan kepada semua manusia terutama kepada yang ada hubungan kekeluargaan ataupun kerabat.


    Dan firman Allah,

    “Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (surah An-Nisaa’; ayat 1)


    Selain itu, kita sebagai muslim juga mempunyai kewajipan terhadap muslim yang lain iaitu:

    i) menjawab salam,
    ii) menziarahi orang yang sakit,
    iii) mengiringi jenazahnya ke kuburan,
    iv) memenuhi undangan dan
    v) jika bersin mengucapkan Alhamdulillah.


    Perbuatan yang disenaraikan di atas adalah antara akhlak yang sebenarnya dapat menyatukan umat Islam itu sendiri. Lihat sahaja di sini, jelas kewajipan yang Allah telah tentukan penuh dengan sejuta hikmah yang terkadang kita sendiri tidak pernah menggambarkannya.

    Sebagai penutupnya, ketahuilah bahawa setiap umat Islam itu adalah saling bersaudara dan dengan itu, sama-samalah kita menyempurnakan akhlak kita dengan saling nasihat-menasihati dengan penuh kebaikan serta penuh berhikmah.


    “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (Al-Hujuraat: ayat 10)


    Bersama kita bangkit menjadi insan yang bertaqwa di sisi Allah seterusnya menaikkan martabat agama Islam itu sendiri. Ayuh kita tarbiyahkan diri dan bermuhasabah kembali. Apa tanggungjawab kita sebagai hamba Allah, tanggungjawab kita sesama umat Islam dan di mana tahap keimanan kita sekarang.


    Oleh; Nur Akmal Binti Ismail

    Aktivis ISMA India (perubatan)


    Dilulus terbit oleh;

    Media ISMA Kelantan

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net