.

Ganjaran Dari Allah

Posted on
  • by
  • IKATAN MUSLIMIN MALAYSIA - Kelantan
  • in
  • Label: ,

  • Kota Bharu, 27 Feb: Tingkatkan amal ibadat kita dipenghujung usia. Dengan akal fikiran kita boleh menilai dan memerhatikan apa yang dibawa oleh Rasulullah S.A.W melalui ayat-ayat al-Quran yang dibaca pada zamannya dan pada zaman ini. Ianya adalah al-Quran yang sama, ayat yang sama ujar ustaz Muhammad Ismail ketika menyampaikan kuliah maghrib di masjid Mukim Lundang.


    Katanya lagi, tidak ada kuasa manusia yang boleh mengubah dan mengganggu ayat-ayat suci al-Quran yang diturunkan kepada Rasulullah S.A.W.  pernah terjadi Baginda S.A.W ditanya oleh orang-orang kafir Quraisy, kenapa mukjizat tidak diturunkan kepada mereka, jawab Rasulullah S.A.W, sesungguhnya mukjizat itu milik Allah dan Dia akan turunkan kepada mereka yang dipilih olehNya.

    Ambillah manfaat dengan berita-berita, kesan-kesan dan bukti-bukti sejarah yang terdapat di dalam al-Quran, sepertimana kisah fir’aun yang jasadnya masih ada di bumi Mesir. Kalau berita-berita dalam surat khabar, ianya akan diingat untuk dalam tempoh sebentar. Tetapi al-Quran tidak begitu, bagi orang-orang yang mentadabbur ayat-ayat al-Quran, mereka akan mendapati apa yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku serta menghidupkan jiwa-jiwa orang mukmin, nasihat ustaz Muhammad kepada 30 orang ahli jemaah yang hadir.

    Dalam pada itu ustaz Muhammad turut menekankan akan kepentingan taubat, katanya, mintalah keampunan dari Allah daripada dosa-dosa yang dilakukan, Allah Maha Pengampun, sifat pengampunanNya mengatasi keampunan manusia. Allah sangat-sangat suka kepada orang yang beristighfar.

    Kesedaran adalah satu taufik dari Allah, sepertimana yang berlaku kepada seorang penjenayah yang ingin bertaubat dan telah membunuh 99 orang dan menyempurnakannnya sehingga seratus orang dek kerana orang yang terakhir dijumpainya memberitahu padanya bahawa taubatnya tidak akan diterima oleh Allah.

    Lalu dia berjumpa dengan seorang lagi dengan memberitahu kepadanya bahawa dia ingin bertaubat, adakah akan diterima oleh Allah?, maka jawab orang yang ditanya, ya, Allah akan terima taubat hambaNya, lalu dia telah dinasihatkan untuk berpindah dari kawasan, negeri atau negara yang dia duduk,  ketika dalam perjalanan, dia jatuh pengsan sehinggakan meninggal dunia. Lalu turunlah dua malaikat yang ingin mengambil amalnya, masing-masing berebut untuk mengambil amal baik buruk si penjenayah yang bertaubat itu. Kemudian datanglah seorang malaikat yang menjadi hakim kepada dua malaikat tersebut dan menyuruh mengukur jarak perjalanan lelaki tersebut. Akhirnya terserlah dan benarlah taubat lelaki tersebut kerana jaraknya yang hampir kepada tempat yang dia pergi kerana taubat. Ungkap ustaz Muhammad dengan panjang lebar.

    Begitu juga firaun, saat nazaknya , ketika hampir tenggelam di dalam laut, dia bertaubat dengan beriman kepada Robb Musa dan Harun, tetapi Allah tidak terima taubatnya kerana pintu taubat sudah ditutup.

    Ganjaran dari Allah, ada yang diberikan terus di dunia dan ada yang disimpan untuk dikutip hasilnya pada hari akhirat jelas ustaz Muhammad di akhir kuliahnya.

    Disediakan oleh:
    Abu Hafizoh
    Wartawan Media ISMA

    0 Komentar Pembaca:

    Post a Comment

     
    Hak Cipta Terpelihara : Media ISMA Kelantan di bawah pengawasan ISMAWeb.net