.
Showing posts with label Mabit. Show all posts
Showing posts with label Mabit. Show all posts

MABIT Wanita ISMA Kelantan (November)



Gunong, Bachok 19 - 20 Nov - Biro Wanita ISMA telah mengadakan program bulanan iaitu 'Malam Bina Iman & Taqwa' dengan jayanya. Program ini telah disertai 10 orang dikalangan ahli Wanita ISMA Kelantan bertujuan memantapkan keimanan individu muslim, merapatkan ukhuwah sesama muslim dalam melahirkan masyarakat rabbani.

Program ini bermula pada pukul 7 malam (Khamis) sehingga pukul 9.00 pagi (Jumaat). Pada sebelah malam program diisi dengan pengisian fiqh wanita yang bertajuk "Taharah" yang disampaikan oleh Puan Asmariah Ibrahim. Pengisian ini bertujuan memperjelaskan lagi pentingnya fiqh dalam menjalani kehidupan kita seharian. Malam tersebut diakhiri dengan tilawah al-Quran sebelum melelapkan mata.

Di awal pagi Jumaat, program diisi dengan qiamullail secara berjemaah. Kemudiannya diteruskan dengan tazkirah bertajuk " Tokoh terbilang Usamah bin Zaid" yang disampaikan oleh Pn. Raihanah Yusof. Tazkirah mengenai tokoh ini merupakan satu contoh untuk kita teladani dalam menyusuri jalan kehidupan ini.

Program ini diakhiri dengan sarapan pagi bersama.

Biro Wanita dan Keluarga,
ISMA Kelantan.

Read More...

MABIT Siri November/09


Peringat, 19-20 November : ISMA Kelantan telah menganjurkan program Malam Bina Iman dan Taqwa (MABIT) bertempat di Masjid Abdur Rahman bin Auf, Taman Desa Rimbunan, Peringat dengan kerjasama AJK masjid tersebut. Kehadiran peserta seramai 37 orang yang terdiri daripada remaja, belia, dewasa dan kanak-kanak memeriahkan dan mengimarahkan lagi program berbentuk bulanan ini.


Hujan yang berterusan di musim tengkujuh ini tidak menggugah semangat dan tekad para peserta untuk mengikutinya hingga ke akhir program. Kuliah Maghrib yang disampaikan oleh Ustaz Abdul Karim merasmikan majlis program, sebelum diteruskan dengan Isyak berjemaah dan kisah sahabat selepas solat yang disampaikan oleh Ustaz Hadi. Pada malam hari, para peserta diberikan tugas untuk membaca surah pilihan sebelum melelapkan mata.


Sepertiga malam ketika sejuk mencengkam tulang, para peserta bangun untuk menunaikan Tahajud Fardi dan disusuli dengan Tahajud Jamaei. Solat ini yang dianjurkan Rasulullah bukanlah sekadar ibadah malah ia turut memberi kesan yang positif dari aspek fizikal dan mental kepada sesiapa yang melakukannya. Sejurus itu, slot tazkirah atau dikenali sebagai Sentuhan Iman disampaikan oleh Ustaz Othman Muhammad merangkap Timbalan Yang Di Pertua ISMA Kelantan. Menerusi tazkirah itu, beliau menekankan akan kesyukuran terhadap Pencipta alam iaitu Allah yang Maha Besar. Secara logiknya apabila dihitung nikmat Allah itu kita akan dapati ianya adalah terlalu banyak tidak terkira dan adalah mustahil untuk sesiapa membalasnya, maka jalan terbaik adalah bersyukur.


Program tersebut turut diisi dengan bacaan ma’thurat, tazkirah subuh dan sedikit jamuan sarapan pagi sebelum diakhiri dengan riadah futsal yang bertempat di gelanggang Real Seven Futsal, Pasir Tumboh.


Tazkirah Subuh oleh Ustaz Faisal.


Para hadirin khusyuk mendengar.


Menunaikan ketaatan kepada Rabb.


Futsal sebagai acara penutup.





Unit Media ISMA Kelantan.
Read More...

MABIT Siri Oktober


PERINGAT, 15-16 Oktober – Sekali lagi, dalam mendidik masyarakat ke arah jiwa Islam hakiki ISMA cawangan Kelantan menganjurkan program Malam Bina Iman dan Taqwa (MABIT) di Masjid Abdur Rahman bin Auf, Taman Desa Rimbunan dengan kerjasama tenaga AJK masjid tersebut untuk fasa Oktober. Pelbagai aktiviti telah diisi antaranya slot tazkirah, perkumpulan Iman, tahajud berjemaah dan kuliah subuh. Walaupun ada sesetengah ahli ISMA yang keletihan baru pulang dari pengebumian arwah ustazah Nazirah di Ajil Kuala Berang, Terengganu, mereka tetap tega untuk bersama mengikuti program ini hingga ke akhirnya. Program ini turut dihadiri oleh warga taman tersebut.

Tazkirah di antara waktu tahajud dan solat subuh pada dinihari keesokannya telah disampaikan oleh ustaz Mohd Al-Hadi Bin Muhamad merangkap pengarah program. Beliau telah menyentuh serba sedikit tentang sebuah renungan : hakikat sebuah kematian. Realitinya, manusia hanya melihat orang lain di sekelilingnya pergi meninggalkan dunia,namun pernahkah dia menyedari bahawa dia juga akan menghadapi detik kematian? Berdepan dengan hakikat sakaratul maut, dipisahkan ruhnya dari sebuah jasad. Semua orang mahukan kebahagiaan hingga ke akhirat, tetapi malangnya kurang manusia yang menyedari bahawa amalan di dunialah yang menentukannya. Alangkah indahnya jika kita pergi dalam keadaan kita berada di jalan redha Allah.

Tazkirah oleh Ustaz Hadi.

Halaqah Al-Ma'thurat.


Selepas subuh dan halaqah ma’thurat, program diteruskan dengan kuliah subuh yang disampaikan Pakcik Abdul Rahman (gambar kecil, atas sekali) yang merupakan salah seorang aktivis ISMA Kelantan melalui beberapa garapan penting antaranya;
• Amalan dunia penentu halatuju kehidupan selepas mati,
• Krisis umat Islam hari ini yang menjadi mainan kuffar, dan
• Perlunya ruh Islam dihidupkan kembali dalam jiwa masyarakat.
Program berakhir setelah para hadirin menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh pihak AJK masjid.

Pada waktu yang sama, Biro Wanita ISMA Kelantan turut mengadakan program MABIT yang bertempat di Gunong, Bachok. Hadirat adalah yang terdiri di kalangan ahli Wanita ISMA Kelantan, guru, pensyarah, doktor serta pelajar yang datang dari pelbagai kawasan dengan fokus utama yang menjadi tumpuan ialah penggarapan iman dan tarbiyyah di dalam diri ke arah sifat mujahidah sejati. Majlis bersurai keesokan harinya pada pukul 8.00 pagi.

Unit Media ISMA Kelantan
Read More...

Malam Bina Iman & Taqwa (MABIT) Ogos '09


Peringat:
13 Ogos, Pihak ISMA Kelantan telah menganjurkan program Malam Bina Iman dan Taqwa (MABIT) Ogos '09 bertempat di Masjid Abdul Rahman bin Auf, Taman Desa Rimbunan. Kehadiran orang ramai daripada penduduk setempat untuk menjayakan program ini amat memberangsangkan. Seramai 15 orang kanak-kanak juga turut serta merebut peluang MABIT pertama yang dibuka kepada masyarakat umum ini.

Program bermula pada pukul 9.30 malam dengan slot ‘Sentuhan Iman Daripada Kisah Sahabat’ yang disampaikan oleh ustaz Nik Abdul Rahim Nik Abdul Aziz. Selain itu beberapa program turut diadakan antaranya ialah tazkirah, Halaqotul Quran, tahajjud jamaei dan aktiviti fizikal – riadhah. Keesokan harinya pada 14 Ogos, program di akhiri dengan aktiviti sukan bola sepak yang bertempat di Sekolah Kebangsaan Peringat.

Halaqotul Quran (Perkumpulan membaca al-Quran) sebelum tidur

Tazkirah "Zikrul Maut" (Mengingati kematian) yang disampaikan
oleh ustaz Muhamad Ismail di antara solat tahajjud dan subuh

Solat sunat sebelum subuh

Ustaz Abdul Karim Mohammed ketika menyampaikan kuliah subuh

Dalam masa yang sama, pihak Wanita ISMA Kelantan turut menganjurkan program ini untuk kaum hawa yang bertempat di rumah Dr. Mahana Sidek, berhampiran dengan Masjid Ar-Rahman, Gunong, Bachok.

Unit Media ISMA Kelantan
Read More...

Malam Bina Iman & Taqwa (MABIT) Julai '09


Pasir Puteh: 23 - 24 Julai, Alhamdulillah sekali lagi program bulanan Malam Bina Iman & Taqwa atau ringkasnya (MABIT) telah berlangsung dengan jayanya pada hari khamis baru-baru ini.


Program bulanan yang bersifat pembinaan jatidiri muslim ini disambut baik oleh semua ahli ISMA cawangan yang datang dari pelbagai latar belakang dan tempat. Program yang bermula dengan pendaftaran pada jam 7.00 petang dan berakhir pada jam 7.00 pagi keesokannya ini dimulai dengan majlis berbuka puasa bersama, solat maghrib dan isya' berjemaah.

Kali ini MABIT membawa para peserta ke arah koreksi diri yang berlainan dari sebelum ini. Jika sebelum ini para peserta didedahkan dengan pelbagai program pengisian sebelum tidur, tetapi MABIT kali ini memberi peluang kepada setiap peserta untuk melakukan aktiviti muhasabah diri masing-masing secara bersendirian sebelum tidur.


Tepat jam 5.00 pagi sessi solat tahajjud jama'ie bermula, diikuti dengan solat subuh berjemaah, bacaan mathurat dan slot pengisian Khabbab Bin Al-Art yang disampaikan dengan penuh perasaan oleh Ustaz Mohd Osman Mohd Noor.

Khabbab Bin Al-Art adalah di antara pejuang mujahidin yang hidup pada zaman awal Islam dan merupakan sahabat yang keenam menganut agama Islam. Beliau juga tergolong dikalangan sahabat pertama yang menyahut seruan Rasulullah S.A.W untuk berhijrah ke bumi Madinah.

Jika sebelum keislamannya dia adalah seorang hamba, tukang besi yang mahir, tetapi pada saat akhir kematiannya beliau mendapat rezeki yang melimpah ruah dari Allah S.W.T dan menjadi seorang yang kaya raya lagi pemurah. Menemui Allah S.W.T pada zaman pemerintahan Saiyyidina Ali K.W.J.H. (Moga Allah Merahmati Kamu Wahai Khabbab). Itulah diantara beberapa sentuhan iman yang disampaikan oleh Ustaz Osman.

Pada masa yang sama, juga di kawasan berhampiran, pihak wanita ISMA cawangan turut mengadakan MABIT sesama mereka. Ustazah Raihanah Yusof dijemput khas untuk membentangkan kisah sahabat Tholhah Bin Ubaidillah yang digelar sebagai syahid berjalan di muka bumi. Kisah ini diharapkan dapat melahirkan jiwa-jiwa yang dermawan dan mantap dari sudut pegangan aqidahnya.

Sessi tadabbur al-Quran, tahajjud jama'ie, solat berjemaah dan bacaan mathurat adalah merupakan perkara rutin dalam setiap kali program MABIT. Sedikit tazkirah ole-ole perjalanan bertajuk isra' dan mikraj telah disampaikan oleh cik Sala Norhazura.

Moga MABIT ISMA yang dilaksanakan secara bulanan ini akan dapat diteruskan pada masa akan datang dan diperluaskan kepada masyarakat sekeliling.

Unit Media ISMA Kelantan
Read More...

MABIT Jun 09



Pasir Puteh, Khamis, 18 Jun – Program qiamullail Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) atau dikenali sebagai Malam Bina Iman dan Taqwa (MABIT) telah diadakan oleh ISMA Kelantan disini untuk bulan Jun 09. Satu slot pembentangan telah dikendalikan oleh YDP ISMA cawangan Kelantan, ustaz Sharipudin Abdul Kadir .

Program ini telah berlangsung daripada jam 7.00 petang hingga 7.00 pagi. Keterlibatan dari pihak ikhwah dan akhawat ISMA pada kali ini begitu membanggakan.

Ahli-ahli yang berdatangan dari Rantau Panjang, Bachok, Wakaf Bharu dan tempat-tempat lain begitu tertarik dengan program yang telah diatur. Moga program seumpama ini akan dapat berterusan hinggalah kita semua bertemu Allah.

Unit Media ISMA Kelantan

Read More...

MABIT Siri Mei Perkasakan Rohani


Khamis-Jumaat, 21-22 Mei; Alhamdulillah, seperti yang dilakarkan di atas taqwim perancangan, ISMA Kelantan sekali lagi berjaya menganjurkan program kerohanian yang dinamakan sebagai Malam Bina Iman dan Taqwa untuk kali ketiga (MABIT Siri-3). Berkampung di Tadika Nur Mawaddah, program yang di anjurkan selama semalaman ini berjaya mengumpulkan seramai hampir 70% daripada keseluruhan bilangan ahli dari kalangan Ikhwah dan juga Akhawat. Antara slot yang di isi untuk MABIT kali ini adalah slot pembentangan slide, sesi tazkirah, ha;aqah imaniy, Qiam jamaei, dan riadhah.
Keesokan harinya bersamaan hari Jumaat 22 Mei, para peserta dari kalangan ikhwah menyertai slot ridhah iaitu bola sepak bertempat di padang bola sepak SMU (A) Maahad Saniah, Pasir Puteh. Bagi kalangan akhawat pula, MABIT kali ini meninggalkan kenangan teristimewa buat mereka - bermain futsal, bertempat di gelanggang futsal Pasir Puteh, mereka buat julung kalinya menyertai riadhah seumpama itu. Di akhir slot, sesi tazkirah disampaikan oleh akh Othman. Tepatnya, tirai MABIT untuk Siri-3 ini berakhir pada pukul 10 pagi.
Berakhirnya MABIT Siri-3, terlaksanalah sudah satu lagi aktiviti yang dirancangkan di atas taqwim. Insya-Allah, pada episod yang seterusnya pihak ISMA Kelantan akan menganjurkan program ini bersama-sama dengan masyarakat diluar. Semoga keredhaan Ilahi terus mengiringi dalam liku perjalanan dakwah ini. Aqulu Qouli Haza.



Kru Media,
Ikatan Muslimin Malaysia,
Cawangan Kelantan.
Read More...
 
Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net