.

Mujahidah Dakwah ISMA Kembali ke Rahmatullah

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label: ,


  • Kota Bharu, 14 Oktober – Dalam suasana terik tengah hari itu, tiada siapa yang menduga, tiada siapa juga yang mampu meneka, bahawa ia merupakan detik terakhir sebelum pemergian Ustazah Nazirah bt. Sidik (gambar kecil), 28, seorang guru di SMU (A) Darul Saadah, Batu Karang, Repek, Pasir Mas, yang juga sebagai seorang aktivis yang bergiat aktif dalam pelaksanaan program di bawah biro Wanita ISMA cawangan Kelantan.

    Puncanya adalah daripada sebuah kemalangan yang dikatakan berlaku kira-kira pukul 3 petang ketika ustazah tersebut dalam perjalanan di jalan Tendong – Pasir Pekan dari sekolah untuk pulang ke rumahnya di Pasir Pekan. Tanpa diduga, dalam masa yang sama sebuah kereta Proton Wira yang dipandu oleh seorang remaja berusia 17 tahun sedang meluru laju dari arah bertentangan dalam keadaan melawan arus, lantas membuatkan ustazah Nazirah kaget dan tergamam. Dalam keadan panik, beliau cuba memusingkan stereng ke arah sisi jalan dan membrek tayar untuk mengelak dari kemalangan, namun usahanya gagal. Ini membuatkan diriya dirempuh dari arah bertentangan dengan anggaran kadar kelajuan 90 - 120 km/h, lantas menghasilkan satu dentuman bunyi yang kuat hasil rempuhan dua buah kereta tersebut.

    Unit Forensik jenazah, HRPZ II.

    Kemalangan itu kemudiannya telah menyebabkan ustazah Nazirah tersepit di celah serpihan besi kereta Perodua Kancil miliknya yang remuk dilanggar dalam keadaaan cedera teruk yang dialaminya di beberapa bahagian tubuh. Sebuah van ambulans yang datang beberapa minit kemudian cuba untuk membantunya namun tidak berjaya melakukan demikian. Akhirnya, kereta tersebut terpaksa dipotong oleh anggota bomba yang datang kira-kira setengah jam kemudian untuk mengeluarkannya dari nahas, sebelum dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu bagi rawatan lanjut. Walau bagaimanapun pada waktu itu, beliau sudah berada dalam keadaan tenat dan parah.

    Suasana sedih dan pilu di kalangan akhawat.

    Wajah bungkam yang menyelubungi.


    Tercatat di Luh Mahfuz

    Sesungguhnya , takdir Allah adalah segala-galanya mengatasi kudrat insan. Walaupun diberi pelbagai rawatan dan ikhtiar, ternyata bahawa ajal tetap di dalam kuasa Rabb. Ustazah Nazirah disahkan meninggal dunia pada pukul 4.15 petang di sisi suaminya, Ustaz Othman b. Mohd Nor setelah usaha untuk menyelamatkan nyawanya gagal dilakukan. Kematiannya dikatakan berpunca daripada saluran darah ke jantungnya yang tersekat akibat rempuhan yang kuat dan membuatkan jantungnya gagal berfungsi. Seiring itu, suasana pilu mula mengisi dada.

    Di sebalik kesedihan, suami arwah masih tenang menerimanya dengan redha. Dikhabarkan bahawa sebelum kematiannya datang, arwah sempat menyebut dan mengulang kalimah 'Allah..Allah..' dalam kudrat menahan sakit. Di akhir ruhnya, terukir sebuah senyuman ketenangan di bibirnya, seolah-olah sedang menikmati suatu kebahagiaan yang sukar digambarkan. Semoga Allah mencucuri ruhnnya.

    Selepas asar,semakin ramai para ikhwah dan akhawat ISMA Kelantan berkumpul di unit Forensik HRPZ II untuk mengetahui maklumat lanjut mengenai arwah, di samping mengucapkan takziah kepada suami dan keluarganya. Masing-masing bertemu dan berpelukan dalam keadaan penuh hiba menerima peristiwa yang berlaku. Perasaan sayu tidak akan terlepas dari insan kerana ia merupakan lumrah, maka redha itulah yang terbaik. Sesungguhnya nyawa itu adalah milik Allah dan Dia berhak menuntutnya pada setiap ruang lingkup waktu, sehingga tiada siapa yang dapat melepaskan diri.

    Suami ustazah Nazirah, Ustaz Othman Mohd Nor. Kiri sekali.

    Urusan jenazah selesai pada lewat malam, sebelum disembahyangkan dan dihantar pulang oleh Imam Masjid Telipot, Imam Ahmad sambil diiringi rombongan ikhwah dan akhawat ke pangkuan keluarganya di Kuala Berang, Terengganu. Jenazah selamat dikebumikan pada hari Khamis, 15 Oktober pukul 6.30 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Merbau Pulas, Kuala Berang setelah disembahyangkan untuk kali keduanya bersama ahli keluarga arwah selepas solat subuh. Arwah turut meninggalkan dua orang anak perempuan masing-masing berumur 2 tahun dan 8 bulan.


    Sesungguhnya, tiada yang kekal melainkan Allah yang bersifat Baqa’. Semoga ruh arwah ditempatkan bersama ruh para wanita mukminat solehah. Ameen...

    "Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, sebagai
    ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Barangsiapa menghendaki pahala dunia,
    niscaya Kami berikan kepadanya pahala dunia itu, dan barangsiapa menghendaki
    pahala akhirat, Kami berikan (pula) kepadanya pahala akhirat. Dan Kami akan
    memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur." Ali Imran - 145


    Unit Media ISMA Kelantan.

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net